Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya sekiranya seseorang itu menerima duit rasuah adakah gaji bulanan yang diberi oleh majikan haram?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pengertian Rasuah

Kami mulakan terlebih dahulu dengan menjelaskan makna rasuah. Perkataan rasuah berasal daripada bahasa Arab al-risywah (الرِّشْوَةُ). Al-Fayyumi berkata: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau orang lain, agar hakim itu memenangkannya, atau agar hakim itu memutuskan hukum sesuai dengan apa yang diinginkannya. (Lihat al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Syarh al-Kabir, 3/411)

Ibn al-Athir pula menyebut: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang menghubungkan kepada keperluan/hajat dengan cara pujukan.(Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athr, 2/226)

Dari segi istilah, al-risywah merupakan sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 22/219)

Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut: “Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya.”(Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 627)

Istilah rasuah telah digunapakai dalam bahasa Melayu yang bermaksud pemberian untuk menumbuk rusuk iaitu menyogok, menyuap. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Syed Hussein Alattas dalam buku Rasuah, Sifat Sebab dan Fungsi, menyatakan rasuah merupakan penyalahgunaan kepercayaan untuk kepentingan peribadi.

Manakala menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun. [1]

Menurut undang -undang Malaysia yang terkandung dalam Seksyen 3(a), (b) dan 4(a)(b), Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) mentafsirkan rasuah sebagai: “menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakkan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya.” Manakala suapan pula, menurut Seksyen 2, Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah; “Wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran beharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya.”

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa tindakan menerima dan memberi rasuah adalah suatu perbuatan jenayah yang merosakkan negara dan jelas bertentangan dengan undang-undang. Fenomena rasuah di negara ini semakin memburuk, bahkan ada yang berani melakukannya meskipun mereka tahu bahawa ini adalah perbuatan yang tidak bermaruah. Rasuah bukan sahaja merugikan negara dari segi ekonomi, tetapi juga merosakkan integriti dan moral masyarakat. Perbuatan ini boleh menyebabkan ketidakadilan, kebocoran dalam pentadbiran, dan penurunan kepercayaan terhadap institusi. Oleh itu, semua pihak harus bekerja sama untuk memerangi rasuah demi memastikan kemajuan dan kestabilan negara.

Oleh yang demikian syarak dengan jelas mengharamkan perbuatan rasuah ini sebagaimana yang telah disebut dalam firman Allah SWT:

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ

Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)

(Surah al-Maidah:42)

Imam al-Baghawi menjelaskan ayat ini dengan mengatakan: “(Ayat) ini turun berkenaan para hakim Yahudi, Ka’ab al-Asyraf dan yang sepertinya. Mereka menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk memenangkan orang yang merasuah mereka.”(Lihat Ma’alim al-Tanzil, 3/58)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

 Riwayat Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313)

Dalam hadith lain yang turut diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- الرَّاشِىَ وَالْمُرْتَشِىَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Riwayat Ahmad (6532, 6778, 6830), Abu Daud (3582) dan al-Tirmizi (1337)

Al-Fayumi dalam menyatakan tentang rasuah beliau menyebut : “Pemberi rasuah akan terjerumus dalam laknat, kecuali jika ia memberikan rasuah tersebut sebagai bentuk pertahanan terhadap kerugian yang dapat menimpanya. Jika pemberi rasuah bertujuan untuk membatalkan hak yang sah atau mencapai sesuatu yang salah, maka itulah pemberi rasuah yang dilaknat menurut sabda Rasulullah SAW. Namun, jika melalui rasuah tersebut ia mendapatkan hak atau menyingkirkan kezaliman terhadap dirinya, maka tindakan ini tidaklah haram. Manakala, penerima rasuahlah yang lebih ditegah dan  dilaknat.(Lihat Fath al-Qarib al-Mujib ala’ Targhib wa Tarhib,9/578 )

Justeru, dalam isu ini kami menegaskan bahawa pendapatan yang diperoleh dari majikan adalah halal sekiranya pekerjaan yang dilakukan tidak melibatkan aktiviti yang haram. Namun, jika pendapatan yang diterima berasal dari aktiviti haram atau dari sumber rasuah itu sendiri, maka ia tidak boleh diterima kerana ia bersumberkan dari aktiviti yang haram. Dengan ini, kami menasihati mereka yang terlibat dalam aktiviti haram seperti rasuah untuk segera bertaubat, menyesal dan berazam untuk tidak mengulangi lagi. Selain itu juga hendaklah memastikan setiap pendapatan kita berasal dari sumber yang halal agar  diberkati Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

Nota Hujung:

[1]  Lihat portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pautan berikut: https://www.sprm.gov.my/index.php?page_id=75&articleid=478&  . Diakses pada 4 Jun 2024.

Leave a Reply