Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kita disuruh mulakan solat malam dengan solat yang ringkas dahulu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ (1) قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا (2) نِّصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا (3)

Maksudnya: Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.

(Surah al-Muzzammil: 1-4)

Dalam menjawab persoalan di atas, Rasulullah SAW mengajar kita seperti berikut: Baginda SAW bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ مِنَ اللَّيْلِ، فَلْيَفْتَتِحْ صَلَاتَهُ بِرَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ

Maksudnya: “Apabila seseorang dari kamu hendak solat malam maka hendaklah dia memulakannya dengan solat dua rakaat yang ringan.”

Riwayat al-Bukhari (768)

Imam al-Nawawi berkata: “Ini menunjukkan bahawa sunat untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam kedua rakaat selepas daripada dua rakaat yang ringan itu (ringkas).” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/54).

Selain itu, hendaklah dia mempelbagaikan doa pada pembukaan solat seperti yang selalu dibaca oleh Rasulullah SAW.

Antara doa yang dibaca oleh Baginda SAW ialah:

اللهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Wahai Allah, Tuhan kepada Jibrail, Mikail, dan juga Israfil. Tuhan yang menciptakan langit-langit dan juga bumi. Tuhan yang mengetahui perkara ghaib dan juga perkara yang nyata. Engkau menghukum di antara hamba-hamba-Mu terhadap perkara yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah aku akan kebenaran terhadap apa yang mereka perselisihkan dengan keizinan-Mu. Sesungguhnya Engkau memberikan hidayah kepada sesiapa yang Engkau kehendaki ke arah jalan yang lurus.”

Riwayat Muslim (770) Abu Dawud (767) dan al-Tirmizi (3420)

Imam al-Nawawi menyebut bahawa para ulama’ berkata, dikhususkan dengan sebutan mereka (Jibril, Mika’il, Israfil) sekalipun Allah SWT Tuhan kepada seluruh makhluk adalah bagi menunjukkan sifat dan tanda-tanda keagungan SWT serta besarnya kekuasaaan dan kerajaan-Nya. Selain itu, bagi menunjukkan kemuliaan dan kelebihan mereka di atas selainnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/50 dan Ikmal al-Mu’lim, 3/133).

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply