Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah amalan yang paling baik pada hari Jumaat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat).
(Surah al-Jumu‘ah: 9)
Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat di atas beliau menyebutkan: Wahai orang-orang yang beriman, jika dikumandangkan azan kedua untuk melaksanakan solat ketika khatib duduk di atas mimbar pada hari jumaat, maka berjalanlah untuk melaksanakan solat dan mendengarkan khutbah, kerana di dalamnya disebut nama Allah. Tinggalkanlah kegiatan berjual-beli dan semua hal yang menyibukkan kalian dari solat. Usaha untuk melaksanakan solat dan meninggalkan jual-beli itu lebih baik daripada kesibukan dunia dan bermuamalah dengannya. Di dalamnya terdapat pahala yang begitu besar jika kalian mengetahui hakikat dua hal iaitu kebaikan dan keburukan. maka lakukanlah, Jika kalian mengetahui bahawa hal itu adalah kebaikan (Lihat al-Wajiz, hlm.55)
Kami berpendapat, amalan yang paling baik pada hari Jumaat adalah urusan untuk melaksanakan solat jumaat serta memelihara segala adab-adabnya sehingga sempurnanya pelaksanaan solat Jumaat yang diiringi sebelum dan selepasnya dengan adab-adab yang sunat mahupun yang wajib. Antaranya:
- Mandi sunat Jumaat
- Membaca surah al-Kahfi
- Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW
- Memenuhi hari dengan ibadah
- Memakai pakaian putih dan wangi-wangian
- Memperbanyakkan langkahan ke masjid
- Datang awal ke masjid
- Solat tahiyatul masjid
- Beriktikaf di masjid dan lain-lain.
Kami juga berpendapat bahawa yang paling baik dilakukan hari Jumaat adalah memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW. Hal ini berdasarkan hadith daripada Aus bin Abi Aus R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَأَكْثِرُوا عَلَىَّ مِنَ الصَّلاَةِ فِيهِ، فَإِنَّ صَلاَتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَىَّ.
Maksudnya: “Sesungguhnya hari yang paling afdhal di kalangan hari-hari kamu ialah hari Jumaat. Maka hendaklah kamu memperbanyakkan selawat ke atasku pada hari tersebut kerana selawat kamu akan dibentangkan kepadaku.”
Riwayat Abu Daud (1047)
Justeru, marilah sama-sama kita memperbanyakkan selawat pada hari yang mulia ini dan malamnya. Begitu juga, membaca surah al-Kahfi dan al-Quran al-Karim.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”