Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah memelihara haiwan peliharaan dan membelanjakan untuknya makanan dan rawatan di kira sedekah di jalan Allah?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

 Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

أَنَّ امْرَأَةً بَغِيًّا رَأَتْ كَلْبًا فِي يَوْمٍ حَارٍّ يُطِيفُ بِبِئْرٍ قَدْ أَدْلَعَ لِسَانَهُ مِنَ الْعَطَشِ فَنَزَعَتْ لَهُ بِمُوقِهَا فَغُفِرَ لَهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya soerang pelacur wanita melihat seekor anjing mundar-mandir mengelilingi telaga pada hari yang sangat panas dengan lidahnya yang terkeluar kerana kehausan, lalu perempuan itu memberi minum menggunakan kasutnya, maka dia diberi pengampunan segala dosanya.”

Riwayat Muslim (2245)

Ada seorang sahabat yang terkenal memelihara dan menjaga kucing iaitu Abu Hurairah R.A. Bahkan terdapat sebuah riwayat daripada ‘Ubaidillah bin Abi Rafi’ beliau berkata: “Aku bertanya kepada Abu Hurairah, mengapakah kamu berkuniyah dengan Abu Hurairah? Lalu beliau menjawab:

كنْتُ أرْعَى غَنَمَ أهْلِي، وكَانَتْ لِي هرة صَغِيرَة، فكنتُ أضَعها بِالليلِ فِي شَجَرة، وَإذَا كَانَ النَّهَار ذهَبْتُ بِهَا مَعِي، فلعبتُ بِهَا فكنوني أبَا هُرَيرَة

Maksudnya: “Aku dahulu memelihara kambing milik keluargaku, dan aku dahulu memiliki seekor anak kucing yang kecil. Pada waktu malam aku meletaknya di sepohon pokok dan apabila waktu siang aku membawanya bersama denganku kemudian aku bermain dengannya, maka orang ramai memberi kuniyah kepadaku sebagai Abu Hurairah.” (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, Ibn Hajar 7/349)

Maka riwayat di atas jelas menunjukkan bahawa Abu Hurairah memiliki dan membela kucing, yang terbina di atas keharusan melakukan perkara tersebut. Meskipun hukum membela dan memelihara kucing adalah harus, namun perlu diketahui bahawa hukum berbuat ihsan kepada haiwan termasuk dalam perkara yang wajib. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.”

Riwayat Muslim (1955)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini tidak dinafikan bahawa memberi makan dan memelihara haiwan serta melakukan apa yang sepatutnya bagi haiwan adalah mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT disebabkan perbuatan ihsan yang dilakukan terhadap haiwan tersebut. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa baginda bersabda:

في كُلِّ ذاتِ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

Maksudnya: Pada setiap yang mempunyai hati yang basah (makhluk hidup) itu ada pahalanya.

Riwayat Bukhari(2466)

Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa: sesungguhnya kita akan mendapat ganjaran dalam (berbuat ihsan) kepada haiwan, yakni memberi minum atau berbuat baik kepada haiwan. Sabdanya: ‘Pada setiap hati yang basah itu ada pahala,’ yang bermaksud setiap hati yang hidup. Begitu juga ia membawa maksud kelembapan kehidupan, Ini kerana kelembapan adalah keperluan untuk kehidupan. Yang demikian adalah merupakan sebuah kiasan . Oleh itu, ia membawa makna bahawa ganjaran tetap ada dalam memberi minum kepada  setiap hati yang hidup.

Al-Dawudi menyatakan bahawa: ganjaran tersebut merangkumi kesemua haiwan (Lihat Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari, 5/42)

Justeru kami katakan memberikan makanan dan rawatan kepada haiwan adalah perbuatan ihsan yang patut diberikan pujian. Lebih-lebih lagi, tindakan tersebut dianggap sebagai bentuk sedekah dalam agama Islam. Ini mencerminkan rasa kasih sayang dan kepedulian terhadap ciptaan Allah. Ia juga membawa kebaikan serta berkat dalam kehidupan harian. Yang demikian juga selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada oleh Anas Bin Malik bahawa baginda bersabda:

ما مِن مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا، أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا، فَيَأْكُلُ منه طَيْرٌ أَوْ إِنْسانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ؛ إِلّا كانَ له به صَدَقَةٌ

Maksudnya: Tiada seorang Muslim yang menanam pokok atau menghidupkan tanah dengan tanaman, lalu burung, manusia atau binatang makan daripada hasil tanamannya, melainkan ia dikira sebagai sedekah.”

Riwayat al-Bukhari (2320) dan Muslim (1553)

Ibn Battal ketika menjelaskan hadith di atas menyebut: “Ini menunjukkan bahawa sedekah untuk semua jenis haiwan dan makhluk bernyawa di dalamnya terdapat pahala.” (Lihat Syarh Ibn Battal, 11/473)

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, pahala sedekah ini berterusan selagi mana tanaman itu masih hidup, sekalipun penanam atau pemilik tanaman telah mati, atau tanaman itu bertukar pemiliknya. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 5/4)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً،وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً،وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Leave a Reply