Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kita digalakkan untuk berdoa dan solat selepas akad nikah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَنكِحُوا۟ ٱلْأَيَـٰمَىٰ مِنكُمْ وَٱلصَّـٰلِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَآئِكُمْ ۚ إِن يَكُونُوا۟ فُقَرَآءَ يُغْنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ
Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang yang bersendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan.”
(Surah al-Nur: 32)
Al-Baghawi dalam tafsirnya menyebutkan, kekayaan di sini bermaksud kecukupan. Dikatakan juga, tempat berkumpulnya rezeki iaitu rezeki suami dan rezeki isteri. Saidina Umar berkata: “Aku pelik dengan orang yang mencari kekayaan selain daripada nikah, sedangkan Allah SWT berfirman, Sekiranya mereka itu merupakan orang faqir, Allah akan memberikan kecukupan kepada mereka dari kelebihan-Nya”. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 3/410).
Dalam menjawab persoalan di atas, terdapat beberapa athar daripada perbuatan sahabat R.Anhum yang menunjukkan kepada perbuatan solat sunat selepas akad nikah. Namun yang dimaksudkan di sini bukanlah dilakukan secara langsung selepas akad nikah, namun ia dilakukan ketika mana mendatangi dan menemui si isteri di dalam bilik. Solat ini dilakukan bersama-sama yang mana si isteri menjadi makmumnya. Ini sepertimana yang riwayat yang mana seorang lelaki telah datang berjumpa dengan Abdullah bin Mas‘ud R.A lalu berkata:
إِنِّي تَزَوَّجْتُ جَارِيَةً شَابَّةً، وَإِنِّي أَخَافُ أَنْ تَفْرَكَنِي قَالَ: فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ: إِنَّ الْإِلْفَ مِنَ اللَّهِ، وَالْفَرْكَ مِنَ الشَّيْطَانِ، يُرِيدُ أَنْ يُكَرِّهَ إِلَيْكُمْ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ، فَإِذَا أَتَتْكَ فَمُرْهَا أَنْ تُصَلِّيَ وَرَاءَكَ رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah berkahwin dengan seorang perempuan yang masih dara dan aku takut dia akan membenciku. Abdullah bin Mas’ud berkata: ‘Sesungguhnya rasa kasih sayang serta kelembutan itu daripada Allah, dan kebencian itu daripada syaitan. Dia (syaitan) mahu menyemai rasa kebencian kepada kalian apa yang telah Allah halalkan. Sekiranya kamu pergi kepada isterimu, arahkan dia untuk solat di belakangmu dua rakaat.’”
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (17156)
Abdullah bin Mas‘ud juga mengajarkan doa:
اللَّهُمَّ، بَارِكْ لِي فِي أَهْلِي، وَبَارِكْ لَهُمْ فِيَّ، اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي مِنْهُمْ، وَارْزُقْهُمْ مِنِّي، اللَّهُمَّ، اجْمَعْ بَيْنَنَا مَا جَمَعْتَ إِلَى خَيْرٍ، وَفَرِّقْ بَيْنَنَا إِذَا فَرَّقْتَ إِلَى خَيْرٍ
Maksudnya: “Ya Allah! Berkatilah diriku dengan apa yang ada pada keluargaku, dan berkatilah keluargaku dengan apa yang ada pada diriku. Ya Allah! Rezekikanlah aku daripada apa yang ada pada keluargaku, den rezekikanlah mereka daripada apa yang ada padaku. Ya Allah! Satukanlah antara kami dengan pertemuan ke arah kebaikan, dan, jika engkau takdirkan perpisahan, pisahkanlah kami (juga) ke arah kebaikan.”
Riwayat Abd al-Razzaq dalam Musannafnya (10460) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (8993). Sanad hadith ini dinilai sahih berdasarkan Adab al-Zafaf (24)
Dalam sebuah athar yang lain diriwayatkan daripada Abu Sa’id maula Abu Usaid al-Ansari telah berkata:
تَزَوَّجْتُ وَأَنَا مَمْلُوكٌ , فَدَعَوْتُ نَفَرًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ – صلى الله عليه وسلم – فِيهِمْ ابْنُ مَسْعُودٍ وَأَبُو ذَرٍّ وَحُذَيْفَةُ – رضي الله عنهم – فَعَلَّمُونِي فَقَالُوا: إذَا أُدْخِلَ عَلَيْكَ أَهْلُكَ فَصَلِّ عَلَيْكَ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ سَلْ اللهَ تَعَالَى مِنْ خَيْرِ مَا دَخَلَ عَلَيْكَ، وَتَعَوَّذْ بِهِ مِنْ شَرِّهِ، ثُمَّ شَأنَكَ وَشَأنَ أَهْلِكَ
Maksudnya: “Aku telah berkahwin dan aku masih dalam keadaan seorang hamba yang dimiliki. Aku telah mengajak sebahagian sahabat Nabi SAW dan di kalangan yang hadir itu adalah Ibn Mas’ud, Abu Zar dan Huzaifah R.Anhum. Mereka telah mengajarkanku dengan mengatakan: ‘Jika kamu masuk menemui isterimu, maka solatlah dua rakaat kemudian mintalah kepada Allah SWT kebaikan daripada isterimu dan mohonlah perlindungan daripada keburukan isterimu dan kemudian terpulanglah kepada urusanmu dan juga isterimu.’”
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya (17153) dan Abd al-Razzaq dalam Musannafnya (10462). Hadith ini dinilai sahih sebagaimana dalam al-Irwa’ (523)
Berdasarkan dua athar di atas, sebahagian ulama’ mengatakan bahawa hukum solat sunat selepas nikah itu dibolehkan berdasarkan perbuatan para salaf. Oleh itu, melihat kepada nas athar di atas, ia merupakan solat yang dilakukan di dalam bilik ketika si suami memasuki untuk bertemu, mendatangi si isteri dan bukannya dilakukan secara terbuka sejurus selepas nikah. Sekiranya tidak dilakukan, tidak menjadi masalah
Sebahagian ulama’ menggalakkan pelakuan solat sunat selepas nikah. Hal ini amat baik dalam memukadimahkan pembinaan rumah tangga agar menjadi ‘Baiti Jannati’ (rumahku syurgaku).
Setelah itu, sunnah bagi suami untuk mendoakan isteri yang baru dinikahi dengan doa sambil meletakkan tangan di atas ubun-ubun isteri:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْه
Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu kebaikan isteriku ini yang Engkau telah ciptakan atasnya, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang Engkau telah ciptakan atasnya.”
Riwayat Abu Dawud (2160), Ibn Majah (2252,1918). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (2160) menilai sanadnya sebagai hasan.
Ulama’ juga menyebut adab solat sunat ini dilaksanakan di tempat tertutup supaya terjaga aurat isteri. Manakala, upacara membatalkan air sembahyang bukanlah tuntutan syarak melainkan hanyalah adat semata-mata.
Kami akhiri dengan doa sepertimana doa kepada pengantin:
بَارَكَ اللَّهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِى خَيْرٍ
Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu ketika bahagia dan ketika susah, serta menghimpunkan kamu berdua dalam kebaikan.”