#5955: Solat Sunat Selepas Musafir

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat dalil solat sunat selepas kembali dari musafir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat Sunat Musafir ialah solat dua rakaat yang digalakkan untuk dilakukan sebelum musafir dan juga setelah musafir. Hal ini kerana musafir menuntut kita untuk bersusah payah untuk dari satu destinasi ke destinasi yang lain yang agak jauh. Bahkan musafir merupakan sesuatu yang azab sebagaimana hadith riwayat Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنَ العَذَابِ، يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ نَوْمَهُ وَطَعَامَهُ، فَإِذَا قَضَى نَهْمَتَهُ مِنْ وَجْهِهِ فَلْيُعَجِّلْ إِلَى أَهْلِهِ

Maksudnya: “Bermusafir adalah sebahagian daripada azab. Ia menghalang kamu daripada tidur dan makan. Apabila seseorang musafir itu telah menyelesaikan keperluannya dalam permusafiran itu, maka hendaklah dia segera pulang kepada keluarganya.”

Riwayat al-Bukhari (5429)

Kami nukilkan penjelasan dan tafsiran para ulama’ berkenaan maksud hadith tersebut.

Al-Munawi menyebut : “ Ia adalah sebahagian dari azab kerana di dalam permusafiran tersebut terdapat keletihan, kepayahan, angin yang kuat, cuaca yang panas dan sejuk, ada ketakutan, bahaya, kurangnya air dan bekalan makanan.”  (Lihat Faidh al-Qadir, 14/351)

Dalam menjawab persoalan di atas, Imam al-Bukhari di dalam ‘Bab Solat Apabila Kembali daripada Bermusafir’ meriwayatkan hadith daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَلَمَّا قَدِمْنَا المَدِينَةَ قَالَ لِي: “ادْخُلِ المَسْجِدَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ”

Maksudnya:Aku bersama Nabi SAW dalam satu perjalanan. Apabila kami sampai di Madinah Baginda bersabda kepadaku:  “Masuklah ke dalam masjid dan tunaikanlah solat dua rakaat.”

Riwayat al-Bukhari (3087) dan Muslim (715)

Begitu juga dengan riwayat Kaab bin Malik R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا قَدِمَ مِنْ سَفَرٍ، ضُحًى دَخَلَ المَسْجِدَ، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW apabila kembali daripada bermusafir pada waktu dhuha, Baginda masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat sebelum duduk (menemui orang ramai).”

Riwayat al-Bukhari (3088) dan Muslim (2769)

Syeikh Faisal Ali Mubarak berkata: “Pada hadith ini terkandung anjuran agar solat di masjid terlebih dahulu sebaik kembali dan tiba dari permusafiran, agar ia memulakan dengan mengagungkan rumah Allah sebelum kembali ke rumahnya, serta sebagai bentuk syukur atas nikmat-nikmat dan keselamatan yang diberikan Allah ke atas dirinya. (Lihat Tatriz Riyadh al-Salihin, hlm. 577)

Kami akhiri dengan berdoa sebagaimana doa musafir:

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر {سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ * وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ} اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ، وَإِذَا رَجَعَ قَالَهُنَّ، وَزَادَ فِيهِنَّ: آيِبُونَ، تَائِبُونَ، عَابِدُونَ، لِرَبِّنَا حَامِدُونَ

Maksudnya:Allah Maha Besar (diulang sebanyak tiga kali) Maha Suci Tuhan yang menundukkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelumnya tidak mampu mengawalnya. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami. Ya Allah kami memohon kebaikan dan ketaqwaan dalam perjalanan kami, dan perbuatan yang diredhaimu, Ya Allah permudahkanlah perjalanan kami ini, dan dekatkanlah jarak perjalanan ini, Ya Allah Engkaulah penemanku dalam perjalanan ini, dan pengurus hartaku, Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kepenatan dalam perjalanan ini, dan dari pemandangan yang tidak baik, serta perkara-perkara buruk keatas harta dan keluargaku, dan apabila telah kembali pulang maka ucapkanlah: Kami kembali, kami bertaubat, kami beribadah, dah kepada Tuhan kami segala pujian.”

Riwayat Muslim (1342)

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *