Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya berpendapatan tetap RM 6450.00 sebulan, dan saya membayar hutang tetap sebulan RM 2363.00. Soalan saya, untuk mengira zakat pendapatan saya, adakah saya perlu mengira 2.5% dari jumlah pendapatan tetap sebulan RM6460.00 atau pendapatan selepas ditolak bayaran bulanan hutang saya? Maknanya, RM 6450.00 – RM 2363.00 = RM4087.00? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Zakat pendapatan bermaksud zakat yang dikenakan ke atas perolehan melalui gaji dan pendapatan bebas. Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitab Fiqh al-Zakah, pekerjaan manusia adakalanya bebas tanpa terikat dengan kerajaan. Di kalangan mereka ada yang jadi doktor, jurutera, peguam, tukang jahit, tukang kayu dan sebagainya. Adakalanya ia terikat dengan jabatan kerajaan, swasta dan sebagainya di mana mereka bekerja dan diberi gaji bulanan secara tetap. Pendapatan yang diperolehi itu dipanggil al-mal al-mustafad. Ia wajib dizakatkan. (Lihat Fiqh al-Zakah: Dirasah Muqaranah li Ahkamiha wa Falsafatiha fi Dhau’i al-Quran wa al-Sunnah, 1/519)
Kewajipan zakat ke atas pendapatan yang diperoleh dapat dilihat dan difahami melalui maksud daripada firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat).”
(Surah al-Baqarah: 267)
Fatwa Wilayah Persekutuan tentang zakat penggajian menyebut: Zakat wajib dikeluarkan ke atas pendapatan daripada penggajian Islam termasuklah apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus. Oleh itu adalah wajib bagi seseorang Islam mengeluarkan zakat daripada pendapatan yang layak dikenakan zakat daripada penggajian tersebut. (Bertarikh 9 April 1999)
Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 berkenaan Zakat Gaji dan Pendapatan Professional, menyebut: “Muzakarah telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.”
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, zakat pendapatan adalah mal mustafad (harta yang diperolehi). Zakat dikeluarkan daripada baki setelah ditolak perbelanjaan mesti. Jika baki melebihi nisab, maka dikeluarkan zakat pendapatan sebanyak 2.5%. Justeru, bagi situasi saudara yang bertanya di atas, kiraan zakat pendapatan adalah selepas ditolak bayaran bulanan hutang dan perbelanjaan/komitmen yang mesti. Kemudian, baki yang ada itu, jika melebihi nisab, maka wajib dikeluarkan zakat pendapatan daripadanya sebanyak 2.5%.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلكَ رِضَاكَ وَالجَنَّةَ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ سَخَطِكَ واَلنَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu keredhaan-Mu dan syurga, dan kami berlindung kepada-Mu daripada kemurkaan-Mu dan neraka.”