Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya dapati ada orang yang ketika tawaf banyak berbual dan bercakap, termasuklah melalui handphone ketika tawaf. Apakah hukum tawafnya, adakah batal atau tidak?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menjawab persoalan di atas, hadith Nabi SAW seperti riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:
الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلاَةِ ، إِلاَّ أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلاَ يَتَكَلَّمَنَّ إِلاَّ بِخَيْرٍ
Maksudnya: “Tawaf mengelilingi Kaabah sama seperti solat, hanya sahaja kamu (boleh) bercakap di dalamnya (ketika tawaf). Sesiapa yang mahu bercakap-cakap tatkala tawaf, maka hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.”
Riwayat al-Tirmizi (960)
Al-Amir al-San‘ani menyatakan bahawa penyerupaan tawaf dengan solat adalah pada pahala dan syarat suci baginya. Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa diharuskan bagi seseorang itu untuk berbicara dengan orang lain ketika menunaikan ibadah tawaf. Adapun perkataan berupa zikir-zikir ketika tawaf, maka hukumnya adalah sunat. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 7/183)
Imam al-Nawawi berkata: Selain itu, disunatkan juga untuk tidak bercakap-cakap ketika tawaf dengan selain zikir, kecuali ucapan yang disukai seperti menyuruh kepada kebaikan, mencegah daripada kemungkaran, atau kerana faedah faedah ilmu, tetapi hendaklah tidak memanjangkan ucapan di dalamnya. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 186)
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”