Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan sighah takbir raya dan dalilnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Dalam menjawab persoalan di atas, dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (2/407) menyebut:  Menurut pendapat ulama’ Hanafi dan Hanbali, takbir dilakukan secara dua-dua (berpasangan). Sighah (lafaz) takbir menurut mereka ialah:

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَر، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، اللهُ أَكْبَرْ، اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Sebagai mengamalkan apa yang diriwayatkan oleh Jabir daripada Nabi SAW (sebagaimana  yang akan dinyatakan nanti), dan itulah yang dikatakan  oleh kedua-dua khalifah al-Rasyidin dan Ibn Mas’ud.

Sighah (lafaz) takbir menurut pandangan ulama’ Maliki dan Qaul Jadid dalam Mazhab Syafie yang dilakukan secara tiga-tiga ialah:

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرْ

Itulah yang terbaik menurut pendapat ulama’ Maliki. Jika ditambah lagi: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، اللهُ أَكْبَرْ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ maka itu baik, mengamalkan dengan apa yang diriwayatkan daripada Jabir dan Ibn Abbas. Menurut pendapat ulama’ Syafie sunat ditambahkan lagi selepas takbir yang ketiga sepertimana berikut: الله أكبر كبيرا، والحمد لله كثيرا، وسبحان الله بكرة وأصيلا sebagaimana yang diucapkan oleh Nabi SAW semasa di Safa. Disunatkan juga menyebut selepas itu:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ، مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ، وَلَوْ كَرِهَ المُنَافِقُوْن، وَلَو كَرِهَ المُشْرِكُوْن، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأعَزّ جُندَهُ، وَهَزَمَ الأَْحْزَابَ وَحْدَهُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ.

Tambahan ini boleh disebut, jika suka menurut pendapat ulama’ Hanafi, dan mengakhiri dengan:

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّد، وَعَلىَ أَصْحَابِ مُحَمَّد، وَعَلَى أَزْوَاجِ مُحَمَّد، وَسَلِّمْ تَسْلِيمًا كَثِيْرًا

Lafaz takbir yang masyhur di Malaysia ialah:

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرْ، لَاإِلَهَ إِلاَّ اللهُ، اللهُ أَكْبَرْ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Leave a Reply