Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kongsikan, apakah doa yang boleh dibaca ketika di Multazam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Multazam adalah bahagian daripada Ka’bah yang mulia. Multazam terletak di antara Hajarul Aswad dan pintu Kaabah. Jaraknya ialah dua meter. Saidina Abdullah bin Abbas R.Anhuma berkata: Multazam terletak di antara rukun Hajarul Aswad dan pintu Kaabah. Multazam ialah salah satu tempat yang diperkenankan doa dan disunatkan berdoa serta diletakkan pipi, dada dan lengan serta dua tapak tangan di Multazam. Makna iltizamuhu (merapatkannya) iaitu orang yang berdoa meletakkan dada, wajah, lengan dan kedua tangannya di atasnya dan berdoa kepada Allah apa yang mudah baginya daripada apa apa yang dia inginkan.

Menjawab persoalan di atas, Imam al-Nawawi menyebut: Sunat membaca doa ketika di Multazam, antaranya:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُك ثَوَابَ الشَّاكِرِينَ وَنُزُلَ الْمُقَرَّبِينَ، وَمُرَافَقَةَ النَّبِيِّيِّنَ وَيَقِينَ الصَّادِقِينَ، وَذِلَّةَ الْمُتَّقِينَ، وَإِخْبَاتِ الْمُوقِنِينَ حَتَّى تَتَوَفَّانِي عَلَى ذَلِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu pahala orang yang bersyukur, turunnya orang yang hampir, dekatnya dengan para nabi, yakin orang yang benar, hina (rendah diri) orang yang bertakwa dan khusyu’ orang yang yakin hingga Engkau matikan aku atas demikian itu wahai Tuhan yang bersifat Maha Rahmat.”       

Riwayat al-Dailami dalam al-Firdaus (1839)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply