Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah dibolehkan melihat perempuan yang cantik ketika tawaf?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”
(Surah al-Hajj: 29)
Al-Syaukani menyatakan bahawa tawaf yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah tawaf ifadhah. Kaabah disebut sebagai “الْعَتِيقِ” kerana Allah SWT telah membebaskannya daripada kekuasaan orang yang zalim. Terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya ialah mulia. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 437)
Firman Allah SWT:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا۟ مِنْ أَبْصَـٰرِهِمْ وَيَحْفَظُوا۟ فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا يَصْنَعُونَ (٣٠) وَقُل لِّلْمُؤْمِنَـٰتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَـٰرِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam, Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”
(Surah al-Nur: 30-31)
Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini merupakan perintah Allah SWT kepada orang-orang yang beriman supaya menjaga pandangan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Janganlah melihat melainkan hanya kepada perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja dan menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang diharamkan. Begitu juga, Allah SWT memerintahkan juga kepada orang-orang perempuan yang beriman agar turut sama menundukkan (menjaga) pandangan dan memelihara kemaluan mereka (daripada perkara-perkara yang diharamkan). Dan bagi membezakan mereka daripada sifat serta perbuatan wanita Jahiliyyah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 4/2342-2344)
Oleh kerana kita berada dalam tawaf, sewajarnya pandangan amat baik untuk dikawal dan dijaga kerana ia termasuk dalam ibadat. Kisah bagaimana Rasulullah SAW memalingkan al-Fadhl ibn ‘Abbas R.Anhuma semasa haji petanda bahawa peri pentingnya untuk menjaga dan menundukkan pandangan.
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
كَانَ الفَضْلُ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنْ خَشْعَمَ، فَجَعَلَ الفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ، وَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَصْرِفُ وَجْهَ الفَضْلِ إِلَى الشِّقِّ الآخَرِ
Maksudnya: “Al-Fadhl membonceng tunggangan Rasulullah SAW, lalu datang seorang wanita daripada suku Khath‘am, lalu al-Fadhl melihat ke arah wanita tersebut, dan wanita itu melihat ke arahnya. Nabi SAW memalingkan wajah al-Fadhl ke sisi (arah) lain.
Riwayat al-Bukhari (1513)
Dalam riwayat yang lain, daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW pernah memalingkan wajah al-Fadhl bin ‘Abbas apabila dia melihat seorang wanita, seraya Baginda SAW bersabda:
رَأَيْتُ شَابًّا وَشَابَّةً فَلَمْ آمَنِ الشَّيْطَانَ عَلَيْهِمَا
Maksudnya: “Aku melihat seorang pemuda dan seorang pemudi, dan syaitan tidak akan meninggalkan keduanya aman.”
Riwayat al-Tirmizi (885) dan Ahmad (1348)
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan, prinsip asasnya adalah apa-apa yang menjadi punca kepada fitnah adalah tidak dibenarkan. Oleh itu, pintu kepada keburukan perlu ditutup, kecuali jika terdapat manfaat yang kuat yang tidak bertentangan dengan syara‘. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 15/419)
Menjawab persoalan di atas, Imam al-Nawawi berkata: Di samping itu, wajib untuk dia memelihara pandangannya daripada apa yang tidak halal baginya untuk melihatnya seperti perempuan dan amrad yang elok rupa parasnya. Hal ini kerana haram untuk melihat kepada amrad yang elok rupa parasnya dalam semua keadaan kecuali kerana suatu hajat yang diizinkan oleh syarak seperti dalam muamalat dan seumpamanya, sebagaimana yang dilihat kepada wanita lain padanya kerana suatu keperluan. Oleh itu, hendaklah berhati-hati dalam hal tersebut terutama sekali di tempat yang mulia ini. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 186)
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”