#5954: Solat Sunat Musafir

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat dalil tentang solat sunat musafir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat Solat Musafir atau Solat Safar adalah solat sunat dua rakaat yang didirikan ketika seseorang itu ingin memulakan sesuatu perjalanan. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

مَا خَلَّفَ عَبْدٌ عَلَى أَهْلِهِ أَفْضَلَ مِنْ رَكْعَتَيْنِ يَرْكَعُهُمَا عِنْدَهُمْ حِينَ يُرِيدُ سَفَراً

Maksudnya: “Tiada seorang hamba meninggalkan atas keluarganya sesuatu yang lebih utama daripada melakukan rukuk (solat) dua rakaat di dekat keluarganya ketika menghendaki musafir (safar).”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (4912). Hadith ini dinilai dhaif berdasarkan kitab al-Kalam al-Tayyib (167)

Dalam riwayat Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَنْزِلُ مَنْزِلًا إِلَّا وَدَّعَهُ بِرَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Nabi SAW  tidaklah tinggal di suatu tempat tinggal kecuali Baginda meninggalkannya dengan dua rakaat.”

Riwayat Ibn Khuzaimah (1260) dan Abu Ya‘la (4315). Sanad hadith ini dinilai dhaif berdasarkan pengarang kitab takhrij Sahih Ibn Khuzaimah (1260)

Solat sunat musafir ialah solat yang didirikan oleh mereka yang hendak melakukan perjalanan jauh iaitu lebih dari dua marhalah jaraknya, maka mereka disunatkan untuk mengerjakan solat sunat musafir sebanyak dua rakaat.

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِذَا خَرَجْتَ مِنْ مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ يَمْنَعَانِكَ مِنْ مَخْرَجِ السُّوْءِ وَإِذَا دَخَلْتَ إِلَى مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ يَمْنَعَانِكَ مِنْ مَدْخَلِ السُّوْءِ

Maksudnya: “Jika kamu keluar dari rumahmu, maka lakukanlah solat dua rakaat yang dengan ini akan menghalangimu dari keburukan yang berada di luar rumah. Jika kamu memasuki rumahmu maka lakukanlah solat dua rakaat yang akan menghalangimu dari keburukan yang masuk ke dalam rumah.”

Riwayat al-Bazzar (8567) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (1096). Sanad hadith ini dinilai jayyid (baik) berdasarkan al-Silsilah al-Sahihah (1323)

Sekiranya seseorang itu ingin memulakan permusafiran, maka disunatkan baginya mendirikan solat sunat musafir dua rakaat. Pada umumnya cara melakukan Solat Sunat Musafir adalah sama seperti solat-solat sunat biasa yang lain.

Di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (42/37), dinyatakan bahawa dianjurkan bagi seseorang yang ingin keluar bermusafir untuk solat dua rakaat sebagaimana riwayat Anas bin Malik R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا اسْتَخْلَفَ عَبْدٌ فِي أَهْلِهِ مِنْ خَلِيفَةٍ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى مِنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ يُصَلِّيهِنَّ فِي بَيْتِهِ إِذَا شَدَّ عَلَيْهِ ثِيَابَ سَفَرِهِ

Maksudnya: “Tidak ada seorang hamba yang ingin mengambil penjaga lebih baik di sisi Allah daripada empat rakaat solat yang dia laksanakan di rumahnya apabila dia memperkemaskan pakaian kembaranya.”

Riwayat al-Dailami dalam al-Firdaus (6180). Hadith ini dinilai sebagai sangat dhaif berdasarkan al-Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah (8540)

Kebanyakan para ulama’ juga berpendapat bahawa dianjurkan untuk solat sunat musafir. Al-Tahtawi yang bermazhab Hanafi di dalam kitabnya Hashiyah al-Tahtawi ‘ala Maraqi al-Falah menyebutkan senarai solat yang disunatkan untuk solat, antaranya ialah solat dua rakaat ketika ingin bermusafir dan ketika ingin kembali dari permusafiran.” (Lihat Hashiyah al-Tahtawi ‘ala Maraqi al-Falah, hlm. 401)

Imam al-Nafrawi dari kalangan fuqaha bermazhab Maliki menyatakan bahawa disunatkan apabila seseorang itu ingin keluar bermusafir untuk solat dua rakaat. (Lihat al-Fawakih al-Dawani ‘ala Risalah Ibn Abi Zayd al-Qayrawani, 1/375)

Imam al-Nawawi pula yang merupakan ulama’ mazhab al-Syafi’ie menyatakan bahawa disunatkan apabila seseorang itu apabila ingin keluar dari rumahnya untuk solat dua rakaat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/387)

Kami akhiri dengan berdoa sebagaimana doa musafir:

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر {سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ * وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ} اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ، وَإِذَا رَجَعَ قَالَهُنَّ، وَزَادَ فِيهِنَّ: آيِبُونَ، تَائِبُونَ، عَابِدُونَ، لِرَبِّنَا حَامِدُونَ

Maksudnya:Allah Maha Besar (diulang sebanyak tiga kali) Maha Suci Tuhan yang menundukkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelumnya tidak mampu mengawalnya. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami. Ya Allah kami memohon kebaikan dan ketaqwaan dalam perjalanan kami, dan perbuatan yang diredhaimu, Ya Allah permudahkanlah perjalanan kami ini, dan dekatkanlah jarak perjalanan ini, Ya Allah Engkaulah penemanku dalam perjalanan ini, dan pengurus hartaku, Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kepenatan dalam perjalanan ini, dan dari pemandangan yang tidak baik, serta perkara-perkara buruk keatas harta dan keluargaku, dan apabila telah kembali pulang maka ucapkanlah: Kami kembali, kami bertaubat, kami beribadah, dah kepada Tuhan kami segala pujian.”

Riwayat Muslim (1342)

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *