#5948: Pembedahan Batin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah dakwaan sesetengah pengamal perubatan tradisional (Islam), yang mana sebahagiannya dipanggil sebagai ustaz ataupun perawat Islam, di mana mereka mendakwa boleh melakukan pembedahan batin bagi merawat penyakit kronik? Pembedahan batin ini pula tidak menyakitkan dan tidak juga melukakan secara zahirnya (pada pandangan mata) meskipun pembedahan itu berlaku menurut mereka. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya,”

(Surah al-Isra’: 82)

Qatadah menafsirkan firman Allah SWT: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat, dengan berkata: Firman Allah SWT ini didengar oleh orang yang beriman, lalu mereka dapat mengambil manfaat daripadanya, bahkan menghafal dan memerhatikannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4014)

Seterusnya, kami mulakan juga perbincangan ini dengan menukilkan pandangan-pandangan ulama yang berkaitan dengan ruang lingkup perawatan bagi perawat Islam. Dalam konteks perubatan alternatif di Malaysia perawat Islam lebih dikenali sebagai seorang yang mengamalkan ruqyah dan terlibat dengan perubatan alternatif atau komplementatif iaitu pelengkap kepada perubatan moden.

Syeikh Jibrin dalam fatwanya menyebut: “Sebenarnya dibolehkan menggunakan ruqyah bagi sesiapa yang baik bacaannya, memahami maknanya, mempunyai akidah yang betul dan melakukan amal perbuatan yang baik serta mempunyai peribadi yang baik. Tidak disyaratkan kepada penjampi (perawat) untuk mengetahui semua permasalahan furu‘ (cabang) di dalam masalah agama dan mempelajari ilmu secara mendalam.

Hal ini berdasarkan kisah Abu Said yang menjampi orang yang telah sesat disengat binatang berbisa. Beliau berkata: “Kami tidak pernah mengetahui (surah al-Fatihah) sebagai ayat untuk menjampi atau seperti yang termaktub di dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.” Orang yang menjampi mestilah mempunyai niat yang baik dan bertujuan untuk memberikan manfaat kepada orang Islam serta tidak bercita-cita untuk memperolehi harta dan ganjaran agar jampi yang dibaca itu lebih berkesan.” (Lihat al-Lu’lu al-Makin, hlm. 22)

Adapun jika perawat Islam melakukan proses perubatan dengan menjampi pesakit seperti ruqyah atau sebagainya, maka perlulah menuruti syarat-syarat dalam menjampi. Ini kerana untuk membezakan antara ruqyah yang menepati sunnah dengan ruqyah yang bercanggah dengan sunnah.

Kami nukilkan di sini tiga syarat yang disebut oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, antara lain menyebut: Para ulama telah sepakat tentang kebolehan membuat rawatan jika mengikuti tiga syarat ini:

  • Ruqyah hendaklah dilakukan dengan menggunakan firman Allah SWT atau dengan nama-nama dan sifat-sifatnya.
  • Ruqyah hendaklah dilakukan dengan menggunakan bahasa Arab atau sesuatu bahasa selain bahasa arab yang difahami maknanya.
  • Hendaklah meyakini bahawa ruqyah itu tidak memberikan pengaruh dengan sendirinya tetapi hanyalah dengan izin Allah SWT. (Lihat al-Fath al-Bari, 10/240)

Imam al-Nawawi juga ada menyebut berkenaan isu ini, katanya: “Hendaklah meninggalkan ruqyah jika ruqyah yang dibaca berasal daripada ucapan-ucapan orang kafir, membuat rawatan dengan kalimah-kalimah asing, merawat dengan bacaan selain bahasa arab yang tidak diketahui maknanya. Semua itu tercela kerana ada kemungkinan maknanya adalah kekufuran, mendekati kekufuran atau makruh.

Adapun membuat rawatan dengan ayat-ayat al-Quran dan zikir-zikir yang difahami tidaklah dilarang, bahkan merupakan amalan yang sunnah. Para ulama telah menukilkan sebagai ijma’ tentang kebolehan membuat rawatan dengan ayat-ayat al-Quran dan zikir-zikir kepada Allah SWT.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/141-142)

Selain itu, Imam al-Syaukani juga ada menyatakan bahawa harus meruqyah dengan kitab Allah SWT, dan diikuti dengan zikir dan doa-doa yang ma’thur, boleh juga doa yang tidak ma’thur selagi mana tidak bertentangan dengan yang ma’thur. (Lihat Nail al-Autar, 10/440).

Pembedahan batin

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa tiada bukti mahupun dalil daripada nas al-Quran dan hadith yang menunjukkan kepada pembedahan batin ini mengikut syariat Islam. Sebaliknya, perubatan bedah batin ini diragui perbuatannya dan dikenalpasti melibatkan penipuan dan khurafat. Bahkan, amalan ini adalah haram untuk dilakukan kerana pengamal mungkin menggunakan ilmu hitam, perantaraan jin atau syaitan mahupun sihir semasa merawat.

Di sana terdapat sebuah Garis Panduan Amalan Perubatan Islam yang dikeluarkan oleh JAKIM, dan di dalamnya ada disebutkan ciri-ciri perubatan Islam. Antaranya ialah:

  • Ayat-ayat rawatan berlandaskan al-Quran dan hadith, serta doa-doa yang difahami maknanya dan jelas sebutannya. Begitu juga, tidak menambah atau mengurangkan ayat al-Quran dan menterbalikkan susunan ayat al-Quran.
  • Tidak menggunakan bahan seperti darah, bangkai, khinzir, anjing, arak, tanah kubur, kain kapan, pakaian harian, kemenyan, senjata lama (keris, pedang dan seumpamanya), tulang-belulang, rambut, minyak dagu/ pengasih/senyonyong/cenuai dan nasi tangas.
  • Tidak merawat dalam bilik yang gelap.
  • Tidak menjalankan pembedahan batin secara ghaib atau menggunakan bantuan makhluk halus.

(Lihat Garis Panduan Amalan Perubatan Islam, JAKIM)

Bahkan terdapat fatwa-fatwa daripada badan berautoriti yang telah dikeluarkan yang melarang pembedahan batin ini. Di antaranya, keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor (MJKFNS) Kali 5/2013 yang bersidang pada 10 Oktober 2013 bersamaan 5 Zulhijjah 1434H. Di antara keputusan yang telah diputuskan oleh mereka ialah:

  • Amalan, pegangan, kepercayaan atau fahaman pembedahan batin atau apa-apa amalan yang mempunyai persamaan dengan pembedahan batin adalah menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar;
  • Orang Islam yang telah mengamal, mempercayai, mengajar, mempelajari dan mengikuti amalan-amalan pembedahan batin atau yang mempunyai persamaan dengan amalan, ajaran, pegangan, kepercayaan atau fahaman pembedahan batin hendaklah segera meninggalkan ajaran tersebut dan bertaubat kepada Allah SWT;
  • Mana-mana orang Islam dari mana-mana kumpulan adalah dilarang menyertai, menyokong, membantu, bekerjasama, menyumbangkan apa- apa dana dalam menzahirkan atau menghidupkan atau mengembangkan pembedahan batin;
  • Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana amalan, ajaran, pegangan, kepercayaan atau fahaman oleh individu atau kelompok atau kumpulan mengenai pembedahan batin atau apa-apa amalan, ajaran, pegangan, kepercayaan atau fahaman yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur amalan, ajaran, pegangan dan fahaman pembedahan batin adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada ajaran Islam;
  • Apa-apa jua bahan publisiti yang menonjolkan amalan, ajaran, pegangan, kepercayan atau fahaman pembedahan batin atau apa-apa amalan, ajaran, pegangan atau fahaman oleh individu atau kelompok atau kumpulan yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur amalan, ajaran, pegangan, kepercayaan dan fahaman pembedahan batin dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan adalah diharamkan.[1]

Begitu juga keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 25 Muharram 1438 bersamaan 26 Oktober 2016 telah mengambil keputusan seperti berikut:

Tidak bersetuju dengan rawatan pembedahan batin kerana:

  • Ketiadaan bukti yang jelas dari segi pengiktirafan kepakaran untuk merawat pesakit.
  • Adanya unsur penggunaan jin bagi tujuan rawatan.
  • Ketidakpastian dari segi penyampaian maklumat kepada pesakit. Berlaku percanggahan dalam pemberian maklumat antara kenyataan dalam blog pusat rawatan tersebut dengan jawapan yang diberikan pengamal dalam sesi temubual yang dijalankan oleh bahagian penyelidikan.
  • Kaedah rawatan yang tidak menepati syara’ yang boleh menimbulkan fitnah iaitu percampuran tempat rawatan lelaki dan perempuan tanpa penghadang, sentuhan perawat lelaki ke atas pesakit perempuan dan pendedahan aurat.[2]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/26/kertas-makluman-mengenai-penyelewengan-pembedahan-batin-di-negeri-selangor/. Diakses pada 19 Mei 2024.

[2] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/16050. Diakses pada 19 Mei 2024.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *