Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Setahu saya dosa dengan manusia mesti dimaafkan atau minta maaf oleh manusia tersebut. Bagaimana dengan kesalahan suami pada isteri? Apakah suami ada kekebalan tidak perlu meminta maaf pada isteri?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Setiap manusia tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan, dan sebaik-baik manusia bukanlah yang tidak pernah berdosa tetapi sentiasa menginsafi kesilapan diri dan bertaubat. Selain itu, memaafkan kesalahan orang lain merupakan salah satu akhlak mulia yang perlu ditanamkan pada diri umat muslim.

Imam al-Tabari dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Allah SWT menyatakan bahawa sesiapa yang memafkan orang yang menyakitinya serta menganiayanya, dan dia memaafkannya dan dia tidak menghukumnya dalam keadaan dia mampu menghukumnya dengan tujuan untuk mencari keredhaan Allah, maka ganjaran kemaafan itu diberikan Allah, dan Allah sahaja yang boleh memberikan ganjaran pahala kepadanya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 20/526)

Sebenarnya sifat pemaaf merupakan sifat yang terpuji bahkan sifat rasul-rasul AS. Apatah Lagi, Rasulullah SAW, sudah tentu sifatnya seunggul-unggul sifat. Sifat pemaafnya terlalu banyak dinyatakan dalam sirah kehidupan Baginda SAW.  Boleh juga rujuk kepada kitab kami Garis Masa Hayat al-Rasul SAW.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan setiap manusia pasti melakukan kesalahan dan sewajarnya untuk memohon maaf apabila melakukan kesalahan. Begitu juga dalam hal rumahtangga, sebagai pasangan suami isteri, sudah menjadi kelaziman ada pasang surutnya dalam melayari bahtera kehidupan. Maka, dalam isu saudari, sebaiknya kedua-dua memohon maaf dan berbincang secara baik. Tidak baik sekiranya perkara ini berpanjangan kerana ia bukan sahaja akan  menjejaskan kehidupan masing-masing, bahkan orang sekeliling kita juga. Ingatlah, orang yang kuat itu bukanlah orang yang menahan egonya, tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang dahulu memohon maaf. Firman Allah SWT:

فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.”

(Surah al-Syura : 40)

Marilah sama-sama kita saling maaf-memaaf dan semoga Allah SWT menutup aurat serta keaiban kita.

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بيْنَ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلَنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan ata kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Leave a Reply