Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah terdapat di sana petua apabila binatang menjadi liar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam kebanyakan perkara yang diperlukan oleh orang yang bermusafir, ia telah dijelaskan melalui beberapa hadith dan athar yang telah dihimpunkan di dalam kitab al-Azkar (hlm. 358) dengan syawahid yang jelas. Disebutkan di sini sebahagiannya secara ringkas, antaranya:

Apabila haiwan tunggangannya menjadi liar dan sukar untuk dinaikinya, dikatakan: Hendaklah seseorang itu membaca pada kedua telinganya dengan firman Allah SWT:

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ ‎

Maksudnya: Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nya-lah mereka dikembalikan.”

(Ali ‘Imran: 83)

Al-Tha’labi menyebut berkenaan hal ini dalam tafsirnya, sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma.

Hal ini juga berdasarkan kepada sebuah hadis dengan sanad yang da’if yang dikeluarkan oleh Imam al-Tabarani. (Lihat kitab Hasyiah al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami ‘ala Syarh al-Idhah, hlm. 75)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Jadi, adakah mereka mencari agama lain selain agama Allah, Sang Pencipta? Padahal, segala yang ada di langit dan di bumi menyerahkan diri kepada-Nya, sama ada dengan rela atau terpaksa. Mereka ini termasuklah malaikat, jin dan manusia. Dan hanya kepada Allah sahaja mereka akan dikembalikan dan diberi balasan berdasarkan segala perbuatan mereka.” (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 78)-

Apabila haiwan tunggangannya terlepas lari, serulah dengan menyebut, ‘يَا عِبَادَ الله احْبِسُوا’  (Wahai para hamba Allah, sekatlah haiwan itu) sebanyak dua atau tiga kali.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply