Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah hukum mewarnakan kening bagi isteri dengan warna hitam atas permintaan suami? Jazakumullahu khairan  ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syariat islam meraikan apa yang menjadi fitrah manusia dari kecenderungan dan keinginan mereka, dan mengatur keperluan  manusia sesuai dengan tujuan syara’. Ia juga mendorong manusia mencapai apa yang dikehendaki dalam mencapainya dengan tidak berlebih-lebihan atau mengabaikan ketetapan dan batas-batas syarak .

Antara perkara yang menjadi fitrah bagi wanita adalah cinta terhadap hiasan. Oleh itu, dalam undang-undang Islam, diberikan kepada mereka pelbagai cara untuk mendapatkan hiasan yang tidak diwajibkan kepada lelaki, seperti sutera dan emas. Firman Allah SWT:

أَوَمَن يُنَشَّأُ فِي الْحِلْيَةِ وَهُوَ فِي الْخِصَامِ غَيْرُ مُبِينٍ

Maksudnya: Patutkah (yang dikatakan anak Allah itu jenis perempuan) yang biasanya dididik dan dibesarkan dalam perhiasan, sedang ia semasa berbantah dan bertikam lidah tidak dapat memberikan alasan yang jelas?

(Surah al-Zukhruf: 18)

Al-’Allamah al-Wahidi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan yang dimaksudkan dengan  “dididik dan dibesarkan dalam perhiasan” ialah anak perempuan tumbuh dalam keindahan atau hiasan.  (Lihat Tafsir al-Wasit, 4/67)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan syarak yang mulia menganjurkan isteri untuk berhias  dan bersolek untuk suami serta mencari kebaikan dan  keelokan di matanya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A katanya, Rasulullah SAW ditanya tentang wanita yang terbaik. Baginda SAW menjawab:

خَيْرُ النِّسَاءِ الَّتِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ، وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ، وَلَا تُخَالِفُهُ فِي نَفْسِهَا وَلَا مَالِهَا بِمَا يَكْرَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik wanita ialah yang menggembirakan suaminya apabila dilihat, dan mentaati suaminya apabila diperintah, dan tidak menyelisihi suaminya pada perkara yang tidak disukainya pada dirinya hartanya dalam perkara yang tidak disukainya.”

Riwayat al-Nasa’ie (7421) dan Ahmad (3231)

Imam al-Munawi ketika mensyarahkan  makna  “yang menggembirakan suaminya apabila dilihat” beliau menyebutkan: kerana kecantikannya menjadi sokongan baginya dalam memelihara kesucian dan agamanya. (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/528)

Dikisahkan dalam Siyar ‘Alam al-Nubala’ bahawa Bakrah Binti Uqbah beliau masuk menemui Aisyah yang sedang duduk dalam keadaan berwarna kuning. Dia bertanya kepadanya tentang pewarna inai? Aisyah menjawab, ‘Ia adalah pokok yang wangi dan air yang suci.’ Kemudian dia bertanya tentang pewarna kuku? Aisyah menjawab kepadanya, ‘Jika kamu memiliki suami, dan kamu dapat melepas kuku palsumu, lalu membuat yang lebih baik daripada keduanya, maka lakukanlah. (Lihat Siyar ‘Alam al-Nubala’, 2/188)

Oleh yang demikian, diharuskan bagi seorang isteri untuk mewarnakan keningnya sebagai sebahagian daripada proses berhias diri di hadapan suaminya. Ini kerana, proses tersebut tidak melibatkan tindakan mencukur bulu kening atau sebarang usaha yang boleh dianggap sebagai pengubahan ciptaan Tuhan. Pewarna dan warna yang digunakan hanyalah sementara dan boleh dibersihkan dengan mudah, berbanding tindakan mencukur bulu kening, membuat tatu, dan lain-lain perbuatan yang boleh dianggap sebagai pengubahan ciptaan Tuhan.

Syeikh Abd ‘Aziz Bin Baz dalam fatwanya berkaitan isu ini menyatakan bahawa: Tidak mengapa mewarnakan bulu kening, yang dilarang adalah mencukur bulu kening. Adapun mewarnakannya dengan pewarna yang menjadikannya cantik dan menarik, itu tidak mengapa, ia tidak memudaratkan seperti pengunaan celak.[1]

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (4886)

Berdasarkan hadith di atas, jelaslah kepada kita bahawa yang dilarang adalah melakukan perkara-perkara yang mengubah ciptaan Allah SWT. Dengan demikian, mewarnakan kening tidaklah termasuk dalam perkara yang mengubah ciptaan Allah, kerana pewarna boleh dihilangkan dan tidak menyebabkan perubahan kekal pada ciptaan asal. Oleh itu, ia tidak termasuk dalam larangan yang disebutkan, selagi ia tidak melibatkan mencukur atau mencabut bulu kening.

Justeru, tidak menjadi satu kesalahan bagi isteri untuk berhias di hadapan suami dengan mewarnakan kening dan sebagainya terutama apabila diminta oleh suami. Namun, walaupun berhias atau bertabarruj itu dibolehkan akan tetapi  mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti ajnabi, maka itu tidak dibolehkan kerana ia boleh menimbulkan fitnah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/14641/%D8% Diakses pada 28 Mei 2024

Leave a Reply