Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apa hukum Kita tambah pengalaman kerja dalam resume untuk apply sesuatu kerja sedangkan kita tidak kerja di tempat tu tetapi sebagai nak cukupkan syarat kelayakan untuk bekerja di sesuatu tempat ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, perbuatan meniru dalam peperiksaan termasuk dalam perbuatan menipu dan perbuatan menipu adalah haram serta pelakunya dianggap berdosa. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”

Riwayat Muslim (101)

Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, beliau menyebutkan bahawa hadith di atas bermaksud bukan berada di atas jalan dan mazhab kami (yakni panduan Nabi SAW). Dalam erti kata lain, sesiapa yang menipu saudaranya dan meninggalkan untuk menasihatinya, maka sesungguhnya dia telah meninggalkan petunjuk Baginda dan tidak berpegang dengan sunnah Baginda. Namun, terdapat sebahagian ulama berpendapat maksudnya ialah menafikannya daripada Islam. Akan tetapi takwilan ini tidak benar kerana makna yang dikehendaki daripada hadith tersebut ialah mengikuti panduan dan sunnah Nabi SAW. Hal ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT:

فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah daripada golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).”

(Surah Ibrahim: 36)

Oleh itu, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya pebuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan  bahawa seorang muslim itu diwajibkan untuk bersikap jujur dalam setiap tindakan yang dilakukan. Ini kerana Allah SWT dan Rasulullah SAW memerintahkan agar sentiasa bersikap benar dan melarang keras dari perbuatan dusta.  Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”

Riwayat al-Bukhari (6094)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/160)

Oleh yang demikian perbuatan menipu maklumat dalam resume adalah salah di sisi syarak terutama melibatkan syarat-syarat kelayakan. Ini kerana ia memberikan impak negatif kepada syarikat yang mengambil pekerja yang pada asalnya tidak mempunyai kelayakan untuk posisi pekerjaan tersebut. Oleh itu, tindakan tersebut adalah haram dan tidak sah dari segi undang-undang.

Hal ini juga sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tiada kemudharatan (dalam Syariat Islam) dan tidak juga membalas kemudharatan.”

Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)

Justeru, menyertakan maklumat yang benar dalam mengisi resume adalah penting dalam memohon jawatan yang benar-benar berkelayakan. Ini kerana ia melibatkan maslahat individu itu sendiri dan juga syarikat yang menawarkan pekerjaan tersebut. Tambahan lagi, apa-apa pekerjaan yang diperoleh dengan cara yang salah dikhuatiri memberi kesan terhadap keberkatan hasil pendapatan dari pekerjaan tersebut.  Oleh itu, sebagai seorang Muslim, kita harus berlaku jujur dalam setiap aspek kehidupan dan menekankan nilai-nilai luhur yang diajarkan oleh Islam.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam.

Leave a Reply