Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya mahu bertanya kalau puasa 2 tahun lepas. Masih boleh di ganti atau kena bayar fidyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Fidyah

Fidyah ialah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.

Dalil Pensyariatan Fidyah

Firman Allah SWT:

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Al-Alusi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut : Barangsiapa yang mampu untuk berpuasa tetapi dia berbuka maka wajib ke atasnya memberi makan kepada fakir miskin dengan kadar makanan asasi pada setiap hari iaitu setengah sa’(gantang) gandum atau satu gantang daripada makanan-makanan yang lain mengikut kiraan ahlul I’raq atau satu gantang mengikut kiraan ahlul Hijaz. (Lihat Ruh al-Ma’ani,14/212)

Hadith daripada Abdullah bin Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامُ شَهْرٍ فَلْيُطْعَمْ عَنْهُ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

Maksudnya: “Sesiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadhan, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya.

Riwayat al-Tirmizi (718) dan Ibnu Majah (1757)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan jika seseorang meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan, dia hendaklah menggantinya sebelum bulan Ramadhan tahun berikutnya tiba. Jika sudah masuk bulan Ramadhan yang berikutnya dan dia masih belum sempat mengqadha puasa yang tertinggal, maka dia perlu membayar fidyah dan juga mengqadha puasa yang telah ditinggalkan  tersebut.  Hal ini berdasarkan hadith Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصِّيَامُ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ، فَمَا أَقْضِيَهُ حَتَّى يَجِيْءَ شَعْبَانُ

Maksudnya: “Aku masih berhutang puasa Ramadhan dan aku tidak dapat menggantikannya sehingga Sya’ban tiba.”

Riwayat al-Nasa’i (2319) dan Ibn Majah (1669)

Maka, dalam situasi saudari, saudari perlu menggantikan puasa yang telah ditinggalkan dan membayar fidyah (bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan).

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dalam mengamalkan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Leave a Reply