Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya sedang berpuasa, tiba-tiba terasa ingin sendawa, tetapi terasa ada air yang naik bersama angin sendawa. Saya cuba menahan sendawa itu, tanpa mengeluarkannya adakah ia membatalkan puasa? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu sendawa itu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sendawa adalah bunyi (seperti bunyi meneguk) yang keluar dari kerongkongan kerana kekenyangan dan lain-lain.[1] Selain itu, Abu al-Abbas ‘Ali al-Fayyumi mendefinisikan sendawa sebagai suara berserta angin yang keluar dari mulut disebabkan kekenyangan. (Lihat al-Misbah al-Munir, 1/102). Manakala dalam kitab al-Tanwir, sendawa disebut sebagai angin yang keluar dari perut ketika ia penuh (kenyang). (Lihat al-Tanwir Syarah al-Jami‘ al-Saghir,  8/152).

Secara asasnya, sendawa itu sendiri merupakan satu perbuatan yang pernah ditegur oleh Rasulullah SAW. Ini berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata:

‎تَجَشَّأَ رَجُلٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ‏‏ كُفَّ عَنَّا جُشَاءَكَ فَإِنَّ أَكْثَرَهُمْ شِبَعًا فِي الدُّنْيَا أَطْوَلُهُمْ جُوعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Seorang lelaki sendawa di sisi Rasulullah SAW, lalu Baginda bersabda: ‘Jauhilah sendawa kamu daripada kami kerana sesungguhnya mereka yang paling banyak kenyangnya di dunia adalah mereka yang paling lapar pada hari kiamat.’

Riwayat al-Tirmizi (2478)

Imam al-Munawi ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan, larangan sendawa merupakan larangan ke atas sebabnya iaitu kekenyangan yang berlebihan dan ia merupakan sesuatu yang tercela dari sudut perubatan dan juga Syarak. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/11).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, oleh kerana ia dilihat seolah-olah ada terkait dengan muntah, maka kami katakan bahawa pada asasnya, muntah dengan sengaja termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa, sekalipun muntah yang keluar itu adalah sedikit. Muntah ialah apa-apa makanan yang kembali keluar — daripada mulutnya — selepas melepasi halkum sekalipun air, dan sekalipun tidak berubah rasa dan baunya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 455; lihat juga Matn Abi Syuja‘, hlm. 19).

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan bahawa muntah yang disengajakan membatalkan puasa seseorang, sekalipun dia pasti tiada apa-apa daripada muntahan tersebut masuk semula ke dalam perutnya. Akan tetapi, puasa seseorang itu tidak batal sekiranya tiada upaya menahan muntahnya, sekalipun dia mengetahui ada sesuatu daripada muntahan tersebut yang masuk semula ke dalam perutnya dengan tidak sengaja. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/85). Selain daripada itu, maksud muntah dengan sengaja adalah seperti menjolok-jolok lidah ke langit sehingga menyebabkan muntah. (Lihat Zain al-Talib, 2/80).

Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith, daripada Abu Hurairah R.A bahawa, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ ذَرَعَهُ قَيْءٌ وَهُوَ صَائِمٌ، فَلَيْسَ عَلَيْهِ قَضَاءٌ، وَإِنِ اسْتَقَاءَ فَلْيَقْضِ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak dapat menahan muntahnya semasa berpuasa, dia tidak wajib menggantikan (yakni qadha’) puasanya dan jika sengaja muntah, dia hendaklah menggantikannya.”

Riwayat Abu Daud (2380), al-Tirmizi (720) dan yang lainnya

Menurut al-Baijuri, muntah yang tidak membatalkan puasa juga adalah jika dalam keadaan dipaksa oleh tubuh untuk muntah. Kecuali jika muntah itu kembali masuk ke dalam perutnya atas usahanya sendiri, maka batal puasanya. (Lihat Hasyiah Syeikh Ibrahim al-Baijuri, 1/556).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami katakan bahawa sendawa tidak membatalkan puasa kerana ia tidak melibatkan apa-apa makanan yang dimakannya yang sudah melepasi halkum keluar semula, melainkan hanya angin dan bunyi. Jadi, ia berbeza sama sekali dengan muntah. Begitu juga sekalipun dia terasa seperti ada air yang naik bersama angin sendawa, ia tidak membatalkan puasanya kerana sendawa adalah sesuatu yang diluar daripada kawalan dirinya. Dalam erti kata lain, seseorang itu tiada upaya menahan sendawanya. Maka, puasanya tidak batal kerana hanya sendawa.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=sendawa&d=41812&#LIHATSINI. Diakses pada 30 Mei 2024.

Leave a Reply