Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana kedudukan solat sunat sebelum maghrib?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berdasarkan kepada beberapa nas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah SAW telah melakukan solat sunat sebelum Maghrib. Begitu juga para sahabat. Antaranya:

  • Daripada Anas bin Malik katanya:

كُنَّا بِالْمَدِينَةِ فَإِذَا أَذَّنَ الْمُؤَذِّنُ لِصَلَاةِ الْمَغْرِبِ ابْتَدَرُوا السَّوَارِيَ، فَيَرْكَعُونَ رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ، حَتَّى إِنَّ الرَّجُلَ الْغَرِيبَ لَيَدْخُلُ الْمَسْجِدَ فَيَحْسِبُ أَنَّ الصَّلَاةَ قَدْ صُلِّيَتْ مِنْ كَثْرَةِ مَنْ يُصَلِّيهِمَا

Maksudnya: “Semasa kami di Madinah, apabila muazzin menyerukan azan untuk solat Maghrib, orang ramai segera ke tiang-tiang lalu masing-masing bersolat dua rakaat hingga orang asing yang masuk ke masjid menyangkakan solat telah pun selesai disebabkan ramai orang yang melakukan solat dua rakaat tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (503) dan Muslim (837)

Maksud dua rakaat ringkas ialah tidak melakukan yang lebih daripada sekurang-kurangnya rukun solat, sunat-sunat dan adab-adabnya.

  • Daripada Zir bin Hubaisy:

أَنَّهُ لَزِمَ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَعَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ عَوْفٍ، فَزَعَمَ أَنَّهُمَا كَانَا يَقُومَانِ حِينَ تَغْرُبُ الشَّمْسُ، فَيَرْكَعَانِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْمَغْرِبِ

Maksudnya: “Bahawa beliau bersama Ubai bin Ka‘ab dan Abd al-Rahman bin ‘Auf lantas beliau mendapati telah melihat kedua-duanya bangun ketika matahari tenggelam, maka keduanya pun melaksanakan dua rakaat solat sunat sebelum Maghrib.”

Riwayat Ahmad (21200)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply