Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah, yang kebetulannya hari Jumaat melakukan solat Jumaat atau solat Zohor?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada ‘Abd al-Rahman bin Ya’mar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya: “Haji adalah Arafah.”

Riwayat al-Tirmizi (814)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin mengatakan, yang dimaksudkan dengan (الحَجُّ عَرَفَةُ) adalah wajib berwuquf di Arafah, jika tidak berwuquf di Arafah maka tiada baginya haji. Oleh yang demikian, para ulama’ berkata: “Sesiapa yang terlepas berwuquf di Arafah, maka dia telah terlepas haji.” (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, 24/23)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan solat Jumaat adalah wajib kepada yang cukup syarat di mana salah satunya bermastautin atau bermukim. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ الله وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman, apabila kamu diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkanlah jual-beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Daripada Jabir bin Abdillah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَعَلَيْهِ الْجُمُعَةُ إِلاَّ امْرَأَة أَوْ مُسَافِرا أَوِ عَبْدا أَوْ مَرِيضا

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari Akhirat maka wajib atasnya mendirikan solat Jumaat kecuali dia seorang perempuan, musafir, hamba dan orang sakit.”

Riwayat al-Daraqutni (2/3) dan yang lainnya. Al-Syaukani berkata: Pada isnadnya terdapat kelemahan dan baginya syawahid. (Lihat al-Sail al-Jarar, 1/295)

Rasulullah SAW melaksanakan ibadat haji dan ketika berada di Arafah, Baginda solat Zohor dan Asar secara jamak. Hal ini berdasarkan hadith Jabir bin Abdillah R.Anhuma, katanya:

 ثُمَّ أَقامَ فَصَلّى الظُّهْرَ، ثُمَّ أَقامَ فَصَلّى العَصْرَ، وَلَمْ يُصَلِّ بيْنَهُما شيئًا،

Maksudnya: “Kemudian diiqamatkan, lantas Rasulullah SAW sembahyang Zohor sebagai imam. Kemudian diiqamatkan, lantas Rasulullah SAW solat Asar sebagai imam. Dan Nabi tidak solat antara kedua-duanya (yakni solat sunat).”

Riwayat Muslim (1218)

Nas ini dengan jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW menunaikan solat Zohor, bukan solat Jumaat, dan solat jamak serta qasar.

Imam al-Nawawi berkata: Kemudian Imam turun (daripada mimbar tempat menyampaikan khutbah), lalu mengimamkan orang ramai solat Zuhur, kemudian solat Asar secara jamak di antara keduanya. Sesungguhnya telah dijelaskan berkenaan jamak dan hukum-hakamnya pada awal kitab. Jamaknya itu dengan satu azan dan dua kali iqamah serta memperlahankan bacaan — yakni tidak membaca secara kuat. Kemudian dikatakan, bahawa hukumnya pada jamak ini adalah sama di antara muqim dan musafir, kerana ia dihimpunkan (ditunaikan secara jamak) disebabkan oleh manasik haji. Namun, mengikut pendapat yang paling sahih, ia adalah disebabkan oleh permusafiran. Dikhususkan dengan musafir sebagai musafir yang jauh sekurang-kurangnya dua marhalah. Begitu juga tidak boleh mengqasarkan solat kecuali sesiapa yang bermusafir dalam permusafiran yang jauh tanpa sebarang khilaf.

Jika Imam ialah seorang yang bermusafir, maka dia boleh mendirikan solat secara qasar. Apabila dia memberi salam dan berkata: “Wahai penduduk Makkah, sesiapa yang musafirnya pendek dan dekat hendaklah dia sempurnakan solatnya (tidak mengqasarkannya). Ini kerana kami ialah kaum yang bermusafir.” (Lihat al-Taudhih, hlm. 213)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply