Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Isu yang saya hadapi ialah apabila saya tidur, saya akan terjaga dan bangun, ghalibnya selepas masuk waktu Subuh. Justeru, saya tidak mampu untuk melakukan solat Witir. Apakah cara terbaik bagi saya untuk melaksanakan solat Witir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A, di mana Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَهْلَ الْقُرآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الوِتْرَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beramal dengan al-Quran! Hendaklah kamu melakukan solat witir, sesungguhnya Allah itu bersifat witir dan Dia menyukainya.”

Riwayat  al-Tirmizi (2/316) dan beliau menilainya sebagai hasan.

Hadith ini menunjukkan supaya yang mencintai al-Quran untuk berwitir dan ini menunjukkan hubungan yang begitu akrab antara solat Witir dengan bacaan al-Quran al-Karim.

Hadith ini juga menunjukkan bahawa sudah semestinya bagi ahli ilmu (ulama) memberi perhatian yang lebih terhadap solat witir, meskipun solat ini disyariatkan untuk semua umat Islam. Sehinggalah, orang-orang yang mengetahui keadaan dan perbuatan mereka ingin mengikuti dan meneladani mereka. Jumlah rakaat solat Witir paling sedikit adalah satu rakaat, yang dilakukan antara Isyak hingga Subuh. Allah SWT adalah witir (Maha Esa) dan mencintai orang-orang yang melakukan solat Witir, dan Dia mencintai segala apa yang bersesuaian dengan sifat-sifat-Nya. (Lihat Qiamullail, Fadhluhu wa Adabuhu, hlm. 82).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa Rasulullah SAW telah menyebut berdasarkan riwayat Jabir  R.A, di mana Baginda SAW bersabda:

مَنْ خَافَ أَنْ لَا يَقُوْمَ آخِرَ الْلَيْلِ فَلْيُوْتِر أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمَعَ أَنْ يَقُوْمَ آخِرَهُ فَلْيُوْتِرِ الْلَيْل آخِرَ الْلَيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ الْلَيْلِ مَشْهُوْدَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَل

Maksudnya: “Sesiapa yang khuatir tidak terbangun pada akhir malam, dia hendaklah bersolat Witir lebih awal, dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam dia hendaklah bersolat Witir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam dihadiri bersama oleh para malaikat, dan itulah yang afdhal.”

Riwayat  Muslim (755)

Begitu juga dengan nasihat Nabi SAW, sepertimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَوْصَانِي خَلِيلِي صلى الله عليه وسلم بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَىِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ‏.‏

Maksudnya: “Kekasihku Nabi SAW mewasiatkan tiga perkara kepadaku, iaitu supaya berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mendirikan dua rakaat solat Dhuha, dan solat sunat witir sebelum aku tidur.”

Riwayat al-Bukhari (1981) dan Muslim (721)

Al-Khatib al-Syirbini berkata: “Jika seseorang mampu melakukan solat Tahajjud pada akhir malam, maka hendaklah dia menangguhkan solat Witir di akhir malam. Sekiranya tidak, maka dia boleh mengerjakan solat Witir selepas solat Isya’ dan selepas Rawatib ‘Isyak. (Lihat al-Iqna‘ fi Halli Alfaz Abi Syuja‘, 1/210). Ungkapan yang sama juga disebut oleh Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin (1/230).

 Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

(Surah Ibrahim: 40-41)

 

 

Leave a Reply