Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika ketika bulan puasa, kita tonton video makan-makan, apa hukumnya ustaz?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).

(Surah al-Baqarah :187)

Makan dan minumlah sehingga jelas bagimu cahaya fajar dari kegelapan malam, dengan terbitnya fajar sadiq. Kemudian sempurnakanlah puasa dengan menahan diri dari makanan dan minuman hingga masuk waktu malam dengan terbenamnya matahari. (Lihat Tafsir al-Muyassar,1/29)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan harus hukumnya melihat video makan-makan ketika bulan puasa. Lebih-lebih lagi, pada hari ini sudah banyak video-video kedai makan/ makanan di media sosial seperti tiktok, Instagram, facebook, youtube dan seumpamanya, bagi menarik perhatian pelanggan. Bahkan, banyak para ibu lazimnya pada hari ini, melihat video-video  makan untuk dimasak makanan berbuka puasa.

Walaupun begitu, kami nasihatkan agar video yang ditonton mahupun televisyen, janganlah mengambil masa yang panjang dan lama kerana bulan Ramadhan adalah musim kebaikan yang boleh kita isi untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Antara caranya, dengan membaca al-Quran, tadarus sehingga khatam, belajar ilmu, sembahyang sunat, zikrullah serta melakukan pelbagai acara ibadat yang lain.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melakukan ibadah kepadanya dan kami akhiri dengan doa :

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam.

Leave a Reply