Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah seseorang dalam ihram mencukur rambutnya kerana terlalu banyak kutu di kepala?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.

(Surah al-Baqarah: 196)

Al-Khatib al-Syirbini menyatakan, ayat “وَلا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ” merujuk kepada rambut dan bulunya pada seluruh jasad. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/297).

Dr. Wahbah al-Zuhaili juga ada menyebutkan, larangan ayat di atas diqiaskan dalam larangan mencabut bulu atau mencukurnya pada seluruh badan dan larangan ini merupakan sepakat para ulama. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/2300).

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan, pengharaman dan larangan ini tertakluk kepada lelaki dan perempuan yang berihram. Begitu juga wajib ke atas wali seorang budak yang sedang berihram untuk menghalangnya daripada menggugurkan rambutnya. Larangan ini juga termasuk pada rambut di kepala, janggut, misai, bulu ketiak, bulu roma dan bulu diseluruh badan sama ada dihilangkannya dengan mencukur, memendekkan, mencabut, membakarnya atau selain daripadanya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/321).

Imam al-Nawawi berkata: Haram menghilangkan rambut dengan cara bercukur, bergunting, mencabut atau membakar atau selainnya sama ada rambut di kepala, bulu ketiak, bulu ari-ari, misai dan lain-lain daripada jenis bulu di badan. Bahkan, haram menghilangkan walaupun sebahagian daripada seurat rambut daripada mana-mana badannya.

Menjawab persoalan di atas, Imam al-Nawawi menyebut: Jika kutu banyak di kepalanya atau terdapat luka dan pendarahan yang menyebabkan rambutnya terpaksa dicukur atau sakit dengan sebab kepanasan, atau kerana lebat rambutnya, maka harus baginya mencukur dan dikenakan fidyah. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 118)

Pernah terjadi pada Ka’ab bin Ujrah R.A ketika mana beliau terpaksa mencukur kepalanya ketika dalam ihram disebabkan oleh kutunya yang banyak, kemudian Rasulullah SAW membenarkan beliau mencukurnya dengan membayar dam, sama ada dengan menyembelih kambing, atau puasa 3 hari ataupun memberi makan kepada 6 orang miskin sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Ma’qil, katanya:

قَعَدْتُ إِلَى كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ فِي هَذَا المَسْجِدِ –يَعْنِي مَسْجِدَ الكُوفَةِ – فَسَأَلْتُهُ عَنْ فِدْيَةٌ مِنْ صِيَامٍ، فَقَالَ: حُمِلْتُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالقَمْلُ يَتَنَاثَرُ عَلَى وَجْهِي، فَقَالَ: «مَا كُنْتُ أُرَى أَنَّ الْجَهْدَ قَدْ بَلَغَ بِكَ هَذَا، أَمَا تَجِدُ شَاةً؟». قُلْتُ: لاَ. قَالَ: «صُمْ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ، أَوْ أَطْعِمْ سِتَّةَ مَسَاكِينَ، لِكُلِّ مِسْكِينٍ نِصْفُ صَاعٍ مِنْ طَعَامٍ، وَاحْلِقْ رَأْسَكَ»، فَنَزَلَتْ فِيَّ خَاصَّةً وَهْيَ لَكُمْ عَامَّةً.

Maksudnya: Aku duduk mendekati Ka‘b bin ‘Ujrah dalam masjid ini – iaitu Masjid Kufah – lalu aku bertanya kepadanya tentang fidyah puasa. Maka dia berkata: “Aku dibawa kepada Nabi SAW sementara kutu-kutu berjatuhan di wajahku.” Baginda bersabda: “Aku tidak menjangka kesulitan (kesakitan) denganmu hingga seperti ini (semakin parah). Apakah kamu mempunyai seekor kambing?” Aku berkata: “Tidak.” Baginda bersabda: “Berpuasalah tiga hari atau berilah makan enam orang miskin, tiap-tiap orang miskin itu setengah gantang makanan, lalu cukurlah rambutmu.” Maka ayat itu turun berkenaan denganku secara khusus dan bagi kalian secara umum.

Riwayat al-Bukhari (4517)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply