Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sekiranya kita pernah mengganti puasa sebelum ini, tetapi tidak ingat sudah habis ganti ke belum?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Puasa qadha’ Ramadhan ialah puasa yang dilakukan untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan ramadhan sama ada secara uzur ataupun dengan sengaja. Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan disebabkan musafir atau sakit, dia wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.
Manakala orang yang meninggal dunia sebelum mengqadha’ puasanya, sedangkan dia mampu melakukannya, walinya sunat berpuasa bagi pihaknya, menggantikan puasanya yang tertinggal. Maksud wali dalam perkara ini ialah keluarga si mati. Hal Ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan dia masih mempunyai kewajipan berpuasa, walinyalah berpuasa bagi pihaknya.”
Riwayat al-Bukhari (1851) dan Muslim (1147)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadhan perlu digantikan dengan bilangan yang tepat. Namun sekiranya dia terlupa bilangan hari puasa yang dia tinggalkan, maka hendaklah dia anggarkan secara taqribi berapa bilangan hari puasa yang ditinggalkan. Maka, dalam situasi saudari, kami berpendapat saudari perlu ambil bilangan yang paling sedikit yang diyakini. Contohnya saudari yakin saudari sudah berpuasa ganti, tetapi yang diyakini itu hanya 4 hari dari 6 hari yang ditinggalkan, maka saudari hanya perlu ganti 2 hari yang diyakini belum diganti puasa.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahu a`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”