Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah dibolehkan berbuka puasa ketika perempuan mengandung yang perlu minum air gula bagi tujuan pemeriksaan kesihatan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”
Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)
Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya. (Lihat Fath al-Bari, 4/115)
Namun begitu, terdapat beberapa perbuatan yang boleh membatalkan puasa seseorang itu, iaitu:
- Makan dan minum. Batal sama ada sedikit atau banyak.
- Sampainya ain kepada rongga tengah badan melalui laluan yang terbuka. Ain bererti fizikal sesuatu yang terlihat pada mata. Ruang tengah termasuklah bahagian otak, dan bahagian bawah halkum, perut dan terus ke kemaluan depan dan belakang. laluan terbuka bererti lubang mulut, hidung, qubul dan dubur.
- Sengaja muntah.
- Sekalipun tidak mengeluarkan air mani.
- Istimna’ iaitu mengeluarkan air mani.
- Datang darah haid atau nifas.
- Gila dan murtad.
Semuanya membatalkan puasa apabila dilakukan secara sengaja (kecuali gila), jika tidak sengaja, terlupa dan dipaksa, maka tidak batal. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/241-245)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa seseorang yang menjalani ibadah puasa tidak boleh membatalkan puasa melainkan terdapat alasan yang dibenarkan oleh syarak seperti sakit yang memberi kesan terhadap kesihatan, bermusafir, atau sebab-sebab lain yang dibenarkan. Sebarang pembatalan puasa tanpa alasan yang dibenarkan adalah tidak dibolehkan dan puasa tersebut perlu diganti.
Yang demikian boleh dilihat melalui firman Allah SWT:
فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”
(Surah al-Baqarah: 184)
Ibnu Kathir menyatakan di dalam tafsir: “Orang yang sakit dan musafir kedua-duanya dibolehkan untuk tidak berpuasa semasa dalam keadaan sakit dan keadaan bermusafir kerana kesukaran bagi kedua-duanya, bahkan kedua-dua golongan ini dibolehkan untuk berbuka dan menggantikan puasanya itu pada hari yang lain.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/497)
Al-Qurtubi dalam tafsirnya berkata: Ayat ini juga termasuk orang sakit dan hamil kerana kedua-duanya mampu untuk berpuasa tetapi dengan masyaqqah yang mengiringi mereka justeru jika mereka berpuasa memadai bagi mereka dan jika membayar fidyah, mereka pun memadai juga.(Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran,2/288 )
Namun, dalam isu ini kami melihat ujian air gula (glukosa) adalah penting bagi ibu mengandung untuk mengesan sebarang masalah kesihatan yang mungkin mempengaruhi kehamilan dan kesihatan bayi. Oleh yang demikian, sekiranya dijadualkan untuk melakukan ujian tersebut pada hari puasa maka dibenarkan baginya untuk berbuka puasa dan wajib diganti semula puasa yang ditinggalkan tersebut.
Hal ini sesuai dengan sebuah kaedah yang menyebutkan bahawa:
الْحَاجَةُ تَنْزِلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ عَامَّةً كَانَتْ أَوْ خَاصَّةً
Maksudnya: “Keperluan itu menduduki tempat darurat, pada peringkat umum atau khas.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazha`ir, hlm. 88)
Kewajipan mengganti semula puasa yang ditinggalkan adalah kerana ia dikira sebagai hutang dan hutang hendaklah dilunaskan sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: “Adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”
Riwayat al-Bukhari (1953) dan Muslim (1184)
Di sini juga kami menyarankan bahawa sekiranya boleh ditangguhkan ujian tersebut ke waktu malam selepas berbuka puasa, maka itu adalah yang terbaik. Namun, sekiranya tidak berpeluang atau terdapat kesulitan padanya, maka tidak menjadi kesalahan untuk berbuka puasa dan menggantikan kembali puasa tersebut pada hari-hari yang lain.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Wallahua’lam.