Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Persoalan kami ialah, bagaimana pula jika kami pergi ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji, contohnya pada 4 Zulhijjah sedangkan kami melakukan umrah. Ada padanya rukun bercukur atau bergunting. Kami juga ingin melakukan korban pada tahun ini. Bagaimana menghimpunkan larangan tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Ummu Salamah R.anha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai melakukan korban.”

Riwayat Muslim (1977)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, sebahagian ulama memahaminya sebagai haram untuk memotong rambut, mencabut bulu-bulu yang ada di badan serta memotong kuku sehinggalah dia selesai melakukan korban. Ini merupakan pendapat Sa‘id bin al-Musayyib, Rabi‘ah, Ahmad, Ishaq, Daud dan sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Manakala Imam al-Syafi‘i dan ashabnya yang lain berpendapat bahawa larangan tersebut adalah makruh tanzih dan bukannya haram. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/138)

Manakala, berkenaan rukun umrah pula ada empat iaitu:

  • Ihram beserta niat.
  • Tawaf di Baitullah
  • Saie
  • Mencukur rambut, atau memendekkannya menurut satu daripada dua pendapat. (Lihat Matan Abi Syuja’, hlm. 20)

Ia juga disebut sebagai Tahallul iaitu perbuatan membebaskan diri daripada ihram dengan melakukan segala amalan yang dituntut di dalam rukunnya dengan mencukur atau memendekkan rambut. Bercukur merangkumi semua perbuatan memotong rambut. Ia termasuk menggunting tiga helai rambut atau lebih, mencabut atau memendekkannya walau sekadar mana dan dengan apa-apa alat sekalipun. Ia merupakan rukun menurut pendapat yang sahih dalam Mazhab Syafie. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/142)

Bercukur atau bergunting ini dilakukan setelah sempurna melakukan tawaf dan sa’ie. Antara dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan bercukur atau bergunting ini adalah sepertimana firman Allah SWT:

لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ

Maksudnya: Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram – insya Allah (pada masa Yang ditentukanNya) – Dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadah umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan dengan menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak perlu merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).”

(Surah al-Fath: 27)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Firman-Nya, ‘مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ’, yakni dalam keadaan mencukur seluruh rambutnya, dan sebahagian yang lain sebahagian rambutnya. Al-Tahliq (mencukur seluruh rambut) dan al-taqsir (memotong sebahagian rambut) untuk kaum lelaki, kedua-duanya boleh. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 13/421)

Antara cara tahallul yang terbaik dan mengikut sunnah ialah dengan bercukur rambut di kepala secara keseluruhannya ketika bertahallul haji atau umrah. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ» قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ» قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «وَالْمُقَصِّرِينَ». وَقَالَ اللَّيْثُ: حَدَّثَنِي نَافِعٌ: «رَحِمَ اللَّهُ الْمُحَلِّقِينَ» مَرَّةً أَوْ مَرَّتَيْنِ. قَالَ: وَقَالَ عُبَيْدُ اللَّهِ: حَدَّثَنِي نَافِعٌ، وَقَالَ فِي الرَّابِعَةِ: «وَالْمُقَصِّرِينَ»

Maksudnya: “‘اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambut mereka).” Para sahabat berkata: “Dan (doakanlah rahmat juga buat) orang-orang yang menggunting (rambut mereka), wahai Rasulullah.” Baginda mengucapkan: “اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambut mereka).” Mereka berkata lagi: “Dan (doakanlah rahmat juga buat) orang-orang yang menggunting (rambut mereka), wahai Rasulullah.”  Baginda menyambung: “Dan (rahmati jugalah wahai Allah) orang-orang yang menggunting (rambut mereka).” Al-Laith berkata, Nafi‘ menyampaikan kepadaku, bahawa Baginda mengucapkan: “Semoga Allah merahmati orang-orang yang mencukur (rambut mereka).” Baginda mengucapkannya sebanyak dua atau tiga kali. Dia berkata: ‘Ubaidullah berkata: Nafi‘ menyampaikan kepadaku: Baginda berkata pada kali keempat: “Dan (rahmati jugalah wahai Allah) orang-orang yang menggunting (rambut mereka).

Riwayat al-Bukhari (1727) dan Muslim (1301)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan hendaklah seseorang itu mendahulukan yang wajib atau rukun daripada yang sunat. Dalam kes ini, bercukur atau bergunting adalah wajib bagi yang mengerjakan umrah sebagai rukun dalam mazhab Syafie. Sedangkan untuk yang berkorban, ia adalah sunat untuk menyimpan bulu atau janggut, atau bulu yang ada di tubuhnya. Justeru, pelaksanaan yang wajib atau rukun hendaklah didahulukan. Kecuali dalam hal ini, kami juga berpendapat, bagi mereka yang mengerjakan haji, aula baginya mengambil sedikit rambut sahaja sebagai taqsir atau bergunting semasa melaksanakan ibadah umrah, dan bakinya bercukur semasa melakukan tahallul ibadat haji yang menjadi rukun.

Di situ, dia menghimpunkan dua kebaikan di samping meraikan kehendak berkorban supaya memelihara anggota, kuku dan rambutnya. Dalam kaedah, isu seperti ini dianggap sebagai pengecualian yang tidak termasuk. Ini kerana, pengecualian tersebut terpakai dalam kes ini. Dalam erti kata lain, laksanakanlah sedikit rukun umrah dengan bergunting dan kekalkan yang baki. Kemudian disekalikan dengan bercukur pada masa melaksanakan ibadah haji. Ini kerana kesukaran rambut untuk tumbuh dalam masa yang singkat, kerana hanya beberapa hari sahaja. Selepas itu, berlakunya ibadat haji.

Semoga Allah memberi kepada kita kefahaman dan diterima ibadat kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply