Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah menggunakan alat bantuan seks seperti zakar tiruan dalam hubungan intim suami isteri, supaya kami sama-sama dapat kepuasan maksima? Maaf atas soalan begini. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya seorang suami diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh isterinya melainkan menyetubuhi isterinya pada dubur sebagaiman yang telah dinyatakn dalam al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (4/84) . Begitu juga diharuskan untuk bermain-main secara seksual antara suami dan isteri secara intim dan mesra, sebelum memulakan persetubuhan, dengan syarat selagi mana tidak membawa kepada kerosakan. Perkara ini berdalilkan firman Allah SWT:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya:Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.

(Surah al-Baqarah: 223)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هَلَّا تَزَوَّجْتَ بِكْرًا تُلاَعِبُهَا وَتُلاَعِبُكَ

Maksudnya:Mengapakah engkau tidak berkahwin dengan anak dara yang engkau boleh bermain dengannya dan dia bermain dengan engkau?

Riwayat al-Bukhari (2967)

Justeru, para ulama berpendapat bahawa diharuskan bagi seorang suami dan isteri untuk menyentuh dan bermain-main dengan alat sulit pasangannya, secara seksual dan makruf, bukan dengan cara yang merosakkan. Perkara ini disebut oleh Zainuddin al-Malibari — murid kepada Ibn Hajar al-Haitami — bahawa:

يَجُوزُ لِلزَّوْجِ كُلُّ تُمَتَّعُ مِنْهَا بِمَا سِوَى حَلَقَةِ دُبُرِهَا وَلَوْ بِمَصِّ بَظَرِهِ

Maksudnya:Diharuskan bagi seorang suami itu menikmati secara seksual akan tubuh isterinya, selain daripada lubang dubur (yakni dengan cara meliwat), sekalipun dengan menghisap biji kelentitnya.” (Lihat Fath al-Mu‘in, hlm. 482)

Manakala larangan mendatangi isteri pada dubur mereka pula adalah berdasarkan riwayat daripada Khuzaimah bin Thabit R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ لَا يَسْتَحِيي مِنَ الْحَقِّ فَلَا تَأْتُوا النِّسَاءَ فِي أَدْبَارِهِنَّ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran, maka janganlah kamu mendatangi isteri pada dubur mereka.”

Riwayat al-Nasa’i (8942)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَلْعُونٌ مَنْ أَتَى امْرَأَتَهُ فِي دُبُرِهَا

Maksudnya: “Orang yang dilaknat itu ialah seorang yang mendatangi isterinya pada duburnya.”

Riwayat Ahmad (9733)

Manakala larangan mendatangi isteri pada dubur bermaksud meliwatnya yang melibatkan penembusan. Sekiranya sekadar menikmati secara seksual pada dubur isteri, ia dibenarkan dengan syarat tidak melibatkan penembusan sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari. (Lihat Asna al-Matalib, 3/113.)

Hukum menggunakan alat-alat bantuan seks bagi tujuan hubungan kelamin

Umumnya, alat mainan seks atau sex toy dicipta bagi membantu pasangan suami isteri mendapatkan hubungan kelamin yang lebih mengasyikkan lagi mengghairahkan.[1] Ia mempunyai banyak jenis, bentuk dan tujuan. Antara yang paling popular di seantero dunia ini adalah vibrator, dildo, butt plug, cock ring dan macam-macam lagi.[2]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya penggunaan alat-alat bantuan seks bagi tujuan hubungan kelamin suami isteri adalah diharuskan selagi mana tidak memudaratkan dan tidak najis. Perkara ini adalah selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-69 yang bersidang pada 13-15 Jun 2005 telah membincangkan Hukum Menggunakan Alat-Alat Bantuan Untuk Tujuan Hubungan Kelamin. Muzakarah telah memutuskan bahawa harus menggunakan alat bantuan untuk tujuan hubungan kelamin selagi mana ia tidak memudaratkan dan tidak najis.[3]

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa alat bantuan seks yang diharamkan untuk digunakan semasa hubungan intim suami isteri seperti yang melibatkan penetrasi dan penembusan di dubur kerana ia jelas diharamkan dalam syarak.

Selain itu, terdapat beberapa risiko dan kesan penggunaan alat mainan seks, jika ia digunakan dengan tatacara penggunaan atau kekerapan yang tidak betul. Di antaranya ialah:

  1. Mendapat jangkitan penyakit kelamin (STD). Setiap alat mainan seks termasuklah vibrator perlu digunakan secara bersih dan selamat kerana ia mampu membawa pelbagai jangkitan penyakit kelamin seperti:
  • Sifilis
  • Herpes
  • Chlamydia
  • Shigella
  • Bacterial vaginosis
  1. Mendapat jangkitan penyakit ‘air-bourne’. Bukan itu sahaja, perkongsian sex toy bersama individu asing akan meningkatkan risiko anda mendapat jangkitan pelbagai penyakit bawaan udara seperti:
  • Hepatitis B
  • Hepatitis C
  • HIV and AIDS
  1. Berlaku kerengsaan pada alat sulit. Ini berlaku akibat alahan atau trauma penggunaan alat mainan seks secara paksa dan kerap.

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa diharuskan menggunakan alat-alat bantuan seks bagi tujuan hubungan kelamin suami isteri selagi mana tidak memudaratkan kepada kedua-dua pihak — yakni suami dan isteri — dan tidak najis. Walau bagaimanapun, diingatkan juga bahawa bukan semua alat-alat bantuan seks itu boleh digunakan semasa hubungan intim sekalipun bukan najis, lebih-lebih lagi yang melibatkan penetrasi dan penembusan di dubur seperti butt plug dan seumpamanya kerana ia jelas diharamkan dalam syarak.

Begitulah juga, diharuskan untuk bermain-main secara seksual dengan menggunakan mulut dan lain-lain dengan syarat tidak membawa kepada penyakit dan masalah kesihatan, dilakukan secara konsensual, tidak membawa kepada kerosakan dan dilakukan dengan penuh adab. Apatah lagi pada zaman sekarang yang terdedah dengan pelbagai fitnah syahwat seperti penzinaan, pelacuran dan pornografi, sebarang teknik untuk menambahkan lagi kualiti hubungan seksual antara suami dan isteri amatlah wajar dilakukan, selagi mana tidak melibatkan perkara yang haram seperti meliwat dan menelan najis.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

[1] Lihat https://hellodoktor.com/seks-hubungan/seks-selamat/kesan-sampingan-alat-mainan-seks-vibrator/. Diakses pada 25 Februari 2022.

[2] Lihat https://hellodoktor.com/seks-hubungan/petua-seks/posisi-seks-dengan-sex-toy/. Diakses pada 25 Februari 2022.

[3] Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, (Terbitan JAKIM), hlm. 161.

Leave a Reply