Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah pahala menaiki kenderaan ke masjid adakah ia mendapat pahala sama seperti berjalan dan yang manakah lebih afdhal ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا تَأْتُوهَا تَسْعَوْنَ، وَأْتُوهَا تَمْشُونَ وَعَلَيْكُمُ السَّكِينَةُ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا
Maksudnya: “Apabila solat telah bermula, maka janganlah kamu mendatanginya dalam keadaan berlari. Datangilah (solat) dalam keadaan berjalan dengan tenang. Solatlah (dengan apa) yang kamu sempat, dan (rakaat yang tertinggal itu) maka sempurnakanlah.”
Riwayat al-Bukhari (908)
Hadith di atas jelas menunjukkan kepada kita tentang perintah dan galakan untuk menghadiri solat dalam keadaan berjalan dan juga tenang. Dalam masa yang sama juga menunjukkan bahawa kita tidak digalakkan untuk bergopoh-gapah dalam menghadiri solat.
Ini kerana berjalan kaki dengan tenang-tenang dan tidak tergopoh-gapah dalam berjalan atau dengan cara berlari akan memberi kesan negatif terhadap kekhusyukan di dalam solat. Sebahagian ulama mengatakan: ‘’Sesungguhnya dilarang untuk berlari-lari menuju solat adalah kerana ia akan menghilangkan kekhusyukan (di dalam solat) disebabkan kepenatan dan juga terputus nafas yang disebabkan perbuatan berlari tersebut’’. (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 1/165).
Selain itu terdapat juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِيَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً
Maksudnya: “Sesiapa yang membersihkan dirinya (berwuduk) di rumahnya kemudian dia berjalan kaki menuju ke satu rumah dari rumah-rumah Allah untuk dia menunaikan satu kefardhuan dari kefardhuan-kefardhuan kepada Allah, maka setiap langkahnya itu salah satunya memadamkan dosa dan selangkah lagi mengangkat darjatnya.”
Riwayat Muslim (666)
Al-Dawudi berkata: Jika seseorang itu mempunyai dosa, maka dosa-dosanya akan diampunkan, dan jika tidak, maka darjatnya akan diangkat. Sebahagian ulama berkata: Ini menunjukkan bahawa dengan satu langkah (menuju masjid), seseorang memperoleh satu darjat. Adapun banyaknya langkah, ia menaikkan darjatnya. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib ‘ala Targhib wa Tarhib, 3/79)
Demikian juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abd al-Rahman bin Jabr R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَا اغْبَرَّتْ قَدَمَا عَبْدٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَتَمَسَّهُ النَّارُ
Maksudnya: “Tidak akan disentuh oleh api neraka kedua kaki hamba yang berdebu menuju ke jalan Allah.”
Riwayat al-Bukhari (2811)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan Rasulullah SAW dan para sahabat berjalan kaki ke masjid dan tidak menaiki tunggangan yang menunjukkan bahawa berjalan kaki itu lebih baik dari sudut ganjaran pahalanya yang lebih besar di sisi Allah SWT. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ubai Bin Ka’ab bahawa beliau berkata:
كانَ رَجُلٌ لا أَعْلَمُ رَجُلًا أَبْعَدَ مِنَ المَسْجِدِ منه، وَكانَ لا تُخْطِئُهُ صَلاةٌ، قالَ: فقِيلَ له: أَوْ قُلتُ له: لَوِ اشْتَرَيْتَ حِمارًا تَرْكَبُهُ في الظَّلْماءِ، وفي الرَّمْضاءِ، قالَ: ما يَسُرُّنِي أنَّ مَنْزِلِي إلى جَنْبِ المَسْجِدِ، إنِّي أُرِيدُ أَنْ يُكْتَبَ لي مَمْشايَ إلى المَسْجِدِ، وَرُجُوعِي إذا رَجَعْتُ إلى أَهْلِي، فَقالَ رَسولُ اللهِ ﷺ: قدْ جَمع اللَّهُ لكَ ذلكَ كُلَّهُ.
Maksudnya: Ada seorang lelaki yang aku tidak mengetahui ada lelaki lain yang tinggal lebih jauh dari masjid berbanding dia, namun dia tidak pernah terlepas solat (di masjid). Ubay berkata: Maka ada yang berkata kepadanya, atau aku berkata kepadanya: “Mengapa tidak kamu membeli seekor keldai untuk kamu tunggangi dalam kegelapan malam dan ketika panas terik?” Lelaki itu menjawab: “Aku tidak suka rumahku berada bersebelahan dengan masjid. Aku ingin perjalanan aku ke masjid dan kepulanganku ke rumah dicatat (sebagai ganjaran) untukku.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah telah mengumpulkan untukmu semua ganjaran itu.”
Riwayat Muslim(663)
Syeikh Ibn Baz pernah ditujukan soalan kepadanya mengenai ganjaran khusus untuk mereka yang berjalan kaki, adakah ia juga merangkumi mereka yang menaiki kenderaan dan lain-lain? Lalu Syeikh menjawab: ia merangkumi mereka yang menaiki kenderaan dan lain-lain. Kemudian beliau ditanya lagi adakah ganjaran langkah juga ditulis untuknya? Syeikh menjawab: Allah jua yang Maha Mengetahui. Yang dimaksudkan adalah berlumba-lumba menuju ke masjid sama ada dengan kadar langkah yang sekiranya dia berjalan ia dikira ataupun dengan cara yang lain.[1]
Namun tidak dinafikan sesiapa yang menggunakan kereta untuk digunakan di jalan allah seperti menggunakannya untuk ke masjid atau ke majlis ilmu mendapat pahala ganjaran daripada Allah SWT. Setiap apa yang dibelanjakan untuk minyaknya dan lain-lain yang diperlukan untuk perjalanan akan diberi ganjaran kepada pemiliknya. Firman Allah SWT:
وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
Maksudnya: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.
(Surah al-Anfal:273)
Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa: adapun tentang menafkahkan harta, dari segi manapun, ia adalah kebaikan, kemurahan, dan ketaatan yang pahalanya akan diberikan kepada pemiliknya dan ia akan diberi ganjaran. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.116)
Justeru, pergi ke masjid itu mendapat pahala yang banyak di sisi Allah SWT, sama ada dengan berjalan kaki atau menggunakan kenderaan. Namun, berjalan kaki lebih baik daripada menaiki kenderaan dan lebih banyak pahalanya, seperti yang ditunjukkan oleh tindakan Rasulullah SAW dan para sahabat yang lebih suka berjalan kaki ke masjid.
Peri pentingnya sentiasa hadir ke masjid untuk solat berjemaah kerana nilaian di sisi Allah SWT diperintah kepada orang Islam yang lain untuk menyaksikan yang dia mempunyai iman. Daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ
Maksud: “Bila kamu semua melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.”
Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (11725). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij al-Musnad (11725)
Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”
Wallahua’lam.
Nota Hujung:
[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/21478/%D9%87%D9%84- Diakses pada 29 Mei 2024