Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya cuba bertaubat dan beristighfar setiap kali saya melakukan dosa. Adakah perbuatan saya diizinkan Allah dan menepati syarak? Saya insan yang lemah, selalu terpujuk dengan godaan nafsu dan syahwat.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya mulakan dengan firman Allah SWT:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur: 31)

Allah SWT juga berfirman:

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu.”

(Surah Hud: 3)

Ibn Kathir Rahimahullah menyebutkan, maksudnya, dan aku memerintah kamu untuk memohon keampunan kepada Allah SWT atas dosa-dosa yang telah berlalu serta bertaubat kepada-Nya daripada perbuatan tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/411).

Dalam menjawab persoalan, syabas kerana perbuatan tersebut adalah menepati syarak. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ عَبْدًا أَصَابَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ أَذْنَبْتُ ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَبْتُ ، فَاغْفِرْ لِي ، فَقَالَ رَبُّهُ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَصَابَ ذَنْبًا أَوْ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ ، أَذْنَبْتُ أَوْ أَصَبْتُ آخَرَ ، فَاغْفِرْهُ ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَابَ ذَنْبًا ، قَالَ : قَالَ رَبِّ ، أَصَبْتُ أَوْ قَالَ أَذْنَبْتُ آخَرَ : فَاغْفِرْهُ لِي ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ثَلَاثًا ، فَلْيَعْمَلْ مَا شَاءَ

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: ‘Wahai Tuhan, aku telah berdosa. Ampunilah diriku.’ Lalu Allah SWT menjawab: ‘Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku.’ Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: ‘Tuhanku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.’ Lalu Allah SWT menjawab: ‘Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku.’ Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: ‘Tuhanku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.’ Lalu Allah SWT menjawab: ‘Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku. (Diucap sebanyak tiga kali). Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki.’

Riwayat al-Bukhari (7507)

Imam al-Nawawi berkata: “Hadith ini jelas menunjukkan bahawa walaupun dosa terulang seratus malah seribu atau lebih, dan dia bertaubat setiap kali daripada melakukannya, maka taubatnya tetap diterima dan gugur dosanya. Begitu juga jika dia bertaubat dari semua (dosa) dengan sekali taubat, maka taubatnya tetap juga sah.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/128).

Namun, taubat yang dilakukan tersebut hendaklah benar-benar dilakukan dengan sepenuh hati dan perasaan serta merupakan satu keinsafan yang sesungguhnya. Bukan hanya menyebut istighfar semata-mata sedangkan hatinya masih ingin berterusan melakukan maksiat.

Inilah yang disebut oleh al-Imam al-Qurtubi sepertimana dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari, beliau menyatakan, hadith (di atas) menunjukkan betapa besarnya faedah istighfar, betapa agungnya kurniaan Allah, betapa luasnya rahmat, kelembutan dan kemurahan Allah. Akan tetapi istigfar ini ialah istighfar di mana hatinya mempunyai niat yang sama dengan apa yang lidah lafazkan untuk meninggalkan maksiat, dan ia disertai dengan rasa penyesalan. Inilah maksud taubat. Dalam erti kata lain, sesiapa yang mengulangi dosa dan taubat, setiap kali terjebak ke dalam dosa dia akan kembali bertaubat. Ia bukan bermaksud sesiapa yang lidahnya memohon ampun kepada Allah, sedangkan hatinya berterusan mahu melakukan maksiat itu. (Lihat Fath al-Bari, 21/89).

Oleh itu, apabila bertaubat, ia hendaklah dilakukan dengan sepenuh hati dan perasaan. Apabila kemudiannya tergelincir lagi melakukan maksiat, mohonlah keampunan kepada Allah atas ketergelinciran. Jangan pernah merasa berputus asa daripada istighfar.

Seseorang berkata kepada al-Hasan al-Basri: “Apakah salah seorang daripada kita tidak merasa malu kepada Tuhan-Nya. Dia memohon ampun terhadap dosanya kemudian dia mengulangi lagi, memohon ampun kemudian mengulangi lagi?”

Lalu Imam al-Hasan al-Basri berkata: “Syaitan berharap jika dia berjaya menjadikan kamu merasa sedemikian. Maka janganlah jemu daripada istighfar (memohon keampunan).” (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 19/26).

Allah SWT juga berfirman:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّـهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّـهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”

(Surah Ali ‘Imran: 135)

Ibnu Kathir menyebut, berkenaan firman-Nya, (وَهُمْ يَعْلَمُونَ) “sedang mereka mengetahui,” Mujahid dan ‘Abdullah bin ‘Ubaid bin ‘Umair berkata: “Mereka mengetahui bahawa sesiapa yang bertaubat kepada Allah, nescaya Allah akan menerima taubatnya.”  (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 14/60)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Leave a Reply