Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami ayat 25 daripada Surah al-Haj?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ٱلَّذِى جَعَلْنَـٰهُ لِلنَّاسِ سَوَآءً ٱلْعَـٰكِفُ فِيهِ وَٱلْبَادِ ۚ وَمَن يُرِدْ فِيهِ بِإِلْحَادٍۭ بِظُلْمٍۢ نُّذِقْهُ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍۢ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang melakukan kekufuran serta menghalang manusia dari jalan Allah dan dari Masjid al-Haram, yang Kami telah jadikannya untuk semua manusia sama ada mereka adalah penduduk Makkah atau orang luar yang datang berziarah; bagi mereka azab yang pedih dan juga kepada sesiapa yang berkehendak untuk melakukan perkara yang dilarang Allah di Makkah, kami juga pasti akan timpakan mereka dengan seksaan yang amat pedih.

(Surah al-Hajj: 25)

Imam Ibn Kathir mengatakan ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT telah menjadikan ia (masjid al-Haram) sebagai tempat ibadah bagi semua manusia dan tidak ada perbezaan antara yang bermukim di tempat tersebut ataupun orang yang tinggal jauh dari tempat tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/409)

Dalam Tafsir al-Bayan, diterangkan: Allah mendatangkan ancaman kepada setiap orang yang kufur kepada-Nya dan mendustai rasul-Nya serta menghalang manusia daripada beriman kepada Allah dan memakmurkan Masjidil Haram. Ancaman ini bersifat umum, iaitu bukan hanya terhadap orang kafir yang menghalang Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda pada tahun terlaksananya Perjanjian Hudaibiyyah tetapi bersifat umum, iaitu sesiapa sahaja yang melakukan perkara yang sama sehingga hari kiamat.

Masjidil Haram ialah tempat ibadah bagi semua umat Islam, sama ada mereka yang menetap di Makkah atau pun yang datang dari luar. Kesemua umat Islam mempunyai hak yang sama untuk beribadah di dalam Masjidil Haram. Allah mendatangkan ancaman bahawa sesiapa sahaja berazam untuk melakukan kezaliman sama ada mensyirikkan Allah, atau apa sahaja perkara dosa yang lain akan dibalas dengan azab yang pedih. Pembalasan azab ini terutamanya kepada mereka yang menghalang manusia daripada mengimarahkan Masjidil Haram dan berniat melakukan kezaliman di dalamnya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/479)

Ancaman ini adalah berkaitan keinginan melakukan kemaksiatan semasa di Tanah Haram, Makkah, bukan di Madinah. Ibn al-Qayyim berkata, “Di sini ada Masjidil Haram, ertinya seluruh tanah adalah haram.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 3/434)

Beliau berkata lagi, “Kata kerja ‘iradah‘ (keinginan) tidak disertai dengan huruf ba’, tetapi mengandung makna ‘ يهم ” فيه بكذا’ (keinginan untuk melakukan ini), ini lebih kuat daripada sekadar keinginan. Sebutan huruf ba menunjukkan kepastian mendapat seksaan apabila ada hajat, walaupun tidak jelas.” (Lihat Badai’ al-Fawaid, 2/259)

Maksud ‘إِلْحَادٍ’ adalah keluar dari kebenaran. Manakala maksud ‘ظُلْمٍ’ dalam ayat tersebut ialah segala sesuatu yang menyalahi syariat. Ini termasuklah syirik, bid’ah dan dosa seperti membunuh.

Syeikh Muhammad Amin al-Syanqiti berkata, “Yang zahir dalam perkara ini ialah setiap penyimpangan dengan meninggalkan kewajipan atau melakukan perkara yang haram, termasuk dalam kategori kezaliman yang disebutkan. Adapun yang dibolehkan adalah seperti  seorang suami yang memarahi isteri atau hambanya, ia tidak termasuk dalam ilhad dan juga tidak termasuk dalam kategori kezaliman. Sebahagian ulama berkata, sesiapa yang kuat keinginan untuk melakukan kejahatan di Makkah, Allah akan menyeksanya dengan azab yang pedih kerana keinginannya yang kuat terhadapnya, walaupun dia tidak melakukannya. Tidak seperti tempat lain selain Masjidil Haram, dia tidak diseksa dengan kemahuan yang kuat.’ (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 4/294)

Justeru, seseorang yang memasuki Masjidil Haram seharusnya membersihkan jiwa dan hatinya serta memfokuskan matlamatnya hanya untuk mencari redha Allah.

Semoga Allah menjadikan kita cinta kepada Makkah dan menjarakkan daripada sebarang maksiat. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply