Soalan
Adakah boleh untuk wanita beriddah kematian suami keluar bersedekah?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan,hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan.
Dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. ( Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61)
Begitu juga dinyatakan hikmah ‘Iddah bagi kematian suami yang disyariatkan dengan bertujuan:
- Menunjuk kesetiaan kepada suami yang telah meninggal. Oleh itu Allah SWT mewajibkan isteri bagi menghormatinya, setia dan melayaninya. Justeru tidak sesuai bagi isteri bersikap sebaliknya selepas kematian suami
- Menggantikan adat jahiliyyah yang mewajibkan isterinya berkurung di tempat yang gelap selama setahun selepas kematian suaminya.
‘Iddah kerana kematian ialah `iddah yang diwajibkan kepada isteri yang kematian suami:
- Jika perempuan itu mengandung semasa kematian suaminya, maka `iddahnya berakhir dengan kelahiran anaknya sama ada `iddah itu mengambil masa yang panjang atau pendek.
- Jika isteri tidak mengandung atau mengandung akan tetapi bukan daripada benih suami yang meninggal dunia. Ini seperti isteri mengandung, sedangkan suaminya belum baligh atau suaminya telah lama hilang melebihi empat tahun sama ada dia telah menyetubuhi isterinya ataupun belum, maka `iddahnya adalah dengan berakhirnya empat bulan sepuluh hari. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji 3/63)
Perempuan yang berada di dalam ‘iddah kerana kematian wajib ke atasnya melakukan perkara seperti berikut:
- Berkabung atas kematian suaminya dengan tidak berhias dan mengenakan bau-bauan seperti bersolek, memakai baju berwarna terang, memakai barang kemas dan selainnya.
Kewajiban untuk beriddah selama empat bulan sepuluh hari bagi wanita yang kematian suaminya adalah sabit dalam Hukum Syarak. Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
Maksudnya: “Dan mereka yang meninggal dunia dari kalangan kalian serta meninggalkan isteri-isteri hendaklah mereka itu (para isteri) menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari.”
(Surah al-Baqarah: 234)
Terdapat juga hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.Anha:
لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ مُسْلِمَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُحِدَّ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجِهَا أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
Maksudnya: Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari
Riwayat al-Bukhari (5339)
Wajib menetap di rumah yang didudukinya selama tempoh ‘iddah. Isteri juga tidak dibenarkan keluar melainkan sekiranya ada keperluan dan hajat. Ini seperti membeli keperluan makanan, bekerja sekiranya tidak membenarkannya untuk tinggal di rumahnya secara berterusan sepanjang tempoh ‘iddahnya dan isteri terpaksa menghilangkan kesunyian dengan berbual-bual bersama jiran. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/71-73)
Namun, tiada masalah bagi seorang balu yang sedang menjalani iddah untuk keluar rumah bagi menunaikan hajatnya. Antaranya hajat yang mengharuskan rukhsah tersebut, ialah bersedekah. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA:
طُلِّقَتْ خَالَتِي فَأَرَادَتْ أَنْ تَجُدَّ نَخْلَهَا فَزَجَرَهَا رَجُلٌ أَنْ تَخْرُجَ فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: بَلَى فَجُدِّي نَخْلَكِ فَإِنَّكِ عَسَى أَنْ تَصَدَّقِي أَوْ تَفْعَلِي مَعْرُوفًا
Maksudnya: “Ibu saudaraku telah diceraikan dan dia ingin memetik buah tamarnya, tetapi seorang lelaki telah menegahnya keluar. Lalu, dia pergi menemui Nabi SAW. Lantas Baginda bersabda: “Ya, keluarlah dan petiklah buah tamar itu. Mudah-mudahan engkau akan bersedekah ataupun melakukan kebaikan.”
Riwayat Muslim (1483)
Imam al-Nawawi menyatakan dalam syarahnya: “Hadith ini adalah dalil membolehkan wanita beriddah bain untuk keluar bagi suatu hajat keperluan. Pendapat mazhab Malik, al-Tsauri, al-Laits, al-Syafie, Ahmad dan lain-lain ulama bahawa dibenarkan wanita beriddah ba’in itu keluar pada hari siang bagi suatu hajat. Mereka juga mengharuskan juga keluar bagi wanita yang kematian suami dan dalam hal ini dipersetujui juga oleh Abu Hanifah sekalipun dalam kes talak bain beliau berkata tidak boleh keluar, sama ada malam atau pun siang. Hadith ini juga adalah dalil bahawa digalakkan bersedekah dengan tamar apabila tiba masa menuainya, begitu juga dengan memberinya sebagai hadiah. Digalakkan juga agar pemilik tamar itu sendiri yang melakukan serta mengingatkan perkara yang makruf dan kebaikan. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/108)
Rukhsah dan keharusan ini terikat dengan satu syarat iaitu hendaklah wanita yang beriddah tadi hanya keluar pada waktu siang dan mesti balik bermalam ke rumah tempat iddahnya. Fakta ini ada disebutkan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli apabila mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi: [Dengan syarat hendaklah wanita itu pulang ke dan bermalam di rumahnya] sepertimana yang riwayat daripada al-Syafie dan al-Baihaqi – semoga Allah Ta’ala merahmati mereka berdua: Sesungguhnya ramai orang lelaki telah syahid sewaktu Perang Uhud. Lalu golongan wanita (balu-balu itu) berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami berasa takut berada di rumah-rumah kami lalu kami bermalam di rumah salah seorang daripada kalangan kami.” Lalu baginda ﷺ mengizinkan mereka untuk berbual di rumah salah seorang daripada mereka, tetapi apabila waktu tidur, setiap seorang daripada mereka hendalah balik ke rumah masing-masing.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 7/156)
Kesimpulan
Berdasarkan persoalan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa dibenarkan bagi isteri yang kematian suami dan sedang menjalani iddah untuk keluar daripadanya rumahnya bagi tujuan bersedekah. Rukhsah ini diharuskan dengan syarat hendaklah urusan berkenaan dilakukan pada waktu siang sahaja dan hendaklah isteri berkenaan pulang ke rumah iddahnya pada waktu malam.
Semoga Allah SWT memberikan ketabahan dan kekuatan kepada keluarga yang bertanya serta mengurniakan ganjaran pahala bagi sedekah yang dilakukan. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H