Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya seorang isteri. Saya dah berkahwin selama 2 tahun. Di awal perkahwinan perkahwinan dan hubungan badan dengan suami saya normal. Tapi sejak kebelakangan ini, suami sudah mula mencuba untuk mendatangi saya dari belakang. Walaupun pada awalnya saya menolak tapi saya tewas. Saya membenarkan perbuatan itu beberapa kali. Hakikatnya saya benci perbuatan itu. Saya nak tahu, apakah hukum seorang isteri membenarkan suaminya berbuat demikian? Adakah Allah melaknat suami sahaja atau kedua2nya sekali? Dan jika isteri sudah sehabis daya menasihati dan menegur suami akan dosa ini, tapi suami tetap berkeinginan, adakah isteri berdosa jika tetap melayani nafsu songsang suami? Saya buntu.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya seorang suami diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh isterinya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.”

(Surah al-Baqarah: 223)

Bahkan Rasulullah SAW juga menggalakkan para sahabat untuk berkahwin dengan wanita yang lebih muda agar dapat bermain dan bermesra dengan mereka. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هَلَّا تَزَوَّجْتَ بِكْرًا تُلاَعِبُهَا وَتُلاَعِبُكَ

Maksudnya: “Mengapakah engkau tidak berkahwin dengan anak dara yang engkau boleh bermain dengannya dan dia bermain dengan engkau?”

Riwayat al-Bukhari (2967)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum menyetubuhi isteri melalui dubur adalah haram dan dosa besar. Perbuatan ini juga merupakan amalan terkutuk yang pernah dilakukan oleh golongan menyeleweng pada zaman Nabi Luth A.S, kemudian Allah SWT membinasakan mereka dengan cara yang dahsyat. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Khuzaimah bin Thabit R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ لَا يَسْتَحِيي مِنَ الْحَقِّ فَلَا تَأْتُوا النِّسَاءَ فِي أَدْبَارِهِنَّ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran, maka janganlah kamu mendatangi isteri pada dubur mereka.”

Riwayat al-Nasa’ie (8942)

Benarlah hadith Nabi SAW: Diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

 لََا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِِي مَعْصِيَةِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam hal kemaksiatan kepada Allah SWT.”

Riwayat al-Bukhari (7257), Muslim (1740), Abu Dawud (2625), al-Nasa’ie (4205) dan Ahmad (1095)

Justeru, dalam isu saudari, sebaiknya perkara ini diterangkan secara baik kepada suami saudari kerana ia bertentangan dengan hukum Allah. Apabila kita merelakan diri dengan perbuatan dosa, maka hakikatnya kedua-dua berdosa dan perlu bertaubat. Perlu diingati, setiap perkara yang dilarang oleh Allah SWT itu pasti mempunyai sebab, agar kita dijauhkan dari penyakit-penyakit yang berbahaya. Maka, sekiranya saudari menolak untuk berhubungan dengan cara sedemikian, saudari tidak berdosa kerana ketika itu, tidak wajib untuk seorang isteri untuk mengikuti arahan suaminya kerana perkara tersebut telah bertentangan dengan hukum syarak. Hal ini bertepatan dengan kaedah hadith di bawah:

إِذْ طَاعَة أوامرهم وَاجِبَة مَا لم يَأْمر بِمَعْصِيَة وإلَاّ فَلَا طَاعَة لمخلوق فِي مَعْصِيّة الْخَالِق

Maksudnya: Oleh itu, mentaati perintah mereka wajib kecuali suruhan untuk melakukan maksiat dan tiada ketaatan pada makhluk pada melakukan maksiat kepada pencipta. (Lihat ‘Umdatul Qari Syarh Sahih Bukhari, 221/14)

Dalam pergaulan mesra dan intim juga, Islam telah meletakkan adab-adabnya. Maka sebaiknya pasangan suami isteri itu mementingkan dan mengutamakan adab ini agar tidak tergelincir melakukan perbuatan yang dilarang oleh syara‘.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply