Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Salah satu dalam bab taubat mesti mempunyai keazaman yang kuat. Boleh terangkannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

‎﴿ وَذَا النُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَىٰ فِي الظُّلُمَاتِ أَن لَّا إِلَٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

٨٧﴾‏ فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْغَمِّ ۚ وَكَذَٰلِكَ نُنجِي الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan orang yang berada dalam perut ikan Nun (Nabi Yunus) ketika dia pergi dalam keadaan gelap gelita; Tiada Tuhan yang layak diabdikan diri melainkan-Mu. Maha Suci Engkau sesungguhnya aku tergolong di kalangan orang-orang yang zalim. Lalu Kami menerima seruannya, dan kami selamatkannya dari kesusahan. Demikianlah Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Anbiya’: 87-88)

Dalam menjawab persoalan di atas, Jika sebelum ini penyesalan di dalam taubat adalah berkaitan dengan masa yang lalu dan keterlanjuran yang sudah berlaku, di sana terdapat perkara yang berkaitan dengan masa hadapan, mendapatkan kembali yang sudah hilang dan menggantikannya dengan pembaikan. Ini berlaku dengan keazaman yang tekad untuk meninggalkan maksiat serta bertaubat darinya secara menyeluruh dan tidak akan kembali melakukannya sama sekali sepertimana susu yang tidak akan kembali ke kantungnya. Perkara ini bergantung kepada kehendak. Kehendak ini hendaklah kuat dan tekad bukannya kehendak sampingan serta lemah, ibarat dihayunkan satu kaki, kaki yang satu lagi ketinggalan di belakang, berazam hari ini esok dibatalkannya atau bertaubat pada waktu siang kembali melakukannya pada waktu malam.

Pentingnya di dalam keazaman ini ialah hendaklah kuat dan tekad di saat bertaubat tanpa disertai oleh keraguan atau keinginan melakukan maksiat atau terfikir untuk melakukannya sekali lagi. Namun taubat tidak dianggap batal jika kehendak orang yang bertaubat menjadi lemah pada suatu masa, lantas dia dikalahkan oleh nafsunya dan digoda oleh syaitan sehingga pendiriannya menjadi lemah dan dia terjerumus ke lembah dosa sekali lagi. Dalam keadaan ini dia dituntut untuk segera bertaubat, membuat keazaman yang baru serta tidak putus asa terhadap penerimaan taubatnya jika dia tulus. Firman Allah SWT:

فَإِنَّهُ كَانَ لِلْأَوَّابِينَ غَفُورًا ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.”

(Surah al-Isra’: 25)

Para ulama’ berbeza pendapat terhadap siapakah golongan awwabin (الْأَوَّابِينَ) yang dimaksudkan dalam ayat di atas. Sa‘id bin al-Musayyib berkata: (Awwabin) adalah seseorang yang melakukan dosa, kemudian dia bertaubat. Dia melakukan dosa lagi, kemudian dia bertaubat. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 5/68).

Mujahid pula berkata: (Awwabin) adalah seseorang yang mengingati dosa-dosanya ketika dia sedang bersendirian, lalu diapun meminta keampunan daripada Allah S.W.T terhadap dosa-dosanya itu. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 5/68)

Justeru, secara ringkasnya, perkataan al-Awwab di dalam ayat di atas bermaksud banyak bertaubat kepada Allah, setiap kali dia melakukan dosa dia mengetahui bahawa Allah akan mengampuninya. Lantas dia kembali kepada-Nya dan bertaubat kepada-Nya, lalu Allah menerima taubatnya.

Imam Ibn Kathir menyatakan, apabila seseorang itu berazam di dalam taubatnya serta membulatkan tekadnya, maka segala kesalahan lalu terputus dan tertutup sepertimana yang tersebut di dalam sebuah hadith: “Islam itu menutup (kesalahan-kesalahan)  sebelumnya dan taubat  menutup (kesalahan-kesalahan) sebelumnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/169).

Imam  Ibn Kathir menyatakan lagi, adakah menjadi syarat taubat nasuha agar berterusan dalam keadaan begitu sehingga mati sepertimana yang disebut di dalam hadith, kemudian dia tidak kembali melakukannya selama-lamanya atau memadai dengan keazaman untuk tidak melakukannya, sekiranya dia melakukan dosa setelah itu maka ia tidak menghalang penghapusan dosa-dosa lalu sepertimana sabda Baginda: “Taubat menutup atau memutuskan (kesalahan-kesalahan) sebelumnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/169).

Ibn al-Qayyim telah membuat komentar terhadap perkara ini di dalam kitab Madarij al-Salikin. Beliau menukilkan dua pendapat. Satu pendapat mensyaratkan supaya tidak mengulangi dosanya biar apa pun keadaannya. Mereka berkata: Apabila dia kembali melakukan dosa, nyatalah bahawa taubatnya terbatal. Sementara pendapat kebanyakan ulama’ tidak mensyaratkan begitu. Sah atau tidaknya taubat itu bergantung kepada pengelakkan daripada melakukan dosa itu, penyesalan dan keazaman untuk tidak mengulanginya. Jika seseorang itu mengulanginya sedangkan dia telah berazam ketika bertaubat untuk tidak melakukannya lagi, dia menjadi seolah-olah orang yang mula melakukan maksiat dan taubat yang terdahulu tidak membatalkannya.

Masalah ini berasaskan satu dasar iaitu seseorang jika dia bertaubat kemudian dia mengulanginya adakah dosa kesalahan yang telah ditaubatkan darinya yang kemudian diulanginya, sehingga dia berhak mendapat hukuman yang lama dan yang baru jika dia mati dalam keadaan melakukannya? Ataupun dosa-dosa yang lalu dikira terbatal semuanya dan dosanya tidak kembali kepadanya, lantaran itu dia hanya dihukum berdasarkan kepada dosa yang baru.

Terdapat dua pendapat terhadap dasar hukuman ini:

Sekumpulan ulama’ berpendapat; dosa yang lama kembali kepadanya kerana kerosakan dan terbatalnya taubat tersebut dengan mengulanginya. Mereka menyebutkan kerana taubat dari dosa adalah umpama kedudukan Islam berbanding dengan kafir. Seseorang yang pada asalnya kafir jika memeluk Islam, keislamannya meruntuhkan semua kekafirannya serta yang berkaitan dengannya. Apabila dia murtad maka dosa yang lalu akan kembali kepadanya bersama dengan dosa kemurtadannya. Ini jelas sepertimana yang tersebut di dalam sebuah hadith sahih, daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, katanya: Seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, adakah kami akan dihukum terhadap apa-apa yang telah kami lakukan semasa jahiliyah?” Baginda menjawab:

.مَنْ أَحْسَنَ فِي الإِسْلاَمِ لَمْ يُؤَاخَذْ بِمَا عَمِلَ فِي الجَاهِلِيَّةِ، وَمَنْ أَسَاءَ فِي الإِسْلاَمِ أُخِذَ بِالأَوَّلِ وَالآخِرِ

Maksudnya: “Orang yang berbuat baik semasa Islam dia tidak akan dihukum dengan apa-apa yang dilakukan pada masa jahiliyah. Sedangkan orang yang berbuat buruk semasa Islam (murtad dan mati dalam keadaan itu), maka dia akan dihukum dengan yang awal dan akhirnya (atas kesalahan setelah Islam atau semasa jahiliyyah).”

Riwayat al-Bukhari (6921) dan Muslim (120)

Ini adalah keadaan orang yang memeluk Islam serta buruk keislamannya. Kita sudah maklum bahawa kemurtadan adalah suatu perkara yang paling besar di dalam Islam.

Apabila dia dihukum berdasarkan selepas keislamannya semasa kufur, serta tidak digugur oleh keislaman yang berada di antara keduanya, maka begitu jugalah keadaannya dengan taubat yang berada di antara dua dosa, ia tidak akan menggugurkan dosa yang sebelumnya sepertimana ia tidak boleh menggugurkan dosa yang selepasnya.

Mereka berhujah lagi, hal ini kerana syarat sah taubat ialah berterusan. Sementara yang digantungkan dengan sesuatu syarat ia akan lenyap apabila tiada syarat tersebut. Sepertimana sahnya Islam disyariatkan berterusan.

Mereka berkata lagi: “Taubat adalah kewajipan sepanjang hayat. Waktunya ialah sepanjang umur di mana dia mesti menyertakannya sepanjang hayatnya. Kedudukannya berbanding dengan umur adalah umpama menahan diri dari segala perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari. Apabila seseorang menahan diri sepanjang hari kemudian dia membatalkannya dengan perkara yang membatalkan puasanya, maka terbatallah puasa yang sebelum itu (pada hari itu). Puasa itu tidak dikira, lantaran itu kedudukannya adalah sama dengan orang yang tidak menahan dirinya langsung sepanjang hari itu”.

Mereka berkata lagi, buktinya, sebuah hadith sahih di mana Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا.

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang daripada kamu benar-benar melakukan amalan penghuni syurga, sehinggalah jarak antara dirinya dan syurga itu tinggal hanya satu hasta. Namun ketetapan takdir mengalahkannya, lalu dia melakukan amalan penghuni neraka, sehingga dia masuk neraka.”

Riwayat al-Bukhari (3036) dan Muslim (2643)

Hadith ini adalah umum sama ada amalan kedua ini adalah kekufuran yang menjadikan pelakunya kekal di dalam neraka atau hanya sekadar maksiat yang menjadikan pelakunya memasuki syurga (tidak kekal di dalamnya). Hadith ini tidak menyebutkan lalu dia murtad dan meninggalkan Islam. Sebaliknya ia hanya menyatakan: Dia melakukan amalan penghuni neraka. Di dalam sebahagian kitab hadith menyebutkan: Sesungguhnya seorang hamba yang melakukan amalan ketaatan kepada Allah selama enam puluh tahun. Apabila dia hampir mati dia berlaku tidak adil di dalam wasiatnya lantas dia memasuki neraka. Kesudahan yang buruk (su’ al-khatimah) adalah meliputi kesudahan yang berbentuk kekufuran dan kemaksiatan. Semua amal diukur berdasarkan kesudahannya.

Golongan kedua yang menyatakan dosanya yang telah ditaubatkan tidak kembali kepadanya dengan terbatalnya taubat tersebut berhujah, dosa tersebut susah terangkat dengan taubat. Maka ia menjadi seolah-olah tidak pernah dilakukannya dan seolah-olah tidak pernah wujud. Maka dosa tersebut tidak akan kembali kepadanya setelah itu. Cuma yang kembali ialah dosanya yang baru bukannya yang lama.

Mereka berkata: “Berterusan dalam keadaan tidak melakukan dosa tidak disyaratkan di dalam taubat. Bahkan jika seseorang itu menyesal, meninggalkan serta berazam untuk tidak melakukannya, maka dosanya akan terhapus hanya dengan itu…apabila dia memulakannya kembali maka dosanya yang baru turut bermula.”

Mereka berkata: “Keadaan ini tidak sama dengan kekufuran yang menghapuskan semua amalan. Kekufuran adalah satu hal yang lain. Oleh kerana itu, kekufuran menghapuskan segala kebaikan, sementara mengulangi dosa tidak menghapuskan kebaikan yang lalu.”

Mereka menyatakan, taubat adalah kebaikan yang paling besar. Jikalau taubat terbatal dengan mengulangi kesalahan, maka akan terbatal segala kebaikan yang lain. Ini sudah pastilah tidak benar. Sebaliknya, ini menyamai aliran Khawarij yang menghukum kafir orang yang melakukan dosa serta aliran Muktazilah yang menghukum pelaku dosa besar sebagai kekal di dalam neraka sekalipun dia telah melakukan ribuan kebaikan. Kedua-dua aliran ini sependapat dalam mengatakan pelaku dosa besar kekal di dalam neraka. Cuma yang berbezanya aliran Khawarij menghukum mereka sebagai kafir dan Muktazilah menghukum mereka sebagai fasiq. Kedua-dua aliran tersebut tertolak di dalam Islam kerana ia bersalahan dengan nas dan logik yang mewajibkan keadilan. Firman Allah SWT:

‏ إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ ۖ وَإِن تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِن لَّدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah. Dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar.” [1]

(Surah al-Nisa’: 40)

Mereka berkata: Imam Ahmad telah menyebutkan dalam kitab musnadnya secara marfu‘ daripada Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعَبْدَ الْمُؤْمِنَ الْمُفَتَّنَ التَّوَّابَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT menyukai hamba yang beriman, yang banyak diuji dan banyak bertaubat.”

Riwayat Ahmad (605). Al-‘Iraqi menilai hadith ini sebagai dha‘if dalam Takhrij al-Ihya’ (4/6). Syeikh Ahmad Syakir menilai sanadnya sebagai dha‘if jiddan. Begitu juga Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya dha‘if jiddan.

Ibn al-Qayyim dalam Madarij al-Salikin (1/292) berkata: Setiap kali seseorang itu diuji dia bertaubat. Jikalaulah dengan kembali melakukan dosa akan membatalkan taubatnya kenapakah dia dicintai oleh Allah sebaliknya dia pastilah akan mengundang kemurkaan.

Allah SWT telah mengaitkan  taubat  dengan  istighfar  (memohon keampunan), tidak melakukannya secara terus-menerus dan tidak mengulanginya lagi. Firman Allah SWT:

‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah, lalu mereka memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka, dan siapa lagi mengampuni dosa selain dari Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedangkan mereka mengetahui.” [2]

(Surah Ali ‘Imran: 135)

Berterusan dalam keadaan taubat adalah syarat kesempurnaan dan keberkesanan taubat bukannya syarat sah taubat terhadap dosa-dosa lalu. Ia juga bukanlah seumpama ibadat seperti puasa dan bilangan rakaat solat. Semuanya itu adalah ibadat yang satu. Ia tidak akan diterima dengan melaksanakan semua rukun dan bahagian-bahagiannya. Sementara taubat adalah ibadat yang berbilang dengan berbilangnya dosa. Setiap dosa memerlukan satu taubat yang khusus baginya.

Apabila seseorang melakukan sesuatu ibadat dan meninggalkan ibadat yang lain, tidak bererti ibadat yang ditinggalkan itu membatalkan ibadat yang dilakukan sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini. Contoh yang seumpama dengan ini ialah seseorang yang berpuasa dalam bulan Ramadhan kemudian dia tidak berpuasa pada hari-hari yang selebihnya tanpa sebarang keuzuran. Maka adakah dengan sebab dia tidak berpuasa pada hari-hari itu membatalkan pahala puasanya pada hari-hari lain? Begitu juga dengan seseorang yang bersolat tetapi tidak berpuasa atau berzakat tetapi tidak berhaji.

Titik permasalahan di sini ialah, taubat yang dilakukan adalah satu kebaikan, sementara mengulangi kesalahan adalah satu kejahatan. Kembali melakukan kejahatan tidak membatalkan kebaikan sepertimana tidak terbatalnya apa yang disertainya dengan kebaikan-kebaikan.

Mereka berkata: Pendapat ini lebih jelas menurut prinsip Ahli al-Sunnah. Mereka bersepakat mengatakan bahawa seseorang individu mempunyai kepatuhan kepada Allah dan permusuhan dengan Allah dari dua sudut yang berbeza. Dia juga dicintai oleh Allah dan dibenci oleh-Nya dari dua sudut yang berbeza juga. Bahkan seseorang individu boleh terdapat iman dan nifaq serta iman dan kufur. Salah satunya adalah lebih hampir berbanding yang satu lagi, sehingga ia menjadi ahlinya. Ini sepertimana firman Allah SWT:

هُمْ لِلْكُفْرِ يَوْمَئِذٍ أَقْرَبُ مِنْهُمْ لِلْإِيمَانِ ۚ

Maksudnya: “Mereka pada hari itu lebih dekat kepada kekufuran daripada keimanan.”

(Surah Ali ‘Imran: 167)

Para ulama’ menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa keadaan seseorang boleh berubah-ubah, terkadang ia berada di dalam sebuah keadaan yang lebih dekat kepada kekufuran dan terkadang berada di dalam sebuah keadaan yang lebih dekat kepada keimanan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/480)

Firman Allah SWT:

وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُم بِاللَّهِ إِلَّا وَهُم مُّشْرِكُونَ

Maksudnya: “Dan sebahagian dari mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan Allah (dengan sembahan-sembahan yang lain).” [3]

(Surah Yusuf: 106)

Allah SWT mengakui keimanan mereka walaupun disertai dengan kesyirikan. Jika bersama kesyirikan ini disertakan pendustaan terhadap Rasul-Nya maka tidak bererti lagi keimanan mereka kepada Allah. Jika mereka beriman kepada Allah dengan disertai keimanan kepada para Rasul-Nya sedangkan mereka melakukan beberapa jenis kesyirikan maka ia tidak mengeluarkan mereka dari keimanan dengan para Rasul dan hari Akhirat. Mereka itu lebih layak mendapat ancaman berbanding dengan pelaku-pelaku dosa.

Syirik mereka terbahagi kepada dua; Syirik Khafi (tersembunyi) dan syirik Jali (jelas). Syirik Khafi mungkin diampun, sementara syirik Jali tidak akan diampuni oleh Allah melainkan dengan bertaubat. Sesungguhnya Allah tidak mengampuni orang yang mensyirikkan-Nya.

Berdasarkan prinsip ini Ahli al-Sunnah mengatakan pelaku dosa besar akan masuk dalam neraka, kemudian mereka keluar darinya dan masuk ke dalam syurga lantaran terdapat dua faktor di dalam diri mereka.

Jika terbukti perkara ini, maka mengulangi melakukan dosa adalah dimurkai oleh Allah dari sudut pengulangan melakukan maksiat dan dikasihi oleh Allah dari sudut taubatnya serta kebaikan-kebaikannya yang lalu. Allah mengaitkan segala sebab dengan musababnya dengan penuh keadilan dan hikmah. Allah sekali-kali tidak akan melakukan kezaliman terhadap hamba-hamba-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ.

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami daripada kalangan orang yang bertaubat, dan jadikan kami daripada kalangan orang yang bersuci.”

 

Nota Hujung:

[1] Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Allah menciptakan perbuatan hamba, di dalamnya terdapat suatu bentuk kezaliman yang dilakukan oleh hamba tersebut, maka ini tidaklah bererti Allah juga bersifat zalim. Sebagaimana Allah juga tidak disifatkan dengan sifat-sifat buruk lainnya yang dilakukan oleh hamba, walaupun setiap perbuatan hamba adalah makhluk dan takdir (ketetapan) Allah. Allah tidaklah disifatkan kecuali dengan perbuatan-Nya sahaja dan tidak disifatkan dengan perbuatan hamba-Nya. Setiap perbuatan hamba adalah makhluk dan ciptaan-Nya. Namun, Allah tidaklah disifatkan dengan sesuatu dari perbuatan hamba tersebut. Allah hanyalah disifatkan dengan sifat dan perbuatan yang Dia melakukannya sendiri. Wallahu a’lam.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/36).

[2] Ibnu Kathir menjelaskan: “Fiman-Nya ‘Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.’ Yakni mereka bertaubat daripada dosa dan kembali kepada Allah dengan segera dan tidak meneruskan kemaksiatan dan sentiasa menghindarinya. Meskipun dosanya terulang dan mereka bertaubat (kembali). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/408) Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata: ‘لَا كَبِيْرَةَ مَعَ اسْتِغْفَارٍ وَلَا صَغِيْرَةَ مَعَ إِسْرَارٍ’ (Tidak ada dosa besar jika diiringi dengan istighfar dan tidak ada dosa kecil jika dikerjakan terus menerus). (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 6/651)

[3] Ibn Kathir berkata: Orang-orang musyrik percaya kepada Allah dan mengakui bahawa Dia adalah Yang Maha Pencipta lagi Maha Pemberi Rezeki. Namun demikian, mereka menyekutukan-Nya dengan tuhan-tuhan lain. Ibn Abbas berkata: “Antara bentuk kepercayaan mereka adalah ketika mereka ditanya, ‘Siapa yang menciptakan langit? Siapa yang menciptakan bumi? Dan siapa yang menciptakan gunung ganang?’ Mereka menjawab: ‘Allah yang Maha Pencipta.’ Namun mereka tetap sahaja musyrik.” Ini adalah pendapat Mujahid, ‘Ata’, Ikrimah, al-Sya‘bi, Qatadah, al-Dhahhak dan Ibn Zaid. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/55).

Leave a Reply