Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah membaca amin selepas daripada berdoa adalah disunatkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Surah Ghafir (60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja me-merintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Menjawab persoalan di atas, terdapat beberapa hadith yang menunjukkan perkara ini. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda:

إذَا أَمَّنَ الإِمَامُ فَأَمِّنُوا فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ الْمـَلائِكَةِ: غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. وقال ابنُ شهابٍ: وكان الرسولُ صلى الله عليه وسلم يقولُ: آمين

Maksudnya: “Apabila imam mengatakan amin maka ucapkanlah amin, sesiapa yang ucapan aminnya itu bertepatan dengan ucapan amin para malaikat, segala dosanya yang lalu akan diampunkan oleh Allah. Dan Ibn Syihab berkata: “Adalah Nabi SAW mengatakan Amin.”

Riwayat al-Bukhari (780) dan Muslim (410)

Sabda Rasulullah SAW:

إِذَا قَالَ أَحَدُكُمْ: آمِينَ، وَقَالَتِ المَلاَئِكَةُ فِي السَّمَاءِ: آمِينَ، فَوَافَقَتْ إِحْدَاهُمَا الأُخْرَى غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Apabila berkata seorang daripada kamu Amin, berkata para Malaikat di langit Amin. Dan bertepatan ucapan Amin antara keduanya. Maka akan diampunkan dosanya yang dahulu dan akan datang.”

Riwayat al-Bukhari (781) dan Muslim (410)

Abu Zuhair bin Numairi menceritakan satu malam beliau dan para sahabat, keluar berjalan bersama Rasulullah SAW. Mereka bertemu dengan seorang lelaki yang bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah SWT. Baginda berhenti untuk mendengar doa lelaki tersebut. Kemudian Baginda bersabda:

أَوْجَبَ إِنْ خَتَمَ. فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ بِأَيِّ شَيْءٍ يَخْتِمُ قَالَ بِآمِيْنَ فَإِنَّهُ إِنْ خَتَمَ بِآمِيْنَ فَقَدْ أَوْجَبَ

Maksudnya: “Sekiranya beliau menutup, pasti doanya akan diterima. Seorang sahabat lalu bertanya: “Dengan apa perlu ditutup doa?” Sabda Baginda: “Dengan amin. Sekiranya beliau menutup doanya dengan amin pasti doanya akan diterima.”

Riwayat Abu Dawud (938). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (938) menyatakan sanad hadith ini dhaif.

Mu`az RA diriwayatkan sentiasa mengucapkan amin sebaik sahaja mengkhatamkan bacaan Surah al-Baqarah kerana ayat yang terakhir daripada surah itu, merupakan doa kepada Allah SWT.

Justeru, hendaklah kita sentiasa mengakhiri doa kita dengan amin. Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Leave a Reply