Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah isteri boleh menuntut fasakh kerana suami mengalami masalah psikologi dan mental?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum kami menjawab persoalan saudara, kami nyatakan terlebih dahulu bahawa hukum asal bagi isteri meminta kepada suaminya agar diceraikan adalah haram. Ini jelas sebagaimana yang thabit dalam hadith Thauban maula Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda:

 أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا فِي غَيْرِ مَا بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga.”

Riwayat Abu Daud (2226)

Akan tetapi, terdapat beberapa keadaan di mana isteri mendapat kebenaran syara‘ untuk memfailkan permohonan fasakh, antaranya apabila si suami sudah tidak sempurna kewarasan mental dan psikologinya.

Syeikh Dr. Muhammad Ghazali berkata, syara‘ memperuntukkan hak bagi isteri untuk meminta fasakh apabila terdapat aib pada pihak suami. Antara aib tersebut ialah keadaan gila yang menjangkiti otak. Jika berlaku gila itu, fasakh boleh dilakukan bagi menyelamatkan isteri daripada jenayah yang berlaku akibat penyakit gila itu, tanpa perlu kepada pemeriksaan kerana bahaya itu sudah sedia wujud. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/138-140)

Imam al-Mawardi juga berkata, ketahuilah bahawa pernikahan itu boleh difasakh apabila adanya aib. Aib yang mengharuskan fasakh nikah ini merupakan hak bagi kedua-dua pihak suami dan juga isteri. Si suami boleh difasakhkan perkahwinannya apabila mendapati si isteri mempunyai 5 aib tersebut; gila, kusta, sopak, ditimpa masalah faraj bertanduk (yang menghalang kemasukan zakar) atau sindrom vaginismus (faraj terkunci). Si isteri pula berhak menuntut fasakh apabila dia mendapati si suami mempunyai 5 aib tersebut; gila, kusta, sopak, zakar pendek dan mati pucuk. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 9/338)

Hal ini juga telah lama diwartakan dalam perundangan Islam di Malaysia. Sebagai contoh, kami bawakan Akta 303, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984. Disebutkan dalam Seksyen 52, Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh:

“Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu—

(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun.”

Kewarasan mental dapat dikembalikan dengan menjalani rawatan psikologi secara berkala bersama pakar. Oleh yang demikian, peletakan had selama 2 tahun sebelum fasakh sebelum boleh dituntut oleh isteri ini amat sesuai agar suami dapat berusaha menjalani proses pemulihan. Sebaliknya, jika masalah mental itu sukar dirawat dan diurus, bahkan mendatangkan bahaya kepada isteri dan anak-anak, maka tidak menjadi suatu kesalahan bagi isteri itu untuk memohon fasakh kerana alasan menjaga nyawa itu adalah thabit di sisi syara‘. Kaedah fiqh ada menyebutkan:

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: “Kemudaratan itu mestilah dihilangkan.”

Semoga Allah SWT memudahkan urusan kita semua dan mendatangkan kebaikan di atas musibah yang melanda. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply