Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana untuk kita mengetahui isyarat kepada istikharah yang dilakukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan doa istikharah. Berdasarkan hadith riwayat Bukhari dan Ibn Majah, doa Istikharah seperti berikut:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيْمِ فإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ َوَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوْبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِيْنِي وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِي (أَوْ قَالَ) عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاقْدُرْهُ لِي ويَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيْهِ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ شّرٌلِي فِي دِيْنِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي (أَوْ قَالَ) فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْلِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِيْ بِهِ .

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon pilihan yang terbaik daripada-Mu menurut ilmu-Mu. Aku juga mohon takdir yang terbaik menurut takdir-Mu. Aku mohon limpah kurnia-Mu yang agung, kerana hanya Engkau sahaja yang mentakdirkan bukan aku yang mentakdirkan. Hanya Engkau sahaja yang tahu dan aku tidak tahu. Hanya Engkau sahaja yang mengetahui ilmu ghaib. Ya  Allah, jika Engkau tahu perkara ini baik untuk diriku, untuk hidupku dan untuk matiku, atau Baginda bersabda; Untuk urusanku di dunia dan akhirat, takdirkanlah ia untukku kemudian berkatilahku dalam urusan ini. Jika Engkau tahu perkara ini tidak baik untukku, untuk agamaku, untuk hidupku dan untuk matiku, atau Baginda bersabda: Untuk urusanku di dunia dan akhiratku, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah diriku daripadanya. Takdirkanlah diriku beroleh kebaikan yang sepatutnya kemudian buatkanlah diriku redha dengannya. Baginda bersabda: Seterusnya nyatakanlah hajatnya.”

Riwayat al-Bukhari (1162), Abu Dawud (1538), al-Tirmizi (480), al-Nasaie (3253), Ibn Majah (1383) dan Ahmad (14707)

Mazhab Hanafi, Maliki dan al-Syafi’ie  berpendapat, sunat dimulakan doa tersebut dengan meraikan adab doa seperti mengucap Alhamdulillah, selawat  dan salam atas Nabi Muhammad  SAW. Begitu juga, dengan menghadap kiblat seraya mengangkat kedua-dua tangannya ketika berdoa.

Adapun tempat doa Istikharah mengikut ulama’ mazhab yang empat adalah selepas solat sebagaimana nas hadith. Imam al-Syubri dan Ibn Hajar dari kalangan mazhab al-Syafi’ie  dan al-Adawi dari kalangan mazhab Maliki mengharuskan doa ketika solat dalam sujud atau selepas bacaan tasyahud.

Menjawab persoalan di atas,  isyarat atau tanda-tanda dari Solat Istikharah ini cepat diperolehi atau tidaknya terletak kepada ketekunan seseorang itu dalam melaksanakannya. Isyarat-isyarat itu datang dengan cara:

  • Hati yang Tenang

Isyarat atau tanda-tanda yang akan didatangkan itu berupa ketenangan dan kemantapan hati.

  • Gerakan Hati

Isyarat itu kata Rasulullah SAW sebagaimana yang telah dijelaskan dalam perbahasan di atas adalah gerakan hati yang terdahulu sekali setelah solat atau doa dibacakan.

  • Mimpi

Pendapat yang lain pula mengatakan, boleh jadi isyarat itu datang di dalam mimpi sewaktu tidur. Mimpi yang dimaksudkan di sini tentulah mimpi orang-orang yang sebelum tidurnya melaksanakan ajaran agama tentang adab-adab sebelum tidur, seperti berwuduk, tidur pada rusuk yang sebelah kanan atau menghadap kiblat, membaca ayat al- Kursi Surah al-`Ala, Surah al-Ikhlas, Surah al-Nas dan surah-surah lainnya yang dirasakan perlu.

Maksud dari isyarat mimpi di sini adalah tanda-tanda yang baik yang diperolehi dari mimpi di waktu tidur yang menunjukkan kepada kebaikan.  Akan tetapi sebaliknya jika ada tanda-tanda yang buruk dari mimpi tersebut, maka sebaiknya tidak usah diteruskan maksud itu kerana akan akibat buruk akhirnya.

  • Solat

Ada juga pendapat yang lain mengatakan, isyarat itu datang ketika di dalam solat.

  • Kecenderungan Hati

Di samping ada kecenderungan hati terhadap sesuatu yang dipilih maka badan seseorang itu berasa berat berbelok ke sebelah kanan, maka isyarat ini menyuruh agar meneruskan pekerjaan yang kita hajati. Namun jika berasa berat sebelah kiri maka isyarat ini menyuruh agar kita tidak meneruskan pekerjaan tersebut.

Isyarat ini biasanya boleh didapati ketika seseorang itu membaca ayat berulangkali dalam Surah al-Fatihah:

‏ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Maksudnya: “Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”

(Surah al-Fatihah: 5)

Ia dibaca pada rakaat pertama sehingga mendapat isyarat. Setelah itu, hendaklah meneruskan solat Istikharah sehingga selesai.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Leave a Reply