Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah terdapat doa ketika melihat Ka’bah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”

(Surah Ali ‘Imran: 96)

Allah SWT mengkhabarkan mengenai keagungan Baitullah al-Haram yang merupakan rumah ibadat pertama yang dibina untuk beribadah kepada-Nya di atas muka bumi yang terletak di Makkah, padanya terdapat keberkatan dan petunjuk (hidayah) bagi seluruh manusia. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 213-214)

Dalam menjawab persoalan di atas, Imam al-Nawawi menyebut:

Disunatkan apabila matanya memandang Kaabah, dia mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. Hal ini kerana terdapatnya hadith bahawa dimustajabkan doa orang Islam ketika melihat Kaabah. Lalu berdoa seperti berikut:

اللَّهُمَّ زِدْ هَذَا البَيْتَ تَشْرِيْفاً وَتَعْظِيْماً وَتَكْرِيْماً وَمَهَابَةً، وَزِدْ مِنْ شرَفِهِ وعِظَمِهِ مِمَّنْ حَجَّهُ وَاعْتَمَرَهُ تَشْرِيْفاً وَتَعْظِيْماً وَتَكْرِيْماً وَبِرًّا

Maksudnya: “Ya Allah, tambahkanlah kepada Baitullah (Kaabah) ini kehormatan, keagungan, kemuliaan dan kehebatan, serta tambahkanlah daripada kehormatan dan keagungannya kepada sesiapa yang mengerjakan haji dan umrah dengan kemuliaan, keagungan, kewibawaan dan kebaikan.”

Dan ditambah kepada doa tersebut dengan membaca:

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمَ وَمِنْكَ السَّلاَمَ فَحَيِّنَا رَبَّنَا بِالسَّلاَمِ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang bersifat sejahtera, hanya daripada-Mu segala kesejahteraan, kekalkanlah kami wahai Tuhan dengan penuh kesejahteraan.”

Dia boleh berdoa dengan apa-apa doa yang disukainya daripada kebahagian dunia dan akhirat, dan doa yang paling utama adalah memohon keampunan. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 146-147)

Semoga kita dapat mengunjungi kota Suci Makkah untuk melaksanakan ibadat haji dan umrah. Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply