Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kami ingin mengetahui beberapa hikmah di sebalik kita diperintahkan untuk bersedekah semasa di Makkah dan di Madinah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya:Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.

(Surah Saba’: 39)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, setiap apa yang diinfakkan sama ada nafkah wajib atau sunat, kepada saudara, jiran, orang miskin, anak yatim atau selainnya, maka Allah akan menggantikannya. Oleh itu, janganlah kamu menganggap bahawasanya infak itu akan mengurangkan rezeki. Bahkan sebaliknya Allah SWT berjanji untuk menggantikannya buat orang yang memberi infak. Dialah yang meluaskan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan juga mampu untuk menyempitkannya. Demikianlah juga Dia sebaik-baik Pemberi rezeki. Justeru, mintalah rezeki daripada-Nya dan berusahalah dengan melakukan sebab-sebab dan jalan-jalan yang diperintahkan-Nya kepadamu — bagi memperolehinya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 581)

Adapun galakan bersedekah secara umumnya boleh menghapuskan dosa dan menyelamatkan seseorang daripada neraka. Daripada ‘Adi bin Hatim al-Ta’i, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَة

Maksudnya: “Peliharalah diri kalian daripada api neraka sekalipun dengan (menderma) separuh daripada buah kurma.”

Riwayat al-Bukhari (6540)

Ketika mengulas berkenaan hadith ini, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah berkata: Di dalam hadith ini terdapat galakan bersedekah dengan sesuatu yang sedikit. Kata beliau lagi: Sesungguhnya sedekah yang sedikit itu dapat memelihara orang yang bersedekah daripada api neraka. (Lihat Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari, 3/284)

Sedekah merupakan amalan yang mulia sehingga mendapat gandaan pahala di sisi Tuhan sebagaimana firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١﴾ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526)

Al-Imam al-Nasafi berkata: “Allah membuktikan kekuasaannya dalam menghidupkan yang mati seterusnya Allah menggesa supaya menginfak pada jalan Allah kerana pahalanya yang amat besar.” (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 1/216)

Sementelahan lagi di tempat yang mulia, kota suci Makkah dan Madinah yang digandakan kebaikannya.

Menjawab persoalan di atas, Imam al-Nawawi berkata: Kelebihan melakukan sedekah dan perkara makruf di dalam perjalanan ke Makkah dengan sebab empat perkara:

  • Keperluannya lebih mendesak.
  • Tiada negeri tempat dia bergantung.
  • Mujahadah nafsu kerana sayangkan sesuatu dengan takut luput keperluan.
  • Memberi bantuan kepada mereka yang menuju ke Baitullah. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, 70)

Kami akhiri dengan doa sepertimana doa yang disebut malaikat:

اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian. Dan jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.”

Leave a Reply