Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh perempuan haid semasa menunaikan haji?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat.’ Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Pada asasnya haid dari segi bahasa bermaksud mengalir. Dikatakan bahawa, “حَاضَ الوَادِي” apabila lembah mengalir.  Manakala dari segi syarak pula haid diertikan sebagai:

دَمُ جِبِلَّةٍ يَخْرُجُ مِنْ أَقْصَى رَحِمِ الْمَرْأَةِ عَلَى سَبِيلِ الصِّحَّةِ

Maksudnya: “Darah kebiasaan yang keluar dari bahagian paling hujung di dalam rahim seorang perempuan secara sihat.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 161).

 

Menjawab persoalan di atas, Imam al-Nawawi berkata: Majoriti ulama sama ada ulama terdahulu mahupun terkemudian meletakkan syarat bagi perempuan yang sedang haid dan nifas untuk suci terlebih dahulu sebelum mengerjakan ibadah tawaf. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat al-Qasim bin Muhammad yang mengatakan bahawa beliau mendengar Aisyah R.Anha berkata:

خَرَجْنَا لاَ نَرَى إِلَّا الحَجَّ، فَلَمَّا كُنَّا بِسَرِفَ حِضْتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِي، قَالَ: مَا لَكِ أَنُفِسْتِ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ، فَاقْضِي مَا يَقْضِي الحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Kami keluar tanpa memikirkan kecuali untuk mengerjakan haji. Apabila kami berada di Sarif, aku kedatangan haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: “Kenapa dengan kamu, adakah kamu telah kedatangan haid?” Aku menjawab: “Ya.” Nabi SAW bersabda: “Ini adalah suatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah kepada wanita-wanita dalam kalangan anak-anak Adam. Lakukan sepertimana orang-orang haji tunaikan, cuma kamu jangan bertawaf di Baitullah.”

Riwayat al-Bukhari (294)

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, hadith di atas menunjukkan larangan perempuan haid melakukan tawaf sehingga darahnya terhenti dan melakukan mandi wajib. Hal ini kerana suatu larangan dalam melakukan perkara ibadat menunjukkan rosaknya ibadat yang dilakukan itu. Dalam erti kata lain, tawaf dilakukan oleh perempuan haid terbatal. (Lihat Fath al-Bari, 3/505).

Al-Mahalli menyebutkan bahawa jika seseorang itu tawaf dalam keadaan telanjang atau berhadas atau terdapat najis yang tidak dimaafkan pada pakaian dan badannya, maka tawaf yang dilakukannya adalah tidak sah. Kemudian, Qalyubi dan ‘Amirah ada menukilkan bahawa di sisi Abu Hanifah, orang yang mengerjakan tawaf dalam keadaan berhadas, tawafnya itu dikira sah tetapi bagi orang yang dalam keadaan junub dan haid dikenaan dam seekor unta, manakala bagi orang yang berhadas (kecil) pula dikenaan dam seekor kambing. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Amirah ‘ala Kanz al-Raghibin, 2/131).

Al-Kasani menyebutkan bahawa bersuci daripada hadas, junub, haid, dan nifas bukanlah syarat untuk membolehkan tawaf dan bukan juga fardhu di sisi kami (ulama dalam kalangan mazhab Hanifah) tetapi ia adalah wajib sehinggakan seseorang itu dibolehkan untuk melakukan tawaf tanpa perkara tersebut. Namun, menurut al-Syafi‘i ia adalah fardhu. Oleh itu, tidak boleh seseorang itu melakukan tawaf tanpanya (yakni suci daripada hadas, haid dan seumpamanya).

Kemudian, al-Kasani menambah lagi bahawa jika suci daripada hadas itu termasuk dalam perkara wajib tawaf, maka seseorang yang melakukan tawaf tanpanya, hendaklah mengulangi semula tawafnya selagi mana dia masih berada di Makkah kerana mengulangi sesuatu daripada jenisnya sendiri (yakni tawaf) untuk menampung kekurangan yang dilakukan dalam tawaf adalah lebih utama. Justeru, jika dia mengulangi semula tawafnya pada hari al-Nahr, maka tidak dikenakan apa-apa dam ke atasnya. Akan tetapi jika dia melewatkan untuk mengulangi semula tawaf itu, maka dikenakan dam ke atasnya menurut satu pendapat Abu Hanifah. Sekiranya dia tidak mengulanginya dan terus pulang ke keluarganya (tempat asal), maka dikenakan dam ke atasnya, di mana bagi orang yang berhadas dikenakan seekor kambing, manakala bagi orang yang berjunub pula seekor unta. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 2/129).

Syeikh Abdullah bin Jasir dalam bukunya Mufid al-Anam berkata: Syeikh al-Islam berpendapat, begitu juga perempuan yang haidh jika tidak mungkin melaksanakan tawaf fardhu dengan sebab kesuntukan waktu dan terpaksa meninggalkan Kota Makkah mengikut satu pendapat di kalangan ulama’, memadai tetapi dikenakan dam sama ada seekor kambing atau seekor unta jika haidh dan janabah dan seekor kambing jika daripada hadas kecil. Walaupun begitu, beliau berpendapat sewajarnya wanita dalam haidh tidak tawaf kecuali dalam taharah. (Lihat juga al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 158-159)

 Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply