Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada kemusykilan berkaitan pelajar sekolah dan guru yang sedang uzur datang haid. Soalan saya, sekiranya terdapat aktiviti yang dijalankan di masjid, seperti kem solat, kem motivasi atau seumpamanya, adakah mereka dibolehkan untuk masuk ke dalam masjid bagi tujuan belajar atau mengajar (fasilitator)? Ini kerana kebiasaannya aturcara program akan dibuat di dalam dewan solat di dalam masjid. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat.’ Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah al-Baqarah: 222)
Para ulama menafsirkan ayat di atas dengan menyebutkan bahawa orang-orang beriman bertanya kepada Rasulullah SAW tentang berjimak dengan isteri ketika sedang haid. Lalu Allah SWT memerintahkan agar Baginda menjawab kepada mereka dengan memberitahu bahawa berjimak dengan isteri pada waktu haid adalah sesuatu yang menjijikkan, membahayakan di dunia dan akhirat. Perbuatan ini tidak boleh dilakukan, maka jauhilah perbuatan berjimak dengan isteri pada waktu haid sehingga haid mereka selesai. Jika telah selesai dan mereka telah mandi, maka barulah mereka boleh berjimak dengan isteri-isteri mereka pada tempat (faraj) yang telah dihalalkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang banyak beristighfar kepada-Nya dan menjauhi perbuatan keji dan kotor. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 142).
Kemudian, kami terangkan terlebih dahulu makna haid dari sudut bahasa dan syarak. Haid dari segi bahasa bermaksud mengalir. Dikatakan bahawa, “حَاضَ الوَادِي” apabila lembah mengalir. Manakala dari segi syarak pula haid diertikan sebagai:
دَمُ جِبِلَّةٍ يَخْرُجُ مِنْ أَقْصَى رَحِمِ الْمَرْأَةِ عَلَى سَبِيلِ الصِّحَّةِ
Maksudnya: “Darah kebiasaan yang keluar dari bahagian paling hujung di dalam rahim seorang perempuan secara sihat.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 161).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak boleh bagi perempuan masuk dan duduk di masjid (dewan solat) dalam keadaan haid. Namun, jika sekadar melalui kawasan masjid atau dwwan solat atau duduk diluar ruangan solat, maka tidak menjadi masalah. Yang demikian kerana Allah SWT memerintahkan dalam firmannya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”
(Surah al-Nisa’:43)
Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Syafi‘i menyatakan bahawa seorang yang dalam keadaan berjunub, dia tidak boleh untuk duduk di dalam masjid dan hanya boleh melaluinya sahaja. (Lihat Ahkam al-Quran, 3/168).
Selain itu, terdapat hadith di mana Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الْمَسْجِدَ لاَ يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلاَ لِحَائِضٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya masjid tidak halal untuk dimasuki oleh orang yang berjunub dan wanita yang sedang dalam keadaan haid.”
Riwayat Abu Daud (232) dan Ibn Majah (645)[1]
Oleh yang demikian, kami berpandangan sebaik-baiknya carilah ruangan lain yang lebih sesuai atau disediakan dewan khusus bagi wanita haid untuk menjalankan aktiviti kem tersebut jika ia melibatkan penyertaan semua pihak termasuklah wanita yang sedang didatangi haid. Itulah yang lebih baik menurut kami.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ.
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami daripada kalangan orang yang bertaubat, dan jadikan kami daripada kalangan orang yang bersuci.”
Nota Hujung:
[1] Meskipun hadith ini tidak terlepas daripada kritikan para ulama’, namun Imam al-Syaukani telah membahaskan secara panjang lebar dan menegaskan bahawa hadith ini menjadi kuat kerana disokong oleh banyak faktor penguat (syawahid). (Lihat Nail al-Autar, 1/288).