Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah kelebihan dan kepentingan wanita menutup aurat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
(Surah al-Nur: 31)
Syeikh al-Maraghi menyebut bahawa wanita-wanita tidak boleh untuk memperlihatkan perhiasan yang sepatutnya mereka sembunyikan dan juga tidak boleh mendedahkan aurat kepada orang selain yang telah disebutkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 18/97)
Dengan sebab berhijab, akan menundukkan pandangan dan mengelakkan nafsu syahwat. Masyarakat Islam pada zaman dahulu sangat menjaga aurat dan juga pandangan mata menyebabkan mereka tidak melakukan maksiat seperti zina dan yang membawa ke arah itu. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”
(Surah al-Nur: 30)
Ayat di atas diikuti dengan firman Allah SWT:
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”
(Surah al-Nur: 31)
Imam al-Tabari ketika menafsirkan (يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ) mengatakan bahawa Allah SWT memerintahkan orang islam untuk menjaga penglihatan daripada melihat apa yang mereka bersyahwat padanya. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Quran, 19/154)
Saya terlihat sebuah gambar yang diambil pada 1936 M di kota Damsyik yang sudah hampir 90 tahun yang lalu di mana wanita Muslimat ketika itu semuanya memakai hijab sehingga ia menjadi benteng yang paling kukuh daripada serangan musuhnya. Ini kerana, perempuan merupakan sasaran pertama musuh Islam.
Kerana itu Gladstone[1], berkata: “Jika kami mahu memusnahkan Islam, maka mesti kami mencabut hijab perempuan muslimah dan juga kami mengkaburkan (menjarakkan) mereka dari al-Quran al-Karim.”
Oleh itu, kembali kepada syariat Islam dengan berhijab dan menutup aurat yang sebenar merupakan tanda dan lambang kemuliaan dan keperibadian ummah yang unggul. Ingatlah ibu merupakan madrasah yang pertama bagi umat ini. Bak kata Penyair Hafiz Ibrahim:
الأُمُّ مَدْرَسَةٌ إِذَا أَعْدَدْتَهَا أَعْدَدْتَ شَعْبَاً طَيَّبَ الأَعْرَاقِ
Ibu merupakan sekolah, jika kamu sediakannya
Sebenarnya kamu menyediakan generasi yang baik akhlaknya
(Lihat Mausu‘ah al-Raqa’iq wa al-Adab, hlm. 496)
Marilah sama-sama kita memelihara daripada didedahkan kepada khalayak ramai. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي ، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي ، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي ، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di hatiku. Ya Allah, jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku. Aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawahku.”
Nota Hujung:
[1] William Ewart Gladstone, FRS, FSS ([glaed-sten], 29 Disember 1809 – 19 Mei 1898) merupakan seorang negarawan British daripada Parti Liberal United Kingdom. Beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri negara tersebut selama 12 tahun merangkumi empat penggal bermula dari 1868 sehingga 1894, di mana beliau merupakan Perdana Menteri tertua mentadbir United Kingdom selepas bersara pada usia 84 tahun. Doktrin politik beliau yang menekankan kesamarataan peluang, perdagangan bebas dan dasar-dasar ekonomi laissez-faire dikembangkan menjadi suatu fahaman liberalisme yang banyak mempengaruhi politik United Kingdom sehingga turut dibincangkan setaraf dengan Thatcherisme.