#6034: Hukum Berbekam Ketika Ihram

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apa hukum berbekam semasa dalam ihram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berbekam ataupun dalam bahasa arabnya al-Hijamah (الْحِجَامَةُ) diambil daripada kata perbuatan Hajam (حَجَمَ) yang bermaksud bermaksud menyedut, dan bekam bermaksud menyedut darah dan mengeluarkannya daripada badan. (Lihat Lisan al-Arab, 3/67-68).

Berbekam  menurut fuqaha ialah  mengeluarkan darah  daripada bahagian tengkuk dengan  cara  hisap (menyedut) menggunakan alat bekam.  Sementara,  al-Zurqani menyatakan bahawa berbekam tidak khusus pada bahagian tengkuk bahkan seluruh badan (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 17/14).

Menjawab persoalan di atas, Imam al-Nawawi berkata: “Manakala fasdu (Flebotomi) dan berbekam pada tubuh atau kepala adalah tidak mengapa selagi mana ia tidak momotong rambut atau bulu.” (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 135)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

احْتَجَمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ مُحْرِمٌ

Maksudnya: “Nabi SAW berbekam sedangkan Baginda SAW dalam ihram.”

Riwayat al-Bukhari (5695)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Hadith ini menunjukkan bahawa boleh berbekam bagi orang yang berihram, dan ia merupakan kesepakatan ulama. Mengeluarkan darah dari badan bukan merupakan hal yang dilarang dalam berihram. Namun, sekiranya berbekam itu diikuti memotong rambut oleh orang yang berihram – dan ia dilakukan tanpa ada keuzuran – maka diharamkan dan wajib membayar fidyah; dan jika ada keuzuran, maka dibolehkan, akan tetapi terkena fidyah kerana menghilangkan rambut. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/88)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *