Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika berlaku wabak seperti Taun dan sebagainya, adakah haji diwajibkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.”

 (Surah Ali ‘Imran: 97)

Imam al-Qurtubi menjelaskan: “Orang yang mampu dari segi harta maka wajib baginya haji berdasarkan hadith al-Khaithamah. Adapun kemampuan bagi dirinya bermaksud mempunyai kekuatan yang mana tidak menyebabkannya berada dalam kesusahan ketika di dalam perjalanan. Maka sesiapa yang memiliki bekalan dan kekuatan maka wajib baginya kefardhuan Haji. Adapun bagi yang tidak memiliki kedua-duanya, maka tidak wajib Haji baginya.” (Lihat al-Jami’ Li al-Ahkam al-Quran, 4/95)

Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat di atas, menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang mukallaf yang berkemampuan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853)

Dalam perbahasan fiqh, terdapat satu lagi jenis kemampuan iaitu kemampuan dari sudut keselamatan (al-istita’ah al-amniyyah) iaitu aman atau selamat dalam perjalanan, walaupun ia cuma bersifat sangkaan kuat (zhann) ke atas nyawa dan hartanya pada setiap tempat yang dilalui.

Imam al-Nawawi menukilkan pandangan Imam al-Haramain yang menyebut, aman yang dimaksudkan bukan semestinya ke tahap aman yang bersifat yakin atau aman seperti mana dalam keadaan tidak bermusafir. Ia adalah mengikut yang selayaknya atau sesuai dengannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 7/80-812)

Perjalanan yang aman dan selamat sama ada nyawa dan harta benda. Sekiranya dia merasa bimbang terhadap dirinya daripada:

  • penyamun.
  • Waba’.
  • harta

Maka, dia termasuk yang tidak mempunyai istita’ah. Ini bertepatan dengan kaedah:

إِنَّ كُلَّ تَصَرُفٍ جَرَّ فَسَاداً أَوْ دَفَعَ صَلاَحًا فَهُوَ مَنْهِيٌّ عَنْهُ

Maksudnya: “Bahawa setiap tindakan yang membawa kerosakan atau yang menolak kemaslahatan, maka ianya ditegah.”

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Keselamatan bermaksud keselamatan nyawa, harta orang yang mengerjakan haji itu sepanjang jalan, yang akan dilalui dan tempat yang sepatutnya diziarahi, walaupun hanya secara berat sangka (zanni).”

Penangguhan Ibadat Haji Kerana Keuzuran

Menurut pandangan muktamad dalam Mazhab Syafi’e, ibadah haji termasuk dalam kategori wajib muwassa’ iaitu kewajipan yang mempunyai keluasan waktu untuk mengerjakannya. Dengan maksud, seseorang yang telah memenuhi syarat wajib untuk menunaikan haji, masih lagi tidak diwajibkan secara serta merta untuk menunaikan haji. Imam al-Nawawi menyatakan seperti berikut:

إذَا وُجِدَتْ شُرُوطُ وُجُوبِ الْحَجِّ وجب على التَّرَاخِي عَلَى مَا نَصَّ عَلَيْهِ الشَّافِعِيُّ وَاتَّفَقَ عَلَيْهِ الْأَصْحَابُ إلَّا الْمُزَنِيَّ فَقَالَ هُوَ عَلَى الْفَوْرِ فَعَلَى الْمَذْهَبِ يَجُوزُ تَأْخِيرُهُ بَعْدَ سَنَةِ الْإِمْكَانِ مَا لَمْ يَخْشَ الْعَضَبَ.

Maksudnya: “Apabila telah mempunyai syarat-syarat wajib haji, wajib ke atasnya secara tidak serta merta (al-tarakhi) sebagaimana yang dinaskan oleh Imam al-Syafi’e dan dipersetujui oleh ashab-nya kecuali al-Muzani yang mengatakan ia wajib secara serta merta. Maka berdasarkan pandangan (muktamad) dalam mazhab, harus menangguhkannya selepas tahun berkemampuan selagi mana dia tidak bimbang kepada halangan.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 7/102)

Walau bagaimanapun, dari segi keutamaan, bagi sesiapa yang telah sampai kepada tahun berkemampuan untuk menunaikan haji, disunatkan untuk dia tidak melewatkan atau menangguhkannya. Ini bagi memastikan dirinya terlepas daripada bebanan tanggungjawab mengerjakan fardhu haji, keluar daripada khilaf ulama yang mewajibkan secara serta merta dan bersegera dalam mengerjakan ketaatan. Namun jika dia melewatkannya dari tahun berkemampuan, tetapi sempat mengerjakannya sebelum meninggal dunia, maka dia tidak berdosa. Ini berdasarkan keadaan Rasulullah SAW sendiri yang menangguhkan haji ke tahun 10 Hijrah tanpa sebarang halangan. Akan tetapi, penangguhan tersebut mestilah disertai dengan keazaman yang kuat untuk melaksanakannya pada tahun-tahun akan datang. (Lihat al-Hajj wa al-’Umrah, Ahkam Fiqhiyyah Sadirah ‘an al-Mazhab al-Syafi’iy wa Baqiyyah al-Mazahib al-Arba’ah, 10-11)

Ini menunjukkan seseorang yang menangguhkan pemergian hajinya ke tahun yang lain tanpa sebarang halangan, tidak sesekali berdosa jika dia berazam untuk pergi pada tahun-tahun lainnya. Apatah lagi jika dia menangguhkan pemergian hajinya ke tahun lain disebabkan keuzuran yang tidak dapat dielakkan seperti wabak penyakit yang melanda seluruh dunia.

Seorang penyelidik yang bernama Ibrahim Muhammad telah melakukan kajian pada Februari 2020 dan mendapati bahawa pelaksanaan haji pernah ditangguhkan sebanyak 40 kali sepanjang sejarah Islam. Ia berlaku buat pertama kali pada tahun 930 Masihi ketika golongan Syiah Qaramithah mencuri Hajar Aswad. Manakala kali terakhir pada tahun 1987 disebabkan wabak meningitis.

Beberapa Fatwa Para Ulama

Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Dr. Ali Muhyiddin al-Qaradaghi ketika memberikan fatwa berkenaan penangguhan haji disebabkan wabak penyakit menyatakan: “Yang paling tepat adalah bahawa jika wabak itu merebak secara pasti atau terbukti dengan sangkaan yang berat (menerusi pakar-pakar profesional) bahawa jemaah haji, atau sebahagian mereka (boleh) ditimpa wabak ini  disebabkan kesesakan, maka dibenarkan untuk melarang ibadah umrah atau haji buat sementara waktu dengan kadar yang boleh mengelak dengannya kemudaratan.

Para fuqaha telah bersetuju akan keharusan meninggalkan ibadat haji ketika bimbangkan keselamatan perjalanan, bahkan istitho’ah tidak tercapai kecuali dengan keselamatan dan keamanan. Dengan itu, wabak penyakit termasuk keuzuran yang dibenarkan untuk meninggalkan haji dan umrah dengan syarat bahawa kebimbangan tersebut berdasarkan sangkaan kuat akan wujudnya penyakit, atau penyebarannya kerana haji dan umrah. Demikian itu dinilai oleh para pakar daripada kalangan doktor dan laporannya dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk melarang. Dalam kes dikekalkan pelaksanaan haji dan umrah tanpa larangan, ketika itu terpulang kepada negara yang tersebar padanya wabak untuk melarang jemaah haji atau umrahnya melaksanakan ibadah haji. Kerana ditakuti ia akan memindahkan wabak kepada perhimpunan jemaah haji dan umrah berdasarkan penilaian golongan pakar di setiap negara.”[1]

Mufti Kerajaan Mesir, Syeikh Dr. Shawqi ‘Allam ketika menjawab persoalan mengenai kemungkinan haji dan umrah ditangguhkan mengatakan, ia menepati Maqasid Syariah. Kemungkinan sebahagian orang akan merasa dukacita dengan hal tersebut, namun orang yang uzur diberi pahala atas keuzurannya. Malah di sana terdapat banyak cara untuk menyalurkan kewangan yang disediakan untuk haji dan umrah tersebut bagi meraih pahala seperti memperuntukkannya kepada barisan hadapan (COVID-19) yang bekerja setiap hari.[2]

Dalam majalah al-Bayan Siri 1 bertajuk Penangguhan Ibadah Haji 1441H: Suatu Pencerahan (hlm. 31-37) yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada tahun 2020 menyebut:

Dalam menangani wabak COVID-19, penangguhan haji adalah bertepatan dengan kaedah-kaedah di atas bagi membendung wabak tersebut daripada semakin tersebar sama ada dalam kalangan jemaah haji tempatan mahupun negara lain. Kaedah tersebut sebagaimana kaedah yang dinyatakan dalam hadith Rasulullah SAW yang masyhur:

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا

Maksudnya: “Jika kamu mendengar penyakit taun melanda di suatu kawasan, janganlah kamu masuk ke kawasan tersebut. Dan jika kamu berada di kawasan tersebut, maka janganlah kamu keluar dari situ.”

Riwayat al-Bukhari (5728), Muslim (2218) dan Ahmad (21860)

Hadith ini menunjukkan pemerintah boleh mengambil tindakan kuarantin atau sebarang sekatan agar penyakit atau wabak tidak tersebar. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A pernah menyebutkan hadith ini kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ketika beliau bercadang pergi ke Syam semasa wabak taun sedang merebak di sana. Mendengar hadith ini, Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab membatalkan hasratnya. (Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/5)

Dalam perbincangan kami dengan al-‘Allamah al-Muhaddith Syeikh Muhammad ‘Awwamah di Istanbul, Turki pada hari Isnin 27 Januari 2020 berkenaan dengan maksud ta’un dalam hadith, ia memberi makna sebarang bentuk wabak atau penyakit umum yang melanda pada satu-satu tempat. Justeru, ia juga terpakai kepada penyakit COVID-19.

Keempat: Kaedah fiqh al-Aulawiyyat:

دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ

Maksudnya: “Menolak kemudaratan itu hendaklah didahulukan daripada mendapatkan maslahat.” (Lihat Syarh Majallah al-Ahkam, 30/38; Al-Asyhbah wa al-Nazair, 87; Ibn Nujaim, 90; al-Wajiz, 208; dan al-Qawa’id oleh al-Nadwi, 260.)

Apabila berlaku pertembungan antara memperoleh kebaikan dan menolak kemudaratan, maka perlu diutamakan menolak kemudaratan. Dalam isu penularan wabak COVID-19 pada musim haji tahun ini (2021), maka perlu didahulukan menolak kemudaratan iaitu dengan menangguhkan pemergian haji. Hal ini disebabkan kemudaratan yang ada bersifat pasti atau sangkaan kuat iaitu boleh menggugat nyawa. Sedangkan kebaikan yang ingin diperoleh iaitu menunaikan haji masih boleh dikompromi kerana ia merupakan wajib muwassa’ yang harus ditangguhkan lebih-lebih lagi dalam keadaan darurat.

Kelima: Memelihara Maqasid Syariah menjaga nyawa.

Al-Daruriyyat al-Khamsah dalam Maqasid Syariah iaitu keperluan yang manusia bergantung kepadanya sama ada dari sudut kehidupan beragama atau keduniaan. Jika ia tiada maka akan berlaku kepincangan hidup manusia di dunia dan azab seksa di akhirat. (Lihat Ta’lil al-Ahkam, 282) Al-Daruriyyat yang asasi ini merangkumi lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Ia melibatkan kelangsungan hidup manusia. (Lihat al-Mustasfa Min ‘Ilm al-Usul, 217)

Menjaga nyawa merupakan prinsip yang kedua terpenting mengikut urutan keutamaan untuk dijaga selepas memelihara agama. Contohnya, Islam melarang perbuatan membunuh, sama ada membunuh diri sendiri atau manusia lain bagi
memelihara nyawa. Hukuman qisas, diyat atau kaffarah dikenakan bagi mereka yang telah melakukan pembunuhan terhadap manusia lain sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Dalam isu penangguhan mengerjakan ibadat haji, ia dilakukan bagi menyelamatkan rakyat daripada risiko terkena penyakit COVID-19 yang boleh menyebabkan kematian kerana masih tidak mempunyai vaksin. Ia sesekali tidak membelakangkan prinsip pertama iaitu memelihara agama. Ini kerana, pelaksanaan ibadah haji hanya diwajibkan dalam keadaan memiliki istitha’ah atau kemampuan. Dalam keadaan seseorang tidak mampu melindungi keselamatan dirinya daripada penyakit tersebut, maka ia tidak lagi termasuk dalam kategori golongan yang berkemampuan. Apatah lagi apabila ia telah diperakui oleh pihak berautoriti seperti kerajaan. (Lihat majalah al-Bayan Siri 1 bertajuk Penangguhan Ibadah Haji 1441H: Suatu Pencerahan, hlm. 31-37)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Nota Hujung:

[1] http://iumsonline.org/ar/ContentDetails.aspx?ID=11019. Dilayari pada 11 Jun 2020.

[2] http://gate.ahram.org.eg/News/2400685.aspx. Dilayari pada 11 Jun 2020.

Leave a Reply