Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah batal haji jika seseorang isteri memasukkan zakar suaminya ke dalam farajnya semasa kedua-duanya dalam ihram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ

Maksudnya: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji.”

(Surah al-Baqarah: 197)

Ibn Kathir berkata: “ (فَلَا رَفَثَ) di sini bermaksud sesiapa yang berihram dengan haji atau umrah, maka hendaklah dia meninggalkan rafath (رَفَثَ), iaitu bersetubuh. Begitu juga diharamkan kepada perkara yang membawa kepada persetubuhan, berciuman, dan seumpamanya serta membicarakan hal itu di hadapan wanita.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/543)

Sebagaimana yang kita ketahui, batal ibadat haji atau umrah yang mana mereka dalam ihram telah melakukan persetubuhan.

Dalam menjawab persoalan di atas, Imam al-Nawawi menyebut: “Sekiranya seorang perempuan itu memasukkan zakar lelaki yang sedang tidur, maka batal haji dan umrah perempuan tersebut.” (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 136)

Oleh kerana, itu sebelum melaksanakan ibadah haji, pastikan terlebih dahulu memahami akan kefardhuan ibadat haji tersebut termasuk rukun, perkara yang membatalkan ihram, dan yang diharamkan semasa ihram serta sunat-sunat dan adabnya. Semoga Allah SWT jadikan haji kita haji yang mabrur.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply