Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin meminta penjelasan dan pencerahan berkenaan bilangan isteri Nabi Sulaiman A.S, di mana Baginda dikatakan mempunyai 999 isteri atau jumlah yang hampir dengannya. Benarkah? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan menjelaskan secara ringkas Nabi Sulaiman A.S terlebih dahulu. Nabi Sulaiman adalah nama a‘jam yang dikenali oleh orang Arab sejak zaman Jahiliah, dan kunyahnya (nama julukannya) pula ialah Abu al-Rabi‘. Ia disebut dalam al-Quran sebanyak lima belas kali. Nabi Sulaiman merupakan anak Nabi Daud A.S seperti yang dinyatakan dalam firman Allah SWT:
وَوَهَبْنَا لِدَاوُودَ سُلَيْمَانَ ۚ نِعْمَ الْعَبْدُ ۖ إِنَّهُ أَوَّابٌ
Maksudnya: “Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat).”
(Surah Sad: 30)
Nabi Daud A.S mempunyai sembilan belas anak, namun tiada seorang pun yang lebih bijaksana dan pintar daripada Nabi Sulaiman A.S. Allah mengurniakan kepadanya kerajaan dan hikmah (kebijaksanaan). (Lihat Mir’ah al-Zaman fi Tawarikh al-A‘yan, 2/189). Nabi Sulaiman A.S mengambil alih pemerintahan ketika berusia lapan belas tahun, dan Allah SWT menjadikannya seorang nabi, begitu juga Allah SWT menundukkan jin, manusia, burung, dan angin untuknya. (Lihat al-Bustan al-Jami‘ li Jami‘ Tawarikh Ahl al-Zaman, hlm. 72).
Zaman ketika Nabi Sulaiman A.S mengambil alih pemerintahan Bani Israel dianggap sebagai salah satu era paling gemilang yang pernah dilalui oleh kerajaan mereka. Baginda mewarisi pemerintahan daripada bapanya, dan mengambil alih kekuasaan serta kebijaksanaan dalam pemerintahan dan pengadilan daripada bapanya, Nabi Daud A.S. Allah SWT berfirman:
وَوَرِثَ سُلَيْمَانُ دَاوُودَ ۖ وَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ عُلِّمْنَا مَنطِقَ الطَّيْرِ وَأُوتِينَا مِن كُلِّ شَيْءٍ ۖ إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْفَضْلُ الْمُبِينُ
Maksudnya: “Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: ‘Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata.’”
(Surah al-Naml: 16)
Nabi Sulaiman A.S meneruskan apa yang dimulakan oleh bapanya dan melaksanakan wasiatnya. Baginda memulakan dengan membina dan memakmurkan masjid, membangunkan kota Tadmur, mendirikan kuil (haikal), membina rumah untuk para tentera, mendirikan kilang senjata, dan mewujudkan armada laut. Tamadun pada zamannya berkembang pesat dengan cara yang tidak pernah dilihat sebelumnya. (Lihat Da‘wah al-Rusul ‘Alaihim al-Salam, hlm. 420).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya bilangan terbanyak isteri Nabi Sulaiman A.S yang dinyatakan dalam hadith sahih adalah seramai seratus wanita. Ini sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah, katanya:
قَالَ سُلَيْمَانُ بْنُ دَاوُدَ عَلَيْهِمَا السَّلاَمُ: لَأَطُوفَنَّ اللَّيْلَةَ بِمِائَةِ امْرَأَةٍ. تَلِدُ كُلُّ امْرَأَةٍ غُلاَمًا يُقَاتِلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ. فَقَالَ لَهُ الـمَلَكُ: قُلْ إِنْ شَاءَ اللَّهُ. فَلَمْ يَقُلْ وَنَسِيَ. فَأَطَافَ بِهِنَّ، وَلَمْ تَلِدْ مِنْهُنَّ إِلَّا امْرَأَةٌ نِصْفَ إِنْسَانٍ. قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَوْ قَالَ: إِنْ شَاءَ اللَّهُ، لَمْ يَحْنَثْ، وَكَانَ أَرْجَى لِحَاجَتِهِ
Maksudnya: “Nabi Sulaiman bin Dawud A.S berkata: ‘Sesungguhnya malam ini aku akan mengelillingi seratus orang isteriku. Setiap wanita akan melahirkan anak yang berperang di jalan Allah.’ Malaikat berkata kepadanya: Katakanlah: ‘Insya-Allah (jika Allah menghendaki).’ Namun Baginda tidak mengucapkannya dan terlupa. Lalu Baginda mengelilingi wanita-wanita itu dan tiada seorang pun daripada mereka yang melahirkan (anak) kecuali seorang wanita melahirkan separuh manusia. Nabi SAW bersabda: ‘Sekiranya Baginda mengucapkan insya-Allah, pasti Baginda tidak akan membatalkan sumpahnya, dan hajatnya itu pasti akan terkabul.’”
Riwayat al-Bukhari (5242)
Selain itu, hadith ini turut diriwayatkan oleh Imam Muslim (1654) yang menyatakan bahawa Nabi Sulaiman menyebutkan, sembilan puluh wanita. Begitu juga dalam hadith lain yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (3424) ada yang menyatakan, bilangannya adalah seramai tujuh puluh wanita, dan ada juga riwayat daripadanya (2819) yang menyatakan bilangannya adalah seramai sembilan puluh sembilan.
Dalam erti kata lain, terdapat pelbagai riwayat mengenai jumlah bilangan isterinya; ada yang menyatakan seramai tujuh puluh, enam puluh, sembilan puluh sembilan, dan seratus. Nabi Sulaiman mengharapkan jumlah itu untuk memperoleh kebaikan dan menyatakannya dengan kepastian kerana harapannya yang kuat, serta kerana dia menginginkannya demi akhirat, bukan dunia. (Lihat Kasyf al-Lisam Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 6/370-371).
Akan tetapi al-Hafiz Ibn Kathir menukilkan dalam kitabnya, al-Bidayah wa al-Nihayah (2/29) bahawa ramai ulama salaf menyatakan bahawa jumlah isteri Nabi Sulaiman adalah seramai seribu wanita; tujuh ratus wanita sebagai isteri dengan mahar dan tiga ratus lagi adalah hamba. Namun, ada juga yang berpendapat sebaliknya; tiga ratus wanita sebagai isteri dalam kalangan wanita merdeka dan tujuh ratus lagi dalam kalangan hamba.
Begitu juga al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya turut menyatakan, Wahb bin Munabbih menukilkan dalam al-Mubtada’ bahawa bahawa Nabi Sulaiman A.S mempunyai seribu wanita; tiga ratus wanita sebagai isteri dengan mahar dan tujuh ratus lagi dalam kalangan hamba. (Lihat Fath al-Bari, 6/460).
Tambahan lagi, hadith di atas tidak menunjukkan bahawa bilangan isteri Nabi Sulaiman A.S hanya terhad kepada jumlah tersebut sahaja kerana yang ingin dimaksudkan jumlahnya adalah ramai. Begitu juga terdapat dalam kitab-kitab terdahulu bahawa Nabi Sulaiman mempunyai isteri seramai seribu wanita. Namun, berita-berita tersebut tidak dapat dipastikan kebenarannya. Tiada hadith yang sahih mengenai bilangan isterinya selain hadith yang dinyatakan di atas yang datang dengan pelbagai riwayat. Kami tidak melihat ada keperluan untuk menyelidiki dan menyenaraikan bilangan isterinya kerana perkara ini tidak membawa apa-apa maslahah baik buat agama mahupun duniawi. Oleh itu, adalah lebih baik bagi seorang Muslim untuk tidak bersungguh-sungguh dalam hal itu, sebaliknya memberi tumpuan kepada perkara lain yang lebih bermanfaat dalam kehidupan dunia dan akhiratnya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”