Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah boleh perempuan haid duduk di bahagian Safa dan Marwah di Masjidil Haram, terutama ketika bulan Ramadan untuk mendengar bacaan imam ketika solat tarawih?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pelaksanaan ibadah sa’ie merupakan salah satu dari tuntutan rukun haji dan umrah dan ia berdasarkan dalil berikut, firman Allah SWT:

 إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ ‎‏

Maksudnya: “Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 158)

Istilah sa`ie pada bahasa ialah bekerja dan juga diberi maksud dengan cepat dapat perjalanan iaitu berlari. Sedangkan sa`ie antara Safa’ dan Marwah ialah Tawaf antara keduanya. (Mu’jam Lughah al-Fuqaha’, 1/292)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu bahawa bahagian Safa dan Marwah tidak termasuk kawasan Masjidil Haram.

Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh rujuk di link jawapan berikut:

#1899: Iktikaf di Kawasan Saie

https://maktabahalbakri.com/1899-iktikaf-di-kawasan-saie/

Justeru, kami katakan tidak menjadi masalah untuk perempuan haid duduk di kawasan Saie kerana tidak termasuk dalam kawasan masjid. Namun, kami lebih mengesyorkan buat saudari untuk dengar dari luar Masjidil Haram sahaja, kerana pada hari ini, sudah banyak pembesar suara (speaker) yang sudah dipasang diluar masjidil haram. Maka, dengan mendengar bacaan Imam di luar Masjidil Haram, ianya sudah cukup jelas.

Lebih-lebih lagi, pada bulan Ramadhan, kita sedia maklum jemaah yang hadir dari pelusuk dunia lebih ramai dari bulan-bulan yang lain. Maka, apabila ramai yang duduk di kawasan Saie, sudah tentu ia akan menyukarkan jemaah yang sedang melaksanakan ibadah umrah dan boleh berlaku kecederaan seperti dihempap, terjatuh, pergaduhan dan seumpamanya. Oleh itu, mendengar bacaan al-Quran dari luar masjid adalah lebih baik bagi perempuan yang sedang haid.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ عُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply