Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah terdapat hadith mengenai orang faqir mendahului orang kaya 500 tahun? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, di sana terdapat hadith yang menyatakan bahawa orang faqir akan memasuki syurga 500 tahun sebelum orang kaya. Ini adalah sebagaimana hadith daripada riwayat Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

يدْخُلُ الفُقَرَاءُ الْجَنَّةَ قَبْلَ الأَغْنِيَاءِ بِخَمْسِمائَةِ عَامٍ

Maksudnya: “Orang-orang faqir akan memasuki syurga 500 tahun sebelum orang-orang kaya.

Hadith di atas diriwayatkan oleh al-Tirmizi (2353) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih. Ia juga diriwayatkan oleh al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (11348), Ibn Majah (4122), Ahmad (10654) dengan sedikit perbezaan lafaz dan al-Khatib dalam Tarikh Baghdad (5/33). Selain itu, Ibn al-Solah dalam Fatawa Ibn al-Solah (55) menyatakan bahawa hadith di atas adalah thabit.

Al-Mulla Ali al-Qari menjelaskan, orang faqir yang dimaksudkan ialah orang faqir yang bersabar. Namun, ada juga yang berpendapat sekalipun mereka (orang faqir itu) mengadu. Manakala orang kaya pula merujuk kepada yang bersyukur. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 8/3282).

Sekalipun begitu, hadith ini tidak semestinya menunjukkan kepada kelebihan orang faqir ke atas orang kaya. Bahkan sebahagian orang kaya yang memasuki syurga selepas mereka itu adalah lebih tinggi kedudukan dan darjat daripada mereka. Bagi hal ini, terdapat banyak bukti/sokongan (syawahid) yang menunjukkan bahawa:

 أَنَّ الفَضِيلَةَ الخَاصَّةَ لَا تَدُلُّ عَلَى الفَضِيلَةِ العَامَّةِ

Maksudnya: “Kelebihan khusus tidak menunjukkan kelebihan umum.” (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/397).

Betapa perlunya kaya kerana ia dapat menyenangkan kehidupan manusia di dunia dan diminta oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk berdoa supaya diminta kekayaan.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Riwayat Muslim (2721), al-Tirmizi (3489), Ibn Majah (3105), Ahmad (3950) dan Ibn Hibban (900)

Doa ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud R.A, beliau berkata:

أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Nabi SAW biasa membaca doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Riwayat Muslim (2721)

Imam al-Nawawi menjelaskan: “ ‘Afaf dan ‘iffah bermaksud menjauhkan dan menahan diri daripada perkara yang diharamkan. Manakala al-ghina (الْغِنَى) ialah hati yang selalu merasa cukup dan tidak berhajat kepada apa yang ada di sisi manusia. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/41)

Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan: “al-Huda (الْهُدَى) bermaksud hidayah yang sempurna. Al-Tuqa (التُّقَى) ertinya ketakwaan yang menyeluruh. Al-‘Afaf  (الْعَفَافَ) bermaksud al-kafaf (kecukupan rezeki). Sebahagian ulama menyebut, ertinya adalah al-‘iffah (terpeliharanya diri dari maksiat). Sebahagian ulama’ menyebut, ertinya keterpeliharaan diri dari yang haram. Dinukilkan dari Abu al-Futuh al-Naisaburi, katanya: “Al-‘Afaf  bermaksud kesolehan jiwa dan hati.” Manakala al-ghina (الْغِنَى) bererti kekayaan hati, iaitu merasa cukup dari apa yang ada pada manusia. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 5/1721)

Ibn ‘Allan al-Syafi’e menyebut: “Al-‘afaf bermaksud terhindar daripada segala maksiat dan keburukan. Al-ghina pula bererti tidak ada perasaan berhajat kepada makhluk. (Lihat Dalil al-Falihin, 7/275)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Leave a Reply