#5949: Sengaja Melewatkan Solat Fardhu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum sengaja melewatkan solat fardhu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu ialah suatu kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas golongan yang beriman.”

(Surah al-Nisa’: 103)

Ibn Mas‘ud R.A dalam mentafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap solat itu mempunyai waktu-waktunya yang tertentu yang wajib untuk dilaksanakan padanya sama seperti waktu-waktu yang ditentukan bagi pelaksanaan ibadah haji. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/258)

Menjawab persoalan yang diajukan, perlu diketahui bahawa sebab-sebab yang dimaafkan jika seseorang itu melewatkan solat, sepertimana dalam hadith Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَسِيَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang terlupa untuk solat, maka hendaklah dia mengerjakan solat apabila teringat.”

Riwayat al-Bukhari (597) dan Muslim (684)

Di dalam konteks persoalan saudara, iaitu sengaja melewatkan solat, ia dapat difahami dengan dua makna:

Pertama: Melewatkan solat sehingga keluar dari waktunya.

Adapun hukum melewatkan solat sehingga keluar dari waktunya, jelas sekali bahawa perbuatan ini adalah berdosa dan diharamkan. Ini sebagaimana yang difahami menerusi firman Allah SWT:

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ (4) الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

Maksudnya: “Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat. (4) Iaitu orang-orang yang lalai dalam menunaikan solat mereka. (5)”

(Surah al-Ma‘un: 4-5)

Ibn Kathir mengatakan, orang yang lalai ini ada banyak sifat, sama ada dia sentiasa atau kebiasaannya melewatkan solat sehingga ke penghujung waktu, atau dia tidak memenuhi setiap rukun serta syarat yang diperintahkan dalam solat, atau dia tidak khusyuk serta mendalami intipati solat tersebut. Kalimah ‘lalai’ merangkumi kesemua ini, akan tetapi sesiapa yang mempunyai salah satu dari sifat ini, maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang dicela dalam ayat ini. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/468)

Rasulullah SAW juga memerintahkan agar kita mendirikan solat di dalam waktunya, ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadith Abdullah bin Mas‘ud R.A:

إِنَّهُ سَتَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ يُؤَخِّرُونَ الصَّلَاةَ عَنْ مِيقَاتِهَا، وَيَخْنُقُونَهَا إِلَى شَرَقِ الْمَوْتَى، فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمْ قَدْ فَعَلُوا ذَلِكَ، فَصَلُّوا الصَّلَاةَ لِمِيقَاتِهَا، وَاجْعَلُوا صَلَاتَكُمْ مَعَهُمْ سُبْحَةً

Maksudnya: “Sesungguhnya kelak akan datang para penguasa yang melewatkan solat dari waktunya dan melengah-lengahkan pelaksanaannya hingga hampir keluar waktu. Apabila kalian menyaksikan mereka melakukan hal tersebut, maka kalian solatlah tepat pada waktunya, kemudian solat pula berjamaah bersama-sama dengan mereka dan jadikanlah solatmu bersama mereka sebagai suatu sunnah (mendapatkan fadhilat berjemaah).”

Riwayat Muslim (534)

Memahami hakikat ‘perintah’ Rasulullah SAW dalam disiplin ilmu Usul Fiqh, Imam al-Juwaini mengatakan:

الأَمْرُ عَنْ الشَّيْءِ نَهْيٌ عَنْ ضِدِّهِ

Maksudnya: “Perintah untuk melakukan sesuatu merupakan larangan untuk melakukan apa yang bertentangan dengannya.”

Syeikh Sa‘id bin Muhammad al-Kamali ketika mensyarahkan perbahasan ini, beliau berkata: “Kefahaman yang betul menurut para ahli tahqiq seperti; Ibn al-‘Arabi, Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, Ibn Hajar, al-Syinqiti, dan al-Tahir bin ‘Asyur, suatu perintah itu pada zatnya bukanlah bermaksud larangan dari melakukan apa yang bertentangan dengannya, akan tetapi perintah itu melazimkan larangan tersebut.” Dalam erti kata mudah, sekiranya seseorang memerintahkan: “Berhenti!” bukan bermaksud dia melarang dengan berkata: “Jangan bergerak!”, akan tetapi, lazim dari perbuatan berhenti itu adalah dengan tidak bergerak. (Lihat Janyu al-Thamarat, hlm. 85)

Perintah ini pula secara umum adalah wajib, dan apabila kewajiban solat itu tidak dipenuhi kerana melewat-lewatkan solat sehingga keluar dari waktunya, maka dia telah meninggalkan suatu kewajipan dan dihukum berdosa. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Suatu perkara yang mana tidak sempurna suatu kewajiban itu melainkan dengan perkara tersebut, maka hukumnya juga adalah wajib.”

Kedua: Melewatkan solat sehingga ke hujung waktunya.

Secara asasnya, tidak mengapa jika seseorang itu melewatkan solat sehingga ke hujung waktunya sekiranya dia mempunyai sebab yang tertentu. Kami mengkhususkan lagi perbincangan ini dalam konteks seseorang itu sempat untuk menyempurnakan solatnya di dalam waktu solat, meskipun dia ketika itu sudah berada di penghujung waktu.

Imam al-Nawawi menyatakan, berkenaan hukum masalah ini, boleh untuk dilewatkan solat sehingga ke penghujung waktunya tanpa sebarang perselisihan ulama’, selama mana setiap rakaat solat dapat ditunaikan dalam waktunya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/62)

Akan tetapi, sekiranya tidak mempunyai sebarang sebab yang dibenarkan oleh syara‘, maka perbuatan melewat-lewatkan itu adalah berdosa. Imam al-Kharasyi al-Maliki berkata, barangsiapa yang sengaja mendirikan solat, sama ada keseluruhannya atau sebahagiannya sahaja pada waktu darurat (di penghujung waktu) tanpa sebarang keuzuran, maka dia berdosa. (Lihat Syarh al-Kharasyi ‘ala Mukhtasar al-Khalil, 1/220)

Imam ‘Ala’uddin al-Mardawi juga mengatakan menurut pandangan yang tepat dalam Mazhab al-Hanbali, tidak boleh melewatkan solat, meskipun sebahagiannya sahaja sehingga ke waktu darurat, sekiranya tidak mempunyai sebarang keuzuran. (Lihat al-Insaf, 4/86)

Syeikh Zakariyya al-Ansari al-Syafi‘i menyebutkan di dalam Asna al-Matalib (1/119), berdosa jika sengaja mengeluarkan sebahagian dari rukun-rukun solat di luar dari waktunya (dia solat pada penghujung waktu), dan berdosa itu kerana ia berkait dengan kehormatan solat.

Kesimpulan

Seorang muslim yang cinta pada agamanya perlu sentiasa memelihara agama suci ini, kerana ia merupakan tiang asas yang menjulang tinggi Islam. Berdosa sekiranya dia sengaja memperkecilkan solat itu dengan melewat-lewatkannya tanpa sebarang sebab. Sebaliknya jika seseorang itu terlewat mendirikan solat atas keuzuran yang dibenarkan syara‘, maka tidak menjadi masalah, tetapi dia perlu segera menunaikan hak Allah SWT itu.

Allah SWT juga amat suka dengan mereka yang mengerjakan solat pada awal waktu. Ini disebutkan dalam hadith Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang paling disukai oleh Allah SWT. Lalu Baginda SAW bersabda:

الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا

Maksudnya: “Menunaikan solat pada waktunya.”

Riwayat al-Bukhari (527) dan Muslim (85)

Menggambarkan betapa pentingnya untuk disempurnakan ibadah solat ini dengan sebaiknya, sehingga ia akan menjadi perkara pertama yang disoal kelak pada hari akhirat. Di dalam hadith Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَـابَ وَخَسِرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan yang pertama kali dihisab daripada seorang hamba pada hari Kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka beruntung dan selamatlah dia. Namun, jika rosak, maka rugi dan celakalah dia.”

Riwayat al-Nasa’i (451), (452) dan al-Tirmizi (411)

Semoga Allah SWT kurniakan semangat dalam diri kita untuk terus menjaga solat dengan sebaiknya. Kami akhiri dengan doa:

 رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a‘lam.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *