Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada melihat orang yang tawaf sedang minum. Adakah dibenarkan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”
(Surah al-Hajj: 29)
Al-Syaukani menyatakan bahawa tawaf yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah tawaf ifadhah. Kaabah disebut sebagai “الْعَتِيقِ” kerana Allah SWT telah membebaskannya daripada kekuasaan orang yang zalim. Terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya ialah mulia. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 437.)
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:
الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلاَةِ ، إِلاَّ أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلاَ يَتَكَلَّمَنَّ إِلاَّ بِخَيْرٍ
Maksudnya: “Tawaf mengelilingi Kaabah sama seperti solat, hanya sahaja kamu (boleh) bercakap di dalamnya (ketika tawaf). Sesiapa yang mahu bercakap-cakap tatkala tawaf, maka hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.”
Riwayat al-Tirmizi (960)
Al-Amir al-San‘ani menyatakan bahawa penyerupaan tawaf dengan solat adalah pada pahala dan syarat suci baginya. Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa diharuskan bagi seseorang itu untuk berbicara dengan orang lain ketika menunaikan ibadah tawaf. Adapun perkataan berupa zikir-zikir ketika tawaf, maka hukumnya adalah sunat. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 7/183)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan: Makruh baginya untuk makan dan minum ketika tawaf. Kemakruhan minum lebih ringan daripada makan. Jika dia melakukan keduanya (yakni makan dan minum), tidak batal tawafnya. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 185)
Telah dinukilkan oleh Imam Ibn al-Munzir, bahawa ijma’ ulama’ hukumnya harus meminum air ketika tawaf. (Lihat al-Ijma’, hlm. 52)
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”